Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Monday, June 20, 2011

Tips & Panduan Ubahsuai Dapur Dengan Bajet Kecil


Adoi, letih rasanya bila teringatkan dapur yang sentiasa berkecah! Dapur yang sudah bertahun-tahun digunakan sudah tentu mendatangkan kebosanan, ditambah lagi dengan pelbagai kerosakan kecil pada kabinet, sinki, laci dapur dsb.

Jika anda bercadang untuk mengubahsuai dapur tetapi tidak mempunyai bajet yang cukup untuk menggantikan kabinet atau kaunter dapur yang baru, saya sediakan beberapa tips dan panduan untuk membantu anda menghias & mengubahsuai dapur anda menjadi ceria hanya dengan mengeluarkan sedikit belanja ubahsuai yang kecil.


Berikut adalah tujuh tips ubahsuai dapur dengan bajet kecil ;

1. Warnakan dapur dengan cat baru

Cari dan pilihlah warna cat yang ceria atau bersih dan cat semula dinding dapur anda. Jika anda suka suasana dapur yang terang dan riang, cuba pilih warna cat seperti kuning, biru segar, hijau nipis atau putih bersih untuk menghidupkan kawasan dapur anda.


2. Tukar langsir tingkap lama dengan yang baru

Tukar langsir lama anda dengan yang baru, atau jika tingkap anda sebelum ini dibiarkan kosong, letakkan langsir tingkap baru. Pilih warna langsir yang akan menyerlahkan lagi dinding yang telah dicat baru. Anda boleh mencuba kombinasi langsir putih di dinding kuning atau biru (atau apa sahaja warna dinding kecuali putih) atau bagi dinding putih cuba kombinasi langsir kuning cerah atau terang, atau separuh corak yang mana gandingan warna langsir dan cat baru akan membantu menambah suasana 'sejuk mata memandang' di ruang dapur anda.


3. Tukar alas meja baru

Beli kain alas meja baru untuk digandingkan dengan tona warna langsir dan cat dapur yang baru. Kadang-kadang benda kecil seperti ini akan menimbulkan perubahan besar dan menghasilkan suasana dapur yang ceria, tenang dan terang tanpa perlu anda berbelanja besar untuk mengubahsuai semua peralatan dapur sehingga membazir.


4. Tukar lampu dapur lama dengan yang baru

Jika bajet kecil anda masih mengizinkan, tukar lampu dapur lama dengan yang baru. Hal ini benar-benar boleh menukar gaya dan menyerlahkan seri dapur anda. Untuk dapur kecil atau dapur yang mempunyai siling rendah, anda boleh letakkan lampu dinding yang baru. Jika anda mempunyai dapur yang lebih besar dengan siling yang tinggi, anda boleh meletakkan lampu gantung yang baru.


5. Tukar sinki lama dengan yang baru
Tukar sinki lama anda dengan sinki baru yang murah tapi lebih moden dan bergaya. Lebih-lebih lagi jika sinki lama telah pudar warnanya atau banyak kesan calar, maka sinki lama memang patut terus diganti baru.


6. Tukar tombol laci & kabinet dapur baru
Satu lagi kaedah ubahsuai dapur dengan bajet kecil ialah dengan menukar tombol laci & tombal kabinet dapur lama dengan yang baru. Ramai yang tak sedar bahawa perubahan yang kecil dan mudah seperti menukar tombol besi lama laci/kabinet kepada tombol besi yang baru dan bersinar akan lebih menyerlahkan suasana 'eksklusif' dapur lama anda.

7. Hias sebahagian dinding dapur dengan jubin atau kertas bercorak

Untuk menyerlahkan lagi keindahan dapur, anda boleh letakkan kepingan jubin bercorak atau kertas dinding bercorak kepada sebahagian ruang dinding di atas kabinet dapur. Hiasan ini akan menambahkan lagi kehebatan dapur anda serta menyerlahkan sebahagian dinding dapur.
Untuk menghias sebahagian dinding dapur dengan jubin bercorak, anda boleh membeli jubin dekorasi stok lama atau lebihan jubin ubahsuai yang tidak digunakan dengan harga murah di mana-mana kedai jubin atau kedai hardware.

Kesimpulan;

Sebenarnya ada banyak lagi tips & panduan ubahsuai dapur dengan bajet kecil, tapi cukuplah dulu 7 tips diatas sebagai pemangkin untuk anda mengubahsuai dapur dengan ringkas serta berjimat cermat. Yang penting ialah kerja ini boleh anda lakukan sendiri dan hasil ubahsuai dapur ini sudah pasti akan menggembirakan anda; dapur lama menjadi cantik semula & jimat kos ubahsuai dapur!

Mutiara Pengubat Jiwa