Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Showing posts with label corner lot. Show all posts
Showing posts with label corner lot. Show all posts

Saturday, April 15, 2023

Case Study Proses Mendapatkan Permit Kelulusan Pelan Ubahsuai Rumah Teres Lot-Tepi di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam

 

Rumah teres lot tepi seksyen U13 Shah Alam

Case Study Proses Mendapatkan Permit Kelulusan Pelan Ubahsuai Rumah Teres Jenis Lot-Tepi di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam, Selangor D.E.

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada para pembaca blog!

Kali ini saya nak kongsi case study ringkas proses penyediaan pelan ubahsuai rumah teres 2 tingkat jenis lot-tepi di seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam & proses perjalanan mendapatkan kelulusan permit ubahsuai rumah dari MBSA.

SEPTEMBER - OKTOBER 2022

1. Klien telah melantik saya sebagai perunding untuk menguruskan rekabentuk pelan ubahsuai rumah & mendapatkan kelulusan pelan dari MBSA. Kami bertemu & berbincang di rumah yang akan diubahsuai. Klien bercadang untuk membuat tambahan rumah bahagian tepi & belakang untuk keselesaan keluarga beliau. Perbincangan dibuat berpandukan lakaran kasar pelan tambahan rumah yang disediakan klien.

2. Tempoh 14 hari ; Saya sediakan 1st proposal layout plan & visual 3d tambahan rumah & emel kepada klien. Dibawah adalah gambaran 3d tambahan rumah serta video presentation yang diberikan kepada klien ;


Gambar perspektif cadangan ubahsuai rumah lot-tepi seksyen U13 Shah Alam


Video cadangan rekabentuk ubahsuai rumah lot-tepi seksyen U13 Shah Alam


3. Selepas menyemak 1st proposal, klien mencadangkan sedikit pindaan dalam pelan/3d; saya buat pindaan rekabentuk & sediakan 2nd proposal layout plan/3d untuk semakan beliau.

4. Klien setuju dengan design kedua & saya mulakan kerja penyediaan pelan submission ke MBSA. Proses penyediaan pelan submission mengambil masa lebih kurang 14 hari (hari bekerja).


Gambar pelan submission yang siap


NOVEMBER 2022

1. Pelan submission siap & saya emel kepada jurutera untuk penyediaan pelan struktur tambahan 2 tingkat.

2. Jurutera ambil masa dalam 7 hari sediakan pelan struktur & beliau emel kembali pelan struktur tambahan 2 tingkat yang telah siap.

3. Pelan-pelan yang siap saya emel kepada klien untuk di tandatangani & klien emel semula pelan bersama dokumen-dokumen yang diperlukan untuk dikemukakan ke MBSA.


ONLINE SUBMISSION KE MBSA

1. Saya kemukakan semua dokumen secara online ke MBSA pada 7 November 2022. 

2. Dalam tempoh 1-2 hari MBSA menjawab kembali emel dan maklumkan bahawa dokumen didapati lengkap; MBSA berikan tarikh 10 November 2022 untuk saya hadir temujanji bagi semakan pelan/dokumen di kaunter.


Gambar emel jawapan MBSA selepas pelan dikemukakan online


3. Saya cetak semua dokumen & pelan & hadir ke temujanji semakan pelan di MBSA. Hasil semakan & perbincangan dengan pegawai yang semak pelan didapati ada sedikit pindaan yang perlu dibaiki dalam pelan. Pegawai cetak dokumen semakan & berikan sokongan bertulis untuk kemukakan pelan & dokumen lengkap setelah pindaan dibuat ke atas pelan.


Gambar surat semakan/komen/sokongan MBSA selepas pelan disemak oleh pegawai


4. Saya ambil masa 2-3 hari buat pindaan kepada pelan & cetak semula kemudian kemukakan semua dokumen lengkap ke MBSA pada 15 November 2022. Saya maklumkan kepada klien yang pelan telah dikemukakan & tunggu kelulusan dalam jangkamasa 14 hari bekerja.

Gambar surat bukti pelan/dokumen lengkap dikemukakan ke MBSA


KELULUSAN PELAN 30 NOVEMBER 2022

1. Selepas 2 minggu submission, saya semak status kelulusan online pada 30/11/2022 & didapati pelan telah lulus & klien perlu bayar fee MBSA sebanyak RM1874. Saya maklumkan pada klien & beliau transfer jumlah yang perlu dibayar ke akaun saya.

2. Saya ke MBSA pada tarikh sama, bayar bil proses pelan & ambil pelan lulus serta permit ubahsuai MBSA. Saya maklumkan pada klien & buat temujanji untuk serahkan dokumen pada beliau.

Gambar bil MBSA yang telah dibayar & pelan lulus serta permit ubahsuai rumah seksyen U13



NOTA PENTING ;

a. Nama klien, alamat rumah, akitek, pegawai MBSA & nombor file saya padamkan dalam gambar untuk menjaga privasi mereka.

b. Tempoh proses mendapatkan kelulusan boleh menjadi panjang lebih 4-5 bulan jika ;

- klien banyak buat pindaan rekabentuk 3-4 kali,

- selepas submission ke MBSA, ada banyak pembetulan perlu dibaiki selepas disemak pegawai,

- ada dokumen tambahan yang MBSA minta klien sediakan untuk kemukakan ke pegawai,

- ada banyak cuti umum dalam sebulan menjadikan masa proses pelan akan bertambah


JANGKAMASA & TEMPOH MENDAPAT KELULUSAN PELAN;

Anggaran tempoh masa diambil untuk kerja rekabentuk ubahsuai rumah, penyediaan pelan submission, submission pelan ke MBSA hingga mendapat kelulusan adalah sekitar 3 bulan, bermula dari awal bulan September hingga akhir November 2022.

KESIMPULAN;

Saya harap perkongsian kali ini bermanfaat kepada pemilik rumah yang ingin mendapatkan kelulusan pelan dari MBSA. Nasihat saya, buat permohonan sekurang-kurangnya 3-4 bulan sebelum memulakan kerja ubahsuai rumah supaya anda mendapat permit dalan tempoh yang di jangka.

Jumpa lagi dalam artikel akan datang, selamat berpuasa, selamat berbuka & selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT PENYEDIAAN PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA

Saturday, June 11, 2022

Kebenaran Tambahan Ubahsuai Rumah Melebihi Had Anjakan Bangunan di Shah Alam - Syarat & Denda Yang Dikenakan MBSA


Contoh visual 3d rekabentuk tambahan rumah corner lot yang sedang saya siapkan

Assalamualaikum & salam sejahtera. Saya doakan agar semua pengunjung & pembaca blog ini berada dalam keadaan sihat sejahtera walaupun kita dah masuk musim endemik & boleh beraktiviti bebas macam biasa, Alhamdulillah!

Kali ini ada berita baik kepada pemilik rumah yang ingin ubahsuai rumah di Shah Alam.

Pada Julai 2021, MBSA telah mengeluarkan garis panduan kebenaran tambahan & pindaan rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan. 

Dalam panduan ini MBSA telah membenarkan tambahan ubahsuai melebihi anjakan dengan syarat-syarat serta had yang perlu dipatuhi oleh pemilik rumah. Ada beberapa jenis rumah yang dibenarkan membuat tambahan melebihi had anjakan depan, tepi dan belakang rumah. Tapi tambahan yang melebihi had anjakan ini masih tertakluk kepada had tertentu dan akan dikenakan denda oleh MBSA. 


KADAR DENDA UBAHSUAI RUMAH MELEBIHI HAD ANJAKAN MBSA

Secara ringkas, denda ubahsuai melebihi anjakan yang dikenakan ialah seperti berikut ;

1. Denda tambahan rumah melebihi had anjakan tingkat bawah = RM1400

2. Denda tambahan rumah melebihi had anjakan tingkat atas = RM1200

Kadar denda no.1 & no.2 boleh bertambah bergantung kepada keluasan tambahan rumah & biasanya kiraan denda & bil proses pelan akan dihitung oleh perunding yang anda lantik.


JENIS RUMAH YANG DIBENARKAN TAMBAHAN MELEBIHI HAD ANJAKAN MBSA 

1. Rumah teres lot tepi (cornerlot)

2. Rumah teres lot hujung (endlot)

3. Rumah berkembar lot tengah, tepi & hujung

4. Rumah semidi kluster lot tengah, tepi & hujung

5. Rumah banglo lot tengah, tepi & hujung

Dibawah adalah gambarajah yang disediakan oleh MBSA sebagai rujukan bagi tambahan melebihi had anjakan yang dibenarkan serta syarat yang berkaitan.




SYARAT-SYARAT UNTUK MENGEMUKAKAN PERMOHONAN


1) LANTIK PERUNDING

Pemilik dikehendaki melantik Arkitek Profesional atau Pelukis Pelan yang berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) bagi mengemukakan pelan tambahan/pindaan tersebut untuk pertimbangan dan seterusnya kelulusan Majlis. Bagi tambahan yang melebihi 300m² permohonan hanya boleh dikemukakan oleh Arkitek Profesional.


2) BAYARAN FI

Bagi tambahan / pindaan yang melebihi 50% daripada keluasan asal bangunan sedia ada fi bagi cadangan baru akan dikenakan.


3) PERSETUJUAN JIRAN

Pemilik perlu mendapatkan persetujuan daripada jiran yang tinggal bersebelahan :-

i) bagi pembinaan dinding pemisah (party wall). Dinding pemisah ‘party wall’ ini hendaklah ditinggikan sehingga 230mm dari paras bumbung serta dilepa di kedua - dua belah dan dikemaskan dengan skema cat warna asal bangunan,

ii) bagi pembinaan pagar baru / dinding baru / bumbung teres terbuka / balkoni,

iii) bagi tambahan balkoni di tingkat atas (bagi mengantikan bumbung 'porch'). Ketinggian maksima jeriji ‘railing’ atau dinding separa tinggi (half wall) pada ruang tambahan balkoni adalah 900mm – 1000mm.

iv) bagi tambahan sebuah kolam renang di bahagian kiri / kanan bangunan

v) bagi ubahsuai bumbung ‘porch’. 

(Catitan - Persetujuan ini hanya melibatkan ubahsuai kepada jenis bumbung ‘porch’ yang bercantum dengan bumbung ‘porch’ jiran sahaja).

Persetujuan ini diperlukan bagi memelihara keharmonian, menjaga privasi sesama jiran, menghormati hak jiran (jika harta milik bersama) dan mengelakkan aduan semasa kerja-kerja dijalankan serta pemakluman bahawa anda adalah bertanggung jawab sepenuhnya untuk membaiki sebarang kerosakan kepada struktur yang bersempadanan dengan rumah jiran jika kerosakan tersebut terbukti berpunca dari kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.

Kebenaran untuk memasuki kawasan rumah jiran diperlukan sekiranya memerlukan kerja-kerja melepa dan mengecat permukaan jeriji ‘railing’ atau dinding separa tinggi (half wall) / dinding baru / pagar baru yang berada di dalam kawasan rumah jiran.

Surat persetujuan yang telah ditandatangani oleh jiran – jiran tersebut hendaklah dikemukakan bersama semasa permohonan pelan dikemukakan untuk kelulusan di kaunter. Tanpa surat persetujuan jiran-jiran, pemilik tidak dibenarkan untuk membina tambahan seperti yang dicadangkan.


4) KOLAM RENANG

Meninggalkan anjakan minimum sebanyak 2100mm ( 7’0’’ kaki ) dari hujung kolam renang tersebut ke sempadan lot (pagar) bagi mengelakkan sebarang aduan dari jiran bersebelahan.

Adalah diingatkan bahawa pemilik rumah akan dikenakan denda sebanyak dua puluh (20) kali ganda dari yuran proses untuk tambahan yang memasuki kawasan anjakan bangunan.


5) KOLAM PANCURAN / KOLAM IKAN

Meninggalkan anjakan minimum sebanyak 900mm ( 3’0’’ kaki ) dari hujung kolam pancuran air / kolam ikan tersebut ke sempadan lot (pagar) bagi mengelakkan sebarang aduan dari jiran bersebelahan.

Adalah diingatkan bahawa pemilik rumah akan dikenakan denda sebanyak dua puluh (20) kali ganda dari yuran proses untuk tambahan yang memasuki kawasan anjakan bangunan.


6) PONDOK PENGAWAL / GAZEBO / WAKAF / TEMPAT LETAK KERETA BERBUMBUNG

Meninggalkan anjakan minimum bagi unjuran bumbung (roof eaves) binaan pondok pengawal / gazebo / wakaf / tempat letak kereta berbumbung sebanyak 900mm (3’0’’kaki) ke sempadan lot (pagar). Menyediakan tandas pada pondok pengawal kecuali mempunyai akses untuk menggunakan tandas sedia ada yang berdekatan.

Adalah diingatkan bahawa pemilik rumah akan dikenakan bayaran tambahan (denda) sebanyak dua puluh (20) kali ganda dari yuran proses untuk tambahan yang memasuki kawasan anjakan bangunan (kecuali bagi binaan pondok pengawal).


7) BUKAAN PADA DINDING TAMBAHAN BARU ( Bagi Unit Hujung ‘end lot’ )

Tidak dibenarkan membuat sebarang bukaan pada dinding tambahan baru (tingkat bawah sahaja) yang dibina pada garisan sempadan yang bersebelahan lorong tepi dengan kelebaran kurang dari 20.0’.


8) PINTU PAGAR KEDUA

Mengemukakan permohonan ke Jabatan Perancangan, MBSA untuk mendapatkan kebenaran pintu pagar kedua ’new entrance’ yang dibuat tidak mengikut nama jalan pada alamat lokasi.

Mendapatkan ulasan dari Jabatan Landskap, MBSA sekiranya perlu menebang atau mengalihkan pokok pada cadangan bukaan pintu pagar kedua. Mendapatkan ulasan dari Jabatan Kejuruteraan, MBSA sekiranya perlu memecahkan laluan pejalan kaki sedia ada.


9) KERJA-KERJA PEROBOHAN – ‘METHOD STATEMENT’

Perunding yang dilantik dikehendaki melampirkan ‘Method Of Statement’ daripada Jurutera Bertauliah untuk kerja-kerja perobohan rumah asal dengan menyatakan kajian terperinci mengenai kaedah perobohan dan langkah-langkah keselamatan yang diambil semasa kerjakerja perobohan dilaksanakan. Jurutera berkenaan juga dikehendaki menyertakan surat pengesahan kekukuhan struktur dan pelan – pelan struktur yang telah disahkan.


10) KERJA TANAH (CUT & FILL), BASEMENT DAN RETAINING WALL

Sekiranya pembinaan melibatkan kerja tanah (cut & fill) Jurutera Perunding perlu mengemukakan permohonan Permit Mengeluarkan Tanah dan Batuan dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terlebih dahulu sebelum Pelan Bangunan dikemukakan ke Jabatan Bangunan.

Selain itu, Jurutera Perunding juga dikehendaki mendapatkan kelulusan Pelan Kerja Tanah daripada Jabatan Kejuruteraan, MBSA yang menyatakan kaedah pengorekan serta langkah-langkah keselamatan semasa kerja-kerja tanah dijalankan.

Mengemukakan surat dan perkiraan kekukuhan struktur beserta pelan struktur untuk binaan `BASEMENT` DAN `RETAINING WALL’ daripada Jurutera bertauliah dan berdaftar dan perlu mengemukakan ke Jabatan Kejuruteraan, MBSA untuk ulasan dan kelulusan terlebih dahulu bagi reka bentuk, bahan dan kekukuhan struktur sebelum Pelan Bangunan dikemukakan ke Jabatan Bangunan.


11) BUMBUNG RATA

Mengemukakan Surat Akujanji untuk menyelenggara bumbung rata ‘Flat Roof’( jika ada) yang akan dibina serta surat kekukuhan struktur bumbung daripada Jurutera Berdaftar dan seterusnya memastikan bumbung rata sentiasa diselenggara dalam keadaan baik dan tiada air hujan yang bertakung. Kecerunan minima bagi bumbung rata adalah 4.


12) TALANG AIR (BUMBUNG CURAM)

Jika menggunakan bubung curam, sila pastikan talang air hujan (gutter) di bumbung tambahan baru disediakan.


13) KEKUKUHAN STRUKTUR

Perunding yang dilantik dikehendaki melampirkan surat pengesahan kekukuhan struktur dan pelan – pelan struktur yang telah disahkan oleh Jurutera Bertauliah.


14) KEKAL REKABENTUK ASAL

Rekabentuk yang dicadangkan hendaklah mengekalkan ciri – ciri senibina rekabentuk dan keseragaman fasad, bumbung serta skema warna pembangunan asal.


15) PERUMAHAN BERSTRATA ATAU KOMUNITI BERPAGAR & BERPENGAWAL (GATED & GUARDED COMMUNITY)

Pemilik rumah yang tinggal di dalam kawasan komuniti berpagar dan berpengawal (Gated and Guarded Community) dikehendaki mendapatkan surat tiada halangan atau persetujuan daripada Pemaju / (Managing Corporation) / JMB bagi tambahan/pindaan yang dicadangkan terlebih dahulu. Persetujuan ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya percanggahan / perlanggaran pada syarat-syarat perjanjian yang terkandung di dalam ‘Deed of Mutual Covenant’ (DMC) yang telah dipersetujui dan ditanda tangani oleh pemilik dan pemaju.

Adalah diingatkan bahawa tanpa surat persetujuan Pemaju / (Managing Corporation) / JMB tersebut pemilik tidak dibenarkan membina tambahan seperti yang dikehendaki.


16) PAGAR KESELAMATAN DAN PAPAN TANDA

Bagi tambahan / pindaan yang melebihi 50% daripada keluasan asal bangunan sedia ada pihak Perunding yang dilantik dikehendaki mengemukakan pelan bagi pagar keselamatan dan papan tanda binaan.


PERINGATAN

1. FI TAMBAHAN (DENDA)

Pemilik akan dikenakan fi tambahan (denda) sebanyak dua puluh (20) kali ganda dari yuran proses pelan untuk tambahan yang melebihi anjakan bangunan dan bayaran tambahan sebanyak lima (5) kali ganda fi proses bagi binaan yang telah dibina di tapak tanpa kelulusan Majlis merujuk Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu :

“Tiada seseorang boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Tempatan.”

Pemilik adalah diingatkan bahawa fi tambahan yang dikenakan ini tidak mengecualikan seseorang daripada didakwa oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Pihak Majlis juga berhak merobohkan tambahan bangunan sekiranya terdapat mana – mana individu atau pihak yang tidak berpuas hati terhadap binaan yang didirikan di dalam kawasan tersebut.


2. SURAT AKUJANJI

Pemilik perlu mengemukakan Surat Akujanji untuk membaiki sebarang kerosakan yang berlaku kepada rumah jiran bersebelahan yang berpunca dari kerja-kerja pembinaan yang dilakukan di tapak (jika melibatkan struktur yang dikongsi bersama).

Pemilik juga dikehendaki mengemukakan akujanji untuk tidak membina selain dari yang dimohon dan diluluskan oleh Majlis. Adalah diingatkan bahawa kesalahan membina melencong daripada pelan lulus membolehkan pihak Majlis mengenakan tindakan Undang-Undang terhadap pemilik mengikut peruntukan di bawah Seksyen 70(13)(b), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu,

”Seseorang yang melencong daripada mana-mana pelan atau penentuan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan denda tambahan sebanyak satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.”


3. SAMAN & DENDA MBSA

Perunding diingatkan adalah menjadi satu kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 70(13)(b) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu mana-mana orang yang MELENCONG daripada mana-mana pelan atau penentuan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi LIMA PULUH RIBU RINGGIT (RM50,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda tambahan sebanyak SATU RIBU RINGGIT (RM1,000.00) bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.


NOTA PENTING & PENAFIAN ;

1. Semua maklumat di atas saya ambil dari pdf yang diberikan oleh MBSA di lamanweb mereka.

2. Saya adalah perunding swasta dan bukan pekerja/staf MBSA & tidak pernah bekerja di MBSA atau mana2 jabatan kerajaan.

3. Maklumat yang saya kongsi disini adalah infomasi umum sahaja, untuk info lanjut yang lebih terperinci, anda perlu bertanya dengan staf MBSA melalui emel@telefon atau di kaunter MBSA.

Diharap maklumat di atas dapat membantu pemilik rumah yang ingin ubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan. Selamat mengubahsuai rumah & jumpa lagi dalam post yang akan datang!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA


Thursday, October 10, 2013

Had Anjakan Tambahan Ubahsuai Rumah Lot Tepi di Shah Alam

Assalamualaikum & Salam sejahtera! Dah lama saya tak menulis kat blog ni! Kali ni saya nak bincangkan Berapakah had & jarak tambahan rumah lot tepi yang dibenarkan di kawasan Shah Alam? Ramai pemilik rumah lot tepi di Shah Alam yang masih kabur dengan garispanduan had ubahsuai & had tambahan rumah yang dibenarkan oleh MBSA.

Untuk menyelesaikan masalah ini, saya sekadar termampu telah membuat beberapa lakaran had anjakan bangunan yang dibenarkan bagi tambahan pindaan rumah di Shah Alam. Sebenarnya dah lama saya paparkan kat website lama saya, rasanya tahun 2008 kot, tapi sebab website tu agak hodoh & tak glemer jadi saya terpaksalah update kat blog ni hehehe!

Dibawah adalah pelan kasar had tambahan yang dibenarkan oleh MBSA bagi rumah teres jenis lot tepi (corner lot) di kawasan Shah Alam.




1. Tambahan Depan rumah - Boleh tambah bahagian depan rumah atas & bawah, syaratnya perlu kekalkan 'clearance' 20' antara dinding baru & pagar rumah.

2. Tambahan Tepi rumah - Boleh tambah bahagian tepi rumah atas & bawah, syaratnya perlu kekalkan 'clearance' 20' antara dinding baru & pagar rumah.

3. Tambahan Belakang rumah - Boleh tambah bahagian atas & bawah rapat ke pagar, syaratnya bumbung bahagian belakang tak boleh melebihi pagar rumah. Biasanya dalam plan saya akan design & lukis concrete gutter tersembunyi yang tak tersembul dari had pagar rumah belakang.

Tentang jenis rekabentuk tambahan & pindaan rumah samada design tropikal, bali design, modern, postmode atau roman classic, terpulanglah kepada pilihan anda, yang penting pelan yang dikemukakan ke MBSA perlu mengikut syarat teknikal yang digariskan dalam borang tambahan/pindaan rumah MBSA. Jika anda tinggal diluar Shah Alam, sila rujuk garispanduan & had ubahsuai rumah dengan PBT di kawasan anda kerana syarat-syarat PBT lain mungkin berbeza dengan MBSA.

InsyaAllah di masa akan datang (jika saya rajinlah hehe) saya akan paparkan lagi lakaran had anjakan bagi rumah jenis lot tengah, endlot, semidi & banglo untuk maklumat para pengunjung blog ini. Atau anda boleh terus klik sini untuk melihat semua gambaran had tambahan tersebut. Jumpa lagi dalam post yang akan datang!



Saturday, December 22, 2012

Ubahsuai Rumah Di Shah Alam WAJIB dapatkan CF/CCC!

Assalamualaikum & salam sejahtera!
BERITA PENTING UNTUK WARGA SHAH ALAM!


