PANDUAN UBAHSUAI RUMAH | TIPS UBAHSUAI RUMAH | UBAHSUAI RUMAH TERES | UBAHSUAI RUMAH BANGLO | UBAHSUAI RUMAH BERKEMBAR | PELAN UBAHSUAI RUMAH | PELAN BANGLO SETINGKAT
Tuesday, December 23, 2008
Kos perkhidmatan pihak majlis untuk kelulusan ubahsuai rumah
Setiap majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan agak berbeza kos bayaran memproses pelan ubahsuai rumah. Di sini saya akan bincangkan kos perkhidmatan memproses kelulusan pelan ubahsuai rumah di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Setelah anda melantik akitek/perunding dan pelan telah siap untuk dikemukakan ke pihak majlis, anda perlu sediakan sejumlah wang untuk membayar khidmat memproses pelan oleh MBSA dan deposit perkhidmatan tong sampah sisa binaan (tong roro) oleh Alam Flora. Wang anda akan digunakan untuk membayar;
a. Bil proses pelan ubahsuai rumah (bergantung pada keluasan tambahan rumah)
Anggaran bil ini adalah antara RM150 hingga RM300. Jumlah bil ini adalah tertakluk kepada keluasan tambahan/ubahsuai rumah. Pelan yang dikemukakan akan disemak keluasannya dan bil akan dikeluarkan setelah pengesahan ke atas pelan dilakukan oleh pegawai/juruteknik bertugas. Biasanya akitek/perunding anda akan membuat temujanji awal bersama pegawai 'in-charge' kawasan/seksyen perumahan anda untuk semakan draf plan dan membuat kiraan bil. Ini memudahkan anda menyediakan wang untuk pembayaran bil proses pelan.
b. Bil permit letak bahan binaan (harga tetap)
Bil ini adalah tetap dan jumlahnya ialah RM324 serta tidak boleh dituntut semula.
c. Bil deposit pelan (harga tetap)
Bil ini adalah tetap dan jumlahnya ialah RM500. Ia adalah sebagai cagaran kepada pelan rumah anda untuk memastikan kerja-kerja ubahsuai mengikut kelulusan dan garispanduan yang ditetapkan. Anda boleh menuntut semula cagaran pelan ini setelah rumah anda siap dibina.
d. Bil deposit permit bahan binaan (harga tetap)
Bil ini adalah tetap dan jumlahnya ialah RM200. Ia adalah sebagai cagaran kepada kerja-kerja ubahsuai dan tempat letak bahan binaan yang dibenarkan oleh pihak majlis berhampiran rumah anda. Anda boleh menuntut semula cagaran permit bahan binaan ini setelah rumah anda siap dibina dan sisa bahan binaan dibersihkan.
Bayaran Deposit Tong RORO Alamflora
Alamflora telah dilantik oleh MBSA sebagai kontraktor pembekal tong roro, jadi anda perlu menyediakan deposit sebanyak RM1000 untuk perkhidmatan/sewaan tong roro. Alamflora akan memotong sebanyak RM270 untuk sekali penggunaan/sewa tong roro termasuk kos hantar dan ambil sisa bahan binaan.
Jika anda menggunakan 2 kali perkhidmatan tong roro, maka kosnya adalah RM540 dan baki RM460 boleh dituntut semula setelah rumah siap dibina dan dibersihkan dari sisa bahan binaan.
Bagaimana untuk membuat tuntutan semula deposit pelan MBSA dan Alamflora?
Tuntutan deposit pelan dan permit MBSA (Jumlah RM700)
- Ambil borang 'claim deposit' di kaunter 1, Jabatan Bangunan MBSA, tingkat 8
- isi dan sediakan semua salinan dokumen seperti yang diminta dalam borang tersebut
- hantar semua dokumen yang diminta bersama borang ke kaunter yang sama
- pastikan anda membuat salinan borang dan minta petugas kaunter mengecop serta mengesahkan penerimaan dokumen/borang anda. Ini untuk memudahkan anda 'follow-up' proses tuntutan cagaran tersebut.
- jika tiada masalah, dalam tempoh 1 hingga 2 bulan, anda akan terima surat dari MBSA untuk mengambil cek wang cagaran anda. Suka dimaklumkan bahawa MBSA akan membuat lawatan ke rumah anda untuk membuat pemeriksaan tapak sebagai prosedur meluluskan tuntutan cagaran anda.
Tuntutan baki deposit dari Alamflora.
- isi borang tuntutan baki yang telah diberi semasa bayaran awal
- bawa resit bayaran dan borang ke pejabat Alamflora di seksyen 7, Shah Alam, alamatnya ada di resit anda
- kemukakan semua dokumen/borang/resit berkaitan di kaunter
- pastikan anda membuat salinan borang dan minta petugas kaunter mengecop serta mengesahkan penerimaan dokumen/borang anda untuk membuat 'follow-up' proses tuntutan baki cagaran tersebut.
Saya akan bincangkan masalah saman/denda ubahsuai rumah dan bagaimana untuk menyelesaikannya dalam 'post' akan datang, insyaAllah!
Friday, December 19, 2008
Pinjaman Untuk Pembiayaan Ubahsuai Rumah
Saya nak buat loan ubahsuai rumah, apa yang perlu saya buat?
Sesetengah pemilik rumah memilih untuk membuat pinjaman bank/swasta/kerajaan untuk pembiayaan ubahsuai rumah mereka. Di bawah ini dijelaskan secara ringkas prosedur tersebut.
a. Anda melantik akitek/perunding untuk menguruskan rekabentuk & mengemukakan pelan ke pihak majlis sehingga mendapat kelulusan.
b. Anda juga melantik kontraktor binaan untuk kerja-kerja ubahsuai rumah anda. Kontraktor akan menyediakan dokumen sebutharga ubahsuai yang terperinci.
c. Salinan pelan lulus dan sebutharga ubahsuai rumah dikemukakan oleh anda ke pihak bank/swasta/kerajaan yang akan membiayai pinjaman ubahsuai rumah anda.
d. Pihak yang berkenaan akan membuat kiraan jumlah pinjaman berdasarkan keluasan tambahan rumah dalam pelan lulus dan sebutharga yang disediakan oleh kontraktor anda.
e. Pihak pembiaya pinjaman ubahsuai rumah anda meluluskan pinjaman dengan syarat bayaran dibuat mengikut 'progress payment' ubahsuai rumah anda.
Setelah pinjaman diluluskan dan segala dokumen telah anda terima dari pihak pembiaya iaitu bank/swasta/kerajaan, anda bolehlah memulakan kerja-kerja ubahsuai rumah anda.
Nota penting!
Kontraktor akan membuat tuntutan bayaran mengikut perjanjian 'progress payment'. Sebagai contoh, kerja-kerja ubahsuai telah siap sebanyak 30%, maka kontraktor membuat tuntutan bayaran kepada anda dan pihak pembiaya ubahsuai rumah. Dalam hal ini, anda perlu melantik akitek/perunding untuk memantau kerja-kerja pembinaan dan menyediakan laporan pengesahan siap kerja pembinaan 30%. Laporan ini adalah sebagai dokumen sokongan untuk membolehkan kontraktor membuat tuntutan 'progress payment' kepada pihak bank/swasta/kerajaan.
Dalam 'post' akan datang, saya akan huraikan tentang jumlah & jenis bayaran serta deposit yang perlu dibayar ke pihak majlis untuk proses mendapatkan kelulusan pelan.
Wednesday, December 17, 2008
Perlukah lantik perunding/akitek untuk kemukakan pelan ke MBSA?
Apakah skop kerja akitek/perunding dalam urusan ubahsuai rumah kediaman?
