Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Showing posts with label 1 tingkat. Show all posts
Showing posts with label 1 tingkat. Show all posts

Saturday, April 8, 2023

Masalah Ubahsuai Rumah Berkembar @ Rumah Semidi di Shah Alam, Selangor D.E.

Video contoh rekabentuk tambahan ubahsuai rumah semidi setingkat 


Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pengunjung blog saya. Waktu artikel ini ditulis umat Islam sedang berpuasa hari ke 17 Ramadan, jadi saya ucapkan selamat berpuasa & berbuka kepada semua umat Islam & selamat berbelanja di bazar Ramadan kepada sahabat2 non-Muslim.

Kali ini saya nak bincang sedikit tentang masalah ubahsuai rumah berkembar @ rumah semidi di Shah Alam. MBSA mempunyai syarat yang agak ketat berkaitan ubahsuai rumah berkembar. Ini meliputi rumah berkembar jenis lot tengah, rumah berkembar lot tepi & rumah berkembar jenis end-lot.


A. CONTOH MASALAH UBAHSUAI RUMAH BERKEMBAR JENIS LOT TENGAH


1. Encik X telah membeli rumah berkembar setingkat jenis intermediate di seksyen 30 Shah Alam, Selangor. Beliau berhajat untuk membuat tambahan porch, ruang tamu, bilik & dapur seperti lakaran pelan dibawah ;


Gambar lakaran pelan tambahan rumah semidi 1tkt


2. Encik X kemudian melantik saya untuk menyediakan pelan ke MBSA. Saya maklumkan beliau bahawa tambahan rumah berkembar tertakluk kepada had anjakan seperti video di bawah ;



3. Saya juga maklumkan beliau bahawa dalam pelan, tambahan yang dibenarkan MBSA ada 2 jenis;

a. Tambahan dibenarkan dalam had anjakan 10ft bahagian depan, tepi & belakang

b. Tambahan melebihi had anjakan dibenarkan adalah teres terbuka dengan anjakan 5ft tepi dan 5ft belakang

dibawah adalah lakaran had tambahan dibenarkan yang saya tunjuk kepada klien ;


Gambar lakaran pelan tambahan semidi melebihi anjakan yang dibenarkan


B.  DENDA UBAHSUAI RUMAH MELEBIHI ANJAKAN TEPI & BELAKANG

Saya maklumkan kepada Encik X bahawa tambahan teres tepi & belakang melebihi anjakan 5ft dibenarkan oleh MBSA tapi akan dikenakan denda sebanyak RM1400.

Klien kecewa kerana tidak dapat membuat tambahan rumah seperti yang dihajatkan, sebaliknya terpaksa akur peraturan pihak majlis untuk membina dalam had anjakan yang dibenarkan.

Pelan kemudian dilukis pengikut had tambahan yang dibenarkan & dikemukakan ke MBSA hingga mendapat kelulusan & permit ubahsuai rumah.


C. MASALAH YANG BERLAKU DI TAPAK BINAAN

Encik X kemudian mengarahkan kontraktor untuk membuat pembinaan melebihi had anjakan yang diluluskan MBSA selepas mendapat permit ubahsuai rumah. Jiran2 pulak membuat komplen ke MBSA kerana tambahan yang dibina terlalu hampir dengan pagar rumah mereka (rumah semidi) dan mengganggu privasi mereka.

MBSA buat rondaan dan didapati ubahsuai melebihi had kelulusan yang dibenarkan, lalu di arahkan berhenti kerja2 ubahsuai di tapak & merobohkan struktur binaan yang melebihi anjakan. Dalam masalah di atas, jika pemilik patuh arahan & merobohkan binaan yang melebihi anjakan & membina semula seperti had yang diluluskan, maka MBSA tidak akan keluarkan denda kerana telah mematuhi had yang diluluskan.


D. APA BERLAKU JIKA PEMILIK ENGKAR ARAHAN MBSA?

MBSA boleh keluarkan denda & merobohkan struktur binaan tersebut. Kos kerja2 perobohan oleh pihak majlis akan ditanggung oleh pemilik & disertakan dalam denda; jumlah denda bergantung kepada keluasan tambahan & boleh mencapai RM25k atau lebih.