Saya telah dipanggil bermesyuarat dengan Pengarah Jabatan Bangunan MBSA pada 20/12/2012. Tujuannya adalah penerangan & penjelasan tentang kepentingan prosedur penjagaan tapak semasa pembinaan rumah dan langkah penting yang perlu diambil untuk mendapatkan CF selepas rumah siap diubahsuai. Hal ini adalah susulan kepada kes rumah roboh di seksyen 7 dimana sekarang MBSA adalah lebih tegas dan mengambil langkah berhati-hati dalam memproses semua permohonan untuk kelulusan ubahsuai rumah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Antara perkara yang dibincangkan ialah ;

PELAKSANAAN ZON BERSIH DI SEKSYEN 12
MBSA akan melaksanakan zon bersih di seksyen 12, Shah Alam sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di seksyen 10 & 11. Jadi dalam hal ubahsuai rumah, semua projek tambahan & pindaan rumah di seksyen 12 (termasuk rumah klien saya yang dalam pembinaan kat situ) perlu mendapatkan kelulusan pelan & dibina mengikut had yang dibenarkan. Akitek/perunding diwajibkan memantau kerja-kerja pembinaan mengikut jadual kerja yang telah dirancang sehingga rumah siap & mendapat CF.

UBAHSUAI MELEBIHI HAD AKAN KENA ROBOH
Saya dinasihatkan supaya bertegas dengan semua klien/pemilik rumah yang telah mendapat kelulusan pelan, tapi telah (mengambil peluang) membuat tambahan rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan MBSA. Arahan ini adalah untuk memastikan pemilik mematuhi undang-undang dan tidak mengganggu jiran sebelah kerana saya dimaklumkan bahawa banyak kes berlaku pertikaian melibatkan aduan dari jiran sebelah sehingga MBSA terpaksa menjadi orang tengah untuk selesaikan masalah sosial pulak, walaupun masalah teknikal dah selesai!

RAYUAN UBAHSUAI RUMAH 1 TINGKAT KE 2 TINGKAT
Saya telah bertanya tentang masalah beberapa orang klien saya yang telah membuat rayuan 2-3 bulan lalu untuk membuat ubahsuai 1tkt ke 2tkt dimana rayuan mereka telah ditolak susulan kejadian rumah roboh di seksyen 7. Saya dimaklumkan bahawa buat masa ini MBSA akan pertimbangkan rayuan bagi rumah jenis lot-tepi sahaja, jadi saya diminta untuk mengemukakan rayuan kali ke-2 dan disertakan bersama surat/notis MBSA yang terdahulu untuk semakan semula. Bagaimanapun keputusan samada dibenarkan atau tidak adalah hak mutlak MBSA dan pemilik wajib mematuhi keputusan yang dikeluarkan majlis demi untuk menjaga keselamatan & keharmonian serta kepentingan jiran sebelah.


Adoih poning palo den! Banyok kojo nak buek! Bayo dahlah murah!

APA TINDAKAN SAYA SEKARANG?
- Dalam kes rayuan 1tkt jadi 2tkt, saya kena sediakan rayuan baru untuk klien & submit semula ke MBSA
- Maklumkan kepada klien yang sedang buat pembinaan supaya ikut had ubahsuai yang dibenarkan, kalau lebih kena robohlah beb...
- Submit borang B (akuan mula kerja) ke majlis sebelum klien mulakan kerja ubahsuai di tapak & pantau progress pembinaan setiap minggu
- Mendapatkan pengesahan & tandatangan kontraktor dalam borang G1-G20 bagi setiap peringkat pembinaan/pemasangan yang telah disiapkan kemukakan ke MBSA & uruskan hingga dapat CF/CCC

KESIMPULANNYA!

Mulai sekarang, khidmat penyediaan pelan ubahsuai ke MBSA yang saya uruskan adalah tidak terhenti bila anda mendapat kelulusan pelan & permit mula kerja sahaja, tapi saya wajib menjaga tapak binaan dan memantau sehingga ubahsuai rumah anda mendapat CF (macam buat rumah baru). Jadi secara otomatiknya kerja saya makin banyak, jadi kos/fee perkhidmatan saya akan bertambahlah ye, hehe jangan marah nanti kena jual daa.... jumpa lagi & selamat menyambut Tahun Baru 2013!

Mutiara Pengubat Jiwa