- menjadi penasihat & memberi panduan kepada klien berkenaan masalah ubahsuai rumah
- memberi khidmat rekabentuk sesuai dengan keperluan & kemampuan kewangan klien
- membuat rekabentuk yang yang praktikal & selamat
- membeli & mengisi borang bagi pihak klien
- mengemukakan pelan-pelan ke pihak majlis bagi pihak klien sehingga mendapat kelulusan
- menghadiri temujanji @ mesyuarat perbincangan bersama pihak majlis
- membuat rayuan bagi pihak klien jika berlaku masalah saman/denda dsb
- membantu klien dalam pemilihan kontraktor binaan yang sesuai
- memastikan kerja-kerja ubahsuai mengikut undang2 bangunan sehingga siap binaan
- memantau kerja-kerja pembersihan & pembuangan sampah sisa binaan
- membantu klien dalam urusan tuntutan wang cagaran ubahsuai rumah dari pihak majlis jika rumah telah siap dan sampah sisa binaan telah dibuang oleh kontraktor sampah yang berlesen.
Apakah dokumen tambahan yang perlu dikemukakan bersama pelan ke pihak majlis?
Sebelum pelan dikemukakan ke pihak majlis, anda perlu sediakan;
a. Salinan dokumen jual-beli rumah atau geran/surat hakmilik
b. Salinan cukai pintu & CF rumah
c. Surat kebenaran jiran sebelah (kecuali rumah banglo)
d. Gambar rumah sediada bahagian depan/tepi/belakang
e. Duit bayaran proses pelan/permit/cagaran/tong sampah Alamflora
( Jenis & jumlah bayaran akan saya jelaskan dalam 'post' yang akan datang)
Semua perkara di atas diserahkan kepada pihak akitek/perunding anda.
Nota penting!
Untuk proses ubahsuai rumah teres jenis lot tengah (intermediate lot), anda boleh menggunakan buku 'standard-plan' yang dijual di MBSA. Buku ini mempunyai gambarajah ringkas tambahan rumah tengah bahagian bawah/atas/depan/tepi. Anda cuma beli, isi borang, sediakan dokumen yang diperlukan dan kemukakan sendiri ke MBSA. Kelulusan 'standard-plan' adalah dalam tempoh 1 hari (bersyarat). Anda boleh dapatkan buku ini dengan harga RM25 di kaunter 3, tingkat 8, Jabatan Bangunan MBSA.
Yahooo! Jimat duit aku tak payah lantik akitek!
Tidak juga! Jika anda ingin membuat ubahsuai rumah teres jenis lot tengah dengan membuat pinjaman bank atau kerajaan, anda WAJIB melantik akitek/perunding untuk menyediakan pelan rumah anda.
Kenapa?
Pihak bank atau institusi kewangan swasta/kerajaan memerlukan salinan pelan lulus & surat lulus dari pihak majlis sebagai bukti pengesahan untuk mereka memproses pinjaman ubahsuai rumah anda. Dalam hal ini buku 'standard-plan' yang telah diluluskan tidak diterima-pakai oleh mereka. Jadi anda masih perlu melantik akitek/perunding untuk menyediakan pelan ubahsuai kediaman anda.
Saya akan huraikan bagaimana prosedur pinjaman ubahsuai rumah dalam 'post' akan datang!
Sunday, December 14, 2008
Bolehkah ubahsuai rumah sebelum dapat kelulusan?
Kerana akan berlaku masalah yang pasti akan menyusahkan anda seperti;
a. Dari segi undang2, anda akan disaman & didenda berkali ganda oleh MBSA; 10 atau 20 kali ganda bergantung kepada keluasan tambahan rumah
b. Dari sudut hubungan anda dengan jiran, sudah tentu anda akan menjadi buah mulut & tidak disenangi oleh jiran kerana melanggar undang2 ubahsuai & mungkin berlaku perselisihan dengan jiran. Sanggupkah anda hidup dibenci oleh masyarakat?
Jalan yang terbaik ialah, sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum anda mengubahsuai rumah, cari & lantik akitek atau perunding yang akan menguruskan segala2nya bagi pihak anda sehingga mendapat kelulusan pelan. Anda hanya sediakan duit dan relax sahaja!