MBSA juga boleh melaporkan hal ini kepada Lembaga Akitek Malaysia & akitek/drafman yang terlibat menguruskan projek ini boleh dikenakan denda atau dibatalkan lesen praktik sebagai akitek/drafman.

Jadi dalam hal ini pihak akitek/drafman juga menanggung risiko dan pemilik menanggung risiko denda/saman & rumah dirobohkan.


E. APA PERLU DILAKUKAN OLEH PEMILIK RUMAH?

Patuhilah undang2 & had ubahsuai rumah yang digariskan oleh MBSA. Dijamin kocek anda selamat & jiran2 anda pun suka dengan anda. 

Untuk bacaan lanjut tentang had ubahsuai rumah semidi anda boleh klik link dibawah ;

1. HAD UBAHSUAI RUMAH BERKEMBAR DI SHAH ALAM

2. KEBENARAN UBAHSUAI MELEBIHI HAD ANJAKAN OLEH MBSA


ADA PERTANYAAN? Emel soalan anda ke pelukispelan1@gmail.com

Saya harap perkongsian kali ini memberi manfaat kepada pemilik rumah semidi yang berhajat mengubahsuai rumah. Sila share artikel ini jika boleh memberi manfaat kepada orang lain, selamat berpuasa & jumpa lagi dalam post yang akan datang!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM


Friday, March 24, 2017

Case Study - Rayuan Ubahsuai Rumah Berkembar 1 Tingkat di Seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam.




Assalamualaikum & Salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsikan satu case study rayuan ubahsuai rumah berkembar 1 tingkat di seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor D.E. yang telah saya uruskan dari peringkat rayuan+rekabentuk+pelan+submission hingga mendapat kelulusan dari MBSA.


Klien telah melantik saya untuk menguruskan rayuan ubahsuai rumah & penyediaan pelan tambahan rumah ke MBSA. Klien ingin mengubahsuai rumah di bahagian tepi & belakang yang melebihi had anjakan yang dibenarkan. Saya telah menyediakan surat rayuan & lakaran pelan tambahan rumah tersebut & kemukakan ke MBSA pada 22/12/2016.


Surat rayuan yang telah dikemukakan ke MBSA


Sementara menunggu MBSA menjawab rayuan kepada klien, saya telah membuat proposal rekabentuk tambahan ubahsuai rumah yang dikehendaki oleh klien seperti dibawah;

Contoh rekabentuk tambahan ubahsuai rumah semidi seksyen 30

1. Dalam masa yang sama, setiap minggu saya akan buat semakan rayuan sebanyak 2 kali di MBSA. Pada 24/1/2017, MBSA telah keluarkan surat jawapan kepada rayuan & membenarkan klien membuat tambahan melebihi had anjakan seperti yang diminta; dengan syarat melantik akitek/perunding untuk menguruskan kerja2 tersebut & membayar sejumlah denda kerana membuat tambahan melebihi had yang dibenarkan. 

Surat jawapan MBSA kepada rayuan ubahsuai rumah

2. Selepas mendapat jawapan dari MBSA, saya telah menyediakan pelan detail drawing @ submission drawing bersaiz A1. Kerja2 penyediaan pelan mengambil masa lebih kurang 2 minggu. Pelan yang siap telah dicetak dan ditandatangani oleh klien. Pelan2 yang disediakan adalah seperti dibawah;

Pelan detail drawing saiz A1 untuk dikemukakan ke MBSA

3. Pelan yang lengkap bersama dokumen2 kemudian dikemukakan ke MBSA; 
- Hari pertama ; 1st submission hasil semakan MBSA didapati ada perkara2 teknikel yang perlu dibaiki/tambah dalam pelan. Saya kembali ke ofis & membaiki pelan2 tersebut.
- Hari ke-2 - 2nd submission hasil semakan MBSA didapati ada lagi sedikit pembaikan yang perlu dibuat kepada pelan. Saya kