PKP punya pasal - Kerja di rumah diselangi bunyi bising anak-anak! Arggh! |
Assalamualaikum & salam sejahtera kepada para pengunjung blog. Saya doakan anda & keluarga sihat sejahtera di waktu PKP ini. Waktu artikel ini ditaip, sudah masuk 3hb April 2020 dan saya sedang bekerja dari rumah menyiapkan pelan & rekabentuk ubahsuai rumah yang masih berbaki dari klien yang melantik saya sebelum lockdown 18 Mac 2020.
Merancang Rekabentuk Ubahsuai Rumah
Jika anda bercadang untuk mengubahsuai rumah tapi tak sempat merancang sebelum ini kerana kesibukan bekerja, waktu lockdown inilah anda ada banyak masa lapang di rumah dan sesuai untuk membuat perancangan berkaitan ubahsuai rumah anda. Di bawah adalah 4 perkara yang saya cadangkan kepada anda ;
1. Cari idea rekabentuk ubahsuai rumah
Bergantung kepada jenis rumah anda, samada rumah teres 1 tingkat @ 2 tingkat, rumah corner-lot atau end-lot, rumah banglo atau rumah berkembar, gunakan internet dan cari idea untuk ubahsuai rumah anda dengan melihat contoh rumah yang telah diubahsuai. Berikut adalah katakunci umum yang boleh digunakan dalam carian internet ;
- rekabentuk ubahsuai rumah banglo
- rekabentuk ubahsuai rumah semidi @ rumah berkembar
- rekabentuk ubahsuai rumah teres lot tepi
- rekabentuk ubahsuai rumah teres end-lot
- rekabentuk ubahsuai rumah 1 tingkat ke 2 tingkat
Dari hasil carian internet dengan katakunci di atas, anda akan jumpa pelbagai contoh gambar, video, artikel dan sebagainya yang boleh anda gunakan sebagai rujukan dalam merancang rekabentuk ubahsuai rumah anda. Download & simpan mana-mana gambar tambahan rumah yang anda suka sebagai rujukan.
2. Semak garis panduan had ubahsuai rumah di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) anda
Selepas langkah no.1 selesai, anda boleh semak pula had ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh PBT di kawasan anda samada DBKL, MBSA, MBPJ, MBSJ, MPKlang dan sebagainya. Buat carian website pihak PBT kawasan rumah anda dan layari website PBT tersebut, cari maklumat tentang had anjakan yang dibenarkan kepada rumah anda.
Ini kerana terdapat perbezaan antara had anjakan ubahsuai rumah teres, banglo, semidi & rumah lot tengah. Juga dimaklumkan bahawa had tambahan & ubahsuai rumah bagi setiap PBT yang berlainan adalah agak berbeza.
Sebagai contoh, rumah anda dalam kawasan Shah Alam dibawah pentadbiran MBSA, maka anda boleh layari lamanweb MBSA untuk dapatkan maklumat tentang syarat & had ubahsuai rumah di Shah Alam.
Untuk kemudahan pemilik rumah di Shah Alam, anda boleh rujuk artikel & video had tambahan ubahsuai rumah dalam blog saya di sini ==> http://had-ubahsuai-rumah.blogspot.my
3. Mencari akitek @ pelukis pelan (perunding)
Selepas selesai langkah no.2 dan anda telah faham tentang had ubahsuai yang berkaitan dengan rumah anda, bolehlah anda mula mencari akitek @ pelukis pelan untuk menyediakan rekabentuk pelan ubahsuai rumah & kemukakan pelan ke PBT hingga mendapat kelulusan. Sebagai contoh, jika anda tinggal di Shah Alam, anda boleh buat carian online katakunci seperti contoh dibawah ;
- pelukis pelan di shah alam
- pelukis pelan rumah di shah alam
- pelukis pelan berdaftar di shah alam
- akitek shah alam
- akitek berdaftar shah alam
Dari hasil carian katakunci di atas, anda akan jumpa pelbagai senarai akitek & pelukis pelan yang berkaitan. Semak dalam internet jika akitek & pelukis pelan tersebut mempunyai lamanweb, blog atau video hasil kerja mereka.
Hubungi mereka, buat pertanyaan & minta sebutharga bagi perkhidmatan mereka dengan mengemukakan lakaran kasar pelan tambahan yang dicadangkan. Bandingkan sebutharga antara perunding, jika sebutharga sesuai dengan bajet anda, anda boleh buat pertimbangan sendiri dalam memilih dan seterusnya melantik mana-mana akitek atau pelukis pelan yang dirasakan sesuai dilantik untuk menguruskan kerja pelan ubahsuai rumah anda.
4. Mencari kontraktor ubahsuai rumah
Selepas selesai langkah no.3 dan anda telah melantik perunding bagi menguruskan pelan ubahsuai rumah anda, anda boleh mencari kontraktor ubahsuai rumah anda. Sebagai contoh, jika anda tinggal di Shah Alam maka buatlah carian online katakunci dibawah ;
- kontraktor ubahsuai rumah shah alam
- kontraktor renovation rumah shah alam
- kontraktor ubahsuai rumah berdaftar
- kontraktor ubahsuai rumah berdaftar CIDB
Sama seperti langkah no.3, anda akan jumpa senarai kontraktor yang banyak. Semak samada mereka ada lamanweb, blog & video hasil kerja mereka. Anda boleh emelkan pelan kepada 2-3 orang kontraktor & minta sebutharga dari mereka. Jika ada sebutharga yang bersesuaian dengan bajet anda maka eloklah berjumpa & berbincang berpandukan pelan rekabentuk yang telah disiapkan oleh perunding anda samada boleh jimatkan kos atau lain2 keperluan yang berkaitan.
NASIHAT SAYA
Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, gunakan masa lapang anda sebaiknya bagi mencari maklumat dalam merancang ubahsuai rumah anda. Marilah sama2 kita berdoa setiap hari agar Tuhan segera menghapuskan wabak Covid19 ini dan kita dapat kembali bekerja mencari rezeki, berkhidmat menyelesaikan masalah orang lain dan berbakti kepada keluarga & masyarakat. Selamat berehat di rumah bersama keluarga & jumpa lagi dalam artikel yang akan datang!