Berapa lama nak tunggu pelan lulus?
1 hari sahaja! Ya, untuk ubahsuai rumah kediaman, pihak MBSA memberi tempoh 1 hari kelulusan; dengan syarat semua dokumen yang diminta adalah lengkap dan pelan yang dikemukakan tepat & selaras dengan garispanduan ubahsuai yang dibenarkan MBSA. Pelan yang dikemukakan pada awal pagi akan melalui proses semakan/pengesahan & diluluskan disebelah petang atau esok hari.
Apa perlu dibuat untuk dapatkan kelulusan pelan 1 hari?
Saya beri contoh seperti dibawah;-
a. Akitek/perunding yang anda lantik menyediakan rekabentuk pelan kasar untuk semakan anda (anggaran tempoh 7 hari penyediaan pelan rekabentuk)
b. Pelan sebenar disediakan setelah rekabentuk dipersetujui & disahkan oleh anda
(anggaran tempoh 14 hari penyediaan pelan sebenar bersaiz A1)
c. Anda tandatangani pelan & serahkan dokumen & cek bayaran untuk MBSA kepada akitek/perunding
d. Akitek/perunding kemukakan pelan/dokumen ke Jabatan Bangunan MBSA awal pagi Isnin, 9.00am
e. MBSA memproses pelan/dokumen dan mengeluarkan bil untuk khidmat proses pelan/deposit
f. Semua bil dibayar dan salinan resit dikemukakan kembali ke Jabatan Bangunan.
g. Antara jam 4 hingga 5 petang Isnin, pelan lulus dikeluarkan MBSA & diambil oleh akitek/perunding untuk diserahkan kepada anda.
Begitulah gambaran ringkas prosedur untuk mendapat kelulusan pelan. Saya akan jelaskan jalan kerja akitek/perunding dan jenis dokumen yang diperlukan secara 'detail' pada 'post' yang akan datang!
Friday, December 12, 2008
Bolehkah ubahsuai rumah melebihi had anjakan?
Ya dan tidak! Tambahan & ubahsuai rumah melebihi had anjakan adalah tertakluk kepada kebenaran dari pihak berkuasa tempatan @ majlis daerah kawasan anda. Jika anda telah membaca post sebelum ini, sewaktu pertemuan dengan pegawai 'in-charge' ubahsuai seksyen/perumahan anda, tanyakan syarat2 jika hendak membuat ubahsuai melebihi had anjakan yang dibenarkan.
Perlu diingatkan bahawa syaratnya sangat ketat kerana melibatkan situasi rumah anda jika berjiran dengan orang lain. Anda juga akan dikenakan denda bersyarat sebanyak 20 kali ganda bayaran proses pelan.
Secara peribadi, saya tidak menggalakkan anda mengubahsuai rumah melebihi had kerana akan berlaku pelbagai masalah seperti;
- ramai jiran yang akan meniru & membuat ubahsuai yang sama (melebihi had) tanpa kebenaran jiran sebelah & kelulusan MBSA
- ubahsuai tanpa kebenaran akan berleluasa dan boleh mendatangkan bahaya kepada struktur rumah yang bersebelahan kerana tiada pelan & pengesahan MBSA.
- ramai orang akan menuding jari pada anda sebagai contoh ikutan pemilik rumah yang mula2 melebihi had ubahsuai- anda tidur tak lena memikirkan masalah ini dan macam2 lagi keserabutan! Aaargh!
Oleh kerana tanggungjawab saya sebagai perunding memberi garispanduan & bantuan kepada anda, maka sebagai panduan ringkas, disini saya gariskan syarat-syarat pihak MBSA (mengikut pengalaman saya) untuk mendapat kebenaran ubahsuai melebihi had. Syarat dan dokumen yang diperlukan ialah;
b. Menyediakan lakaran kasar bahagian rumah yang hendak ditambah melebihi had
c. Membuat surat rayuan & nyatakan sebab/alasan keperluan membuat tambahan rumah melebihi had. Anda juga perlu mengaku bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan bahagian rumah jiran yang berkongsi dengan rumah anda dalam tempoh ubahsuai rumah anda.
Setelah siap 3 perkara di atas, anda perlu mengemukakan semua dokumen tersebut ke pihak majlis (MBSA) di kaunter 1 tingkat 8 Jabatan Bangunan. Pastikan anda membuat salinan surat rayuan & surat itu di cop 'terima' yang bertarikh supaya anda boleh buat simpanan/rujukan untuk 'follow-up'.
Bilakah MBSA akan menjawab permohonan anda?
Dalam tempoh 14 hari bekerja melalui pos atau anda boleh hubungi sendiri pegawai 'in-charge' kawasan anda dan ambil sendiri surat jawapan tersebut. Mengikut pengalaman saya, jika semua syarat di atas dipatuhi insyaAllah permohonan anda akan diluluskan.Selepas mendapat surat kebenaran ini, barulah anda cari & lantik akitek/perunding untuk menyediakan pelan ke MBSA (hal ini boleh juga diuruskan sebelum perkara a,b & c.).
Nota penting; Peluang untuk mendapatkan kebenaran bertulis dari MBSA untuk ubahsuai melebihi had adalah tipis! Rayuan anda mungkin ditolak oleh pihak majlis atas dasar keselamatan & kepentingan penduduk/jiran anda! Patuhilah undang2 ubahsuai rumah untuk kebahagiaan hidup berjiran!
Berapakah Had Anjakan Ubahsuai Yang Dibenarkan?
Tambahan & ubahsuai rumah tertakluk kepada jenis rumah dan keluasan ruang tanah yang ada mengikut garispanduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan atau majlis daerah kawasan masing-masing.
Berikut saya senaraikan jenis rumah yang dibenarkan membuat tambahan & pindaan (extension);
2. Rumah berkembar 1 & 2 tingkat yang mempunyai tanah lebihan di bahagian depan, tepi & belakang
3. Rumah banglo 1 & 2 tingkat yang mempunyai tanah lebihan di bahagian depan, tepi & belakang
4. Rumah berkembar 1 & 2 tingkat jenis 'cluster' (bersambung di bahagian tepi & belakang) yang mempunyai tanah lebihan di bahagian depan & tepi.
Perlu juga dimaklumkan ada jenis rumah yang tidak dibenarkan membuat tambahan ruang (kecuali ubahsuai dalaman). Jenis kediaman yang tidak dibenarkan membuat tambahan ini ialah;
1. Rumah apartment, pangsapuri dan kondominium
2. Rumah 2 tingkat jenis townhouse (tkt bwh & atas lain2 pemilik)
Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, saya telah menyediakan lakaran grafik pelan jenis-jenis rumah dan had ubahsuai yang dibenarkan sebagai panduan anda. Lakaran ini adalah khusus untuk rumah kediaman di Shah Alam. Anda boleh melihatnya di link ====>GAMBARAJAH HAD UBAHSUAI RUMAH
Thursday, December 11, 2008
Masalah Dan Soalan Pemilik Rumah
Apakah persoalan dan masalah yang selalu dihadapi oleh pemilik rumah? Di bawah ini disenaraikan antara masalah yang selalu dihadapi dan dipersoalkan oleh para pemilik rumah yang ingin mengubahsuai rumah mereka;
b. Bolehkah saya bina lebih daripada had? Jika boleh, bagaimana caranya?
c. Kalau saya bina dulu sebelum dapat kelulusan, apakah tindakan MBSA kepada saya?
d. Perlukah saya lantik perunding atau akitek untuk kemukakan pelan ke MBSA?
e. Saya nak buat loan ubahsuai rumah, apa yang perlu saya buat?
f. Kalau saya dah dapat kelulusan pelan, jika saya bina lebih had adakah saya kena saman?
