Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Wednesday, September 23, 2026

Pemilik ubahsuai rumah tanpa permit dari MBSA, apakah masalah yang akan dihadapi jika ingin menjual rumah yang diubahsuai tanpa permit kelulusan MBSA?

 

Contoh rumah teres lot tepi yang sedang diubahsuai

Assalamualaikum & salam sejahtera! Kali ini saya nak bincang tentang masalah ubahsuai rumah; apakah masalah yang akan dihadapi jika ingin menjual rumah yang diubahsuai tanpa permit kelulusan MBSA?

Untuk rumah dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), isu ubahsuai tanpa kelulusan memang boleh menjadi masalah apabila rumah hendak dijual. Yang penting, rumah itu tidak semestinya tidak boleh dijual, tetapi status binaan tanpa kelulusan boleh menyebabkan transaksi menjadi lebih rumit.

Majlis Bandaraya Shah Alam sendiri mempunyai prosedur khusus untuk permohonan Tambahan/Pindaan Rumah Kediaman, termasuk bagi rumah yang sudah mempunyai CCC/CF. 


Masalah utama apabila hendak menjual

1. Keadaan fizikal rumah tidak sama dengan pelan asal rumah

Contohnya, pelan asal menunjukkan keluasan rumah 1,500 kaki² tetapi pemilik telah:

  • tambah dapur 10 kaki;

  • tutup ruang porch;

  • tambah bilik di belakang;

  • tambah tingkat;

  • bina awning/struktur kekal;

  • ubah dinding atau struktur bangunan.

Apabila pembeli membuat semakan, perkara ini boleh dikesan kerana binaan sebenar tidak sepadan dengan pelan yang diluluskan.


2. Pembeli mungkin meminta penjual menyelesaikan kelulusan dahulu

Dalam transaksi hartanah, pembeli boleh menjadikan kelulusan binaan sebagai salah satu syarat sebelum meneruskan pembelian.

Jika pembeli menggunakan pinjaman bank, peguam dan pihak bank juga mungkin meminta dokumen berkaitan hartanah. Ini boleh menyebabkan proses jual beli menjadi lebih panjang jika status ubah suai tidak jelas.


3. MBSA boleh mengenakan bayaran tambahan/denda untuk binaan yang sudah dibuat

Ini merupakan perkara yang agak penting dalam kes MBSA.

Dalam dokumen rasmi MBSA, dinyatakan bahawa bagi binaan yang telah dibina di tapak tanpa kelulusan Majlis, terdapat bayaran denda tambahan sebanyak 5 kali ganda fi proses pelan. Bagi tambahan yang melebihi anjakan bangunan, dokumen tersebut menyatakan bayaran tambahan boleh menjadi 20 kali ganda yuran proses pelan.

Jadi, jumlah yang perlu dibayar bergantung kepada jenis dan lokasi binaan.


4. Membayar denda tidak semestinya menjadikan binaan itu automatik sah

Ini sangat penting.

Dokumen MBSA menyatakan secara jelas bahawa bayaran fi tambahan/denda tidak mengecualikan pemilik daripada kemungkinan didakwa oleh PBT. MBSA juga menyatakan bahawa pihak Majlis berhak merobohkan tambahan bangunan dalam keadaan tertentu.

Maksudnya, jangan anggap:

"Bayar denda → terus dianggap sudah diluluskan."

Kelulusan pelan dan isu penguatkuasaan adalah perkara yang berbeza.


5. Dalam keadaan tertentu, MBSA boleh mengambil tindakan terhadap binaan tersebut

Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 menyatakan seseorang tidak boleh mendirikan bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT. MBSA menyenaraikan perkara ini sebagai kesalahan bagi tambahan/pindaan kediaman tanpa kelulusan.

MBSA juga mempunyai fungsi pemantauan terhadap pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran dan mengambil tindakan lanjut melalui Jabatan Bangunan. 


Tetapi ada jalan untuk menyelesaikannya sebelum jual rumah

MBSA memang mempunyai mekanisme untuk pemilik mengemukakan permohonan Tambahan Pindaan (TP) / Pindaan Kepada Pelan Lulus (PKPL) bagi rumah kediaman tertentu.

Bagi rumah banglo, teres, semi-D dan rumah kluster yang telah mempunyai CF/CCC, MBSA menyatakan permohonan boleh dikemukakan melalui arkitek profesional atau pelukis pelan berdaftar dengan LAM. Mulai 1 Jun 2024, permohonan tersebut dikemukakan melalui OSC 3 Plus Online.

Jadi, jika rumah itu sudah diubah suai, langkah yang lebih selamat biasanya ialah:

Semak pelan rumah asal dalam S&P → ukur keadaan rumah sekarang → kenal pasti binaan yang tidak diluluskan → lantik pelukis pelan/arkitek urus dengan MBSA → kemukakan permohonan pelan TP/PKPL → selesaikan fi/denda jika dikenakan → dapatkan kelulusan dari MBSA.


Cadangan sebelum rumah diiklankan untuk dijual

Jika tambahan rumah telah dibina tanpa permit, anda boleh melantik perunding samada akitek@pelukis pelan untuk sediakan pelan & submit ke MBSA untuk mendapatkan kelulusan kepada tambahan tersebut. 

Dalam hal ini anda wajib sediakan bajet untuk membayar fi perunding, bil proses pelan+permit & denda yang akan dikenakan oleh MBSA sebelum pelan diluluskan. Selepas mendapat kelulusan pelan barulah anda boleh teruskan proses menjual rumah tersebut.

ANDA ADA PERTANYAAN?

Jika ada pertanyaan, sila hubungi saya di 011-28889537 melalui whatsapp@call atau emel ke pelukispelan1@gmail.com. InsyaAllah saya boleh bantu anda dalam urusan di atas. 


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA


Thursday, June 18, 2026

Kebenaran Tambahan Awning Porch Melebihi Had Anjakan Depan Rumah di Shah Alam oleh MBSA




 Assalamualaikum & salam sejahtera!

Berita baik kepada pemilik rumah di Shah Alam yang nak tambah awning depan porch sampai ke pagar depan! 

Pada bulan Disember 2025, pihak MBSA telah keluarkan notis membenarkan tambahan awning porch depan rumah melebihi had anjakan depan rumah seperti foto surat yang dipaparkan di atas.


1. APAKAH HAD ANJAKAN SEBENAR TAMBAHAN AWNING DEPAN PORCH?

a. Had tambahan asal porch dibenarkan hingga jarak 10 kaki antara tiang porch baru & pagar depan rumah

b. Had tambahan asal awning gantung depan porch dibenarkan hingga jarak 6 kaki antara hujung awning ke pagar depan rumah

Ilustrasi dibawah menunjukkan rumah dengan tambahan awning gantung dengan jarak 6 kaki antara hujung awning & pagar rumah.




2. APAKAH SYARAT TAMBAHAN AWNING DEPAN PORCH YANG DIBENARKAN MELEBIHI HAD ANJAKAN?

a. Tambahan awning porch melebihi had anjakan dibenarkan hingga ke pagar depan dalam kawasan rumah sahaja.

b. Tambahan awning porch melebihi had anjakan tidak dibenarkan terkeluar dari kawasan pagar rumah.

Rujuk ilustrasi dibawah ;




3. APAKAH JENIS BAHAN YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT TAMBAHAN AWNING PORCH?

Bahan bumbung yang dibenarkan adalah jenis semi-permanent & ringan serta tidak bersifat binaan kekal seperti;

- bumbung metaldeck

- bumbung zink

- bumbung panel ACP

- bumbung kaca

- bumbung polycarbonate

- bumbung kanvas


4. DENDA TAMBAHAN AWNING MELEBIHI HAD ANJAKAN DEPAN

MBSA akan kenakan denda kepada pemilik rumah yang memohon tambahan awning porch melebihi had anjakan. Selepas bayar denda baru permohonan akan diluluskan & permit diberikan untuk membuat tambahan awning tersebut.

Denda yang dikenakan adalah seperti dibawah;

a. Denda RM1500 bagi permohonan tambahan awning yang dikemukakan melalui pelan setara MBSA oleh pemilik rumah

b. Denda RM1400 bagi permohonan tambahan awning yang dikemukakan oleh pelukis pelan yang dilantik oleh pemilik rumah

Denda tambahan awning melebihi anjakan depan akan dikeluarkan oleh MBSA selepas permohonan dikemukakan oleh pemilik ke MBSA. Bil denda boleh dibayar di kaunter MBSA.


5. APAKAH JENIS RUMAH YANG DIBENARKAN MEMBUAT TAMBAHAN AWNING MELEBIHI HAD ANJAKAN DEPAN?

Semua jenis rumah landed dibenarkan membuat tambahan awning porch melebihi had anjakan depan seperti;

- rumah teres lot tengah

- rumah teres lot tepi

- rumah teres end-lot

- rumah berkembar

- rumah banglo

- rumah kluster


6. BERAPA LAMA TEMPOH MASA UNTUK MENDAPATKAN KELULUSAN PERMIT TAMBAHAN AWNING PORCH DEPAN?

a. Permohonan melalui pelan setara akan ambil masa anggaran 1 hingga 2 minggu untuk mendapatkan permit kelulusan.

b. Permohonan melalui pelan yang dilukis & dikemukakan perunding akan ambil masa anggaran 2 hingga 3 bulan atau lebih untuk mendapatkan permit kelulusan

Rujuk link dibawah untuk maklumat lanjut tentang tempoh kelulusan pelan MBSA;

==> https://tips-ubahsuai-rumah.blogspot.com/2026/03/berapa-lama-masa-diambil-untuk-mendapat.html

==> http://proseskelulusanpelan.blogspot.my


7. BAGAIMANA NAK MOHON KEBENARAN & KELULUSAN TAMBAHAN AWNING MELEBIHI HAD ANJAKAN PORCH DEPAN?

Ada 2 pilihan, anda boleh DIY atau lantik perunding untuk permohonan ini;

a. Anda boleh beli buku pelan setara di kaunter MBSA, isi borang2 dalam buku itu, sertakan dokumen yang diperlukan & kemukakan sendiri ke kaunter MBSA. Rujuk link dibawah berkaitan pelan setara MBSA;

==> https://mbsa.gov.my/ms-my/mbsa/perkhidmatan/pelanpembangunan/Documents/Presentation1buku-SP.pdf

b. Anda boleh lantik perunding (akitek@pelukispelan) untuk sediakan pelan & kemukakan ke MBSA. Perunding akan uruskan semua urusan dengan MBSA hingga pelan yang diluluskan MBSA di ambil perunding & diserahkan kepada anda.


8. MAKLUMAT UMUM;

a. Permohonan pelan menggunakan pelan setara secara DIY oleh pemilik rumah boleh menjimatkan kos kerana pemilik rumah yang uruskan sendiri.

b. Permohonan pelan menggunakan khidmat perunding memerlukan pemilik membayar kos yang lebih kerana perunding yang dilantik akan menguruskan semua urusan seperti melukis pelan, kemukakan pelan ke MBSA, follow-up status pelan hingga diluluskan MBSA


Saya harap artikel kali ini memberi manfaat & membantu pemilik rumah dalam membuat keputusan sebelum membuat permohonan tambahan awning depan porch di MBSA. Jumpa lagi dalam artikel yang akan datang & selamat menyambut tahun baru awal Muharam.


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA


Mutiara Pengubat Jiwa