g. Siapa nak uruskan hal pelan? saya kena buat semua ka?
h. Bolehkah MBSA rekemen akitek atau perunding yang boleh saya percayai?
i. Berapa saya kena bayar MBSA untuk dapat kelulusan pelan?
j. Adakah cagaran yang perlu saya bayar? Bila boleh saya tuntut semula?
k. Sampah dan sisa binaan siapa nak uruskan?
l. Perlukah saya dapatkan kebenaran jiran? Kalau mereka tak bagi macamana?
m. Rumah saya dah lama lebih 20 tahun, tak da CF macamana boleh ke ubahsuai?
n. Rumah saya 1 tingkat boleh naik 2 tingkat ke?
o. Kalau kena kompaun boleh minta diskaun ke?
p. Rumah saya baru beli dari pemilik asal, belum tukar nama lagi, boleh ke ubahsuai?
Sebenarnya, banyak lagi persoalan yang relevan kerana banyak masalah baru yang pasti timbul, jadi akan saya tambah & huraikan soalan-soalan di atas satu persatu dalam post yang akan datang, insyaAllah.
Apa perlu dibuat sebelum ubahsuai rumah?
Di sini saya berikan beberapa tips ringkas perkara yang perlu anda lakukan sebelum membuat ubahsuai rumah anda.
b. Jika anda tinggal di Shah Alam, sila ke bangunan MBSA tingkat 8, Jabatan Bangunan.
c. Sebelum anda ke MBSA, bawa dokumen untuk rujukan seperti salinan perjanjian jualbeli rumah/CF/cukai pintu/gambar rumah.
d. Catitkan senarai soalan yang anda ingin tanya di atas kertas
e. Jumpa pegawai yang telah menerima temujanji anda dan berbincang lebih lanjut.
f. Tanyakan dengan lanjut apa yang dibenarkan & yang tidak dibenarkan.
g. Mencari & melantik kontraktor binaan yang berpengalaman & bertanggungjawab.
h. Melantik akitek atau perunding yang berpengalaman untuk membuat pelan ubahsuai rumah anda dan mengemukakannya ke MBSA sehingga mendapat kelulusan.
Sebenarnya banyak lagi persoalan yang akan timbul setelah anda berjumpa dengan pihak majlis. Anda boleh bertanya kepada saya diruangan komen dibawah post ini, insyaAllah saya akan cuba jawab sekadar termampu.
UBAHSUAI RUMAH DAN MASALAHNYA
Salam sejahtera! Saya terpanggil untuk membuat blog ini kerana sejak lebih 10 tahun saya memberi khidmat perundingan, rekabentuk dan penyediaan pelan ke MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), masih terdapat ramai lagi pemilik rumah yang membuat ubahsuai rumah tetapi kabur tentang undang-undang ubahsuai yang digariskan MBSA.
Akibatnya berlakulah masalah seperti;
- Tambahan rumah melebihi had dan mengganggu keselesaan jiran
- Ubahsuai rumah haram tanpa kelulusan dirobohkan MBSA
- Sampah sisa binaan tidak diselenggarakan dan mengganggu jiran serta lalulintas
- Membina tambahan rumah tanpa kebenaran jiran
- Aduan daripada jiran kerana tidak membaiki bahagian rumah yang dikongsi seperti porch, atap dsb.
- Membiarkan rumah terbengkalai sehingga mengakibatkan kacauganggu pada jiran sebelah
- Kontraktor tidak bertanggungjawab lari meninggalkan rumah terbengkalai dipenuhi dengan sampah dan notis saman MBSA yang akhirnya ditanggung pemilik rumah.
Dan pelbagai macam lagi masalah yang berlaku, di antara sebabnya adalah kerana mementingkan diri dan tidak peduli hak orang lain serta tidak mahu mengambil tahu undang-undang MBSA yang disediakan untuk kepentingan dan keselesaan bersama.
Saya sekadar termampu akan berkongsi info untuk memudahkan anda dalam proses mengubahsuai rumah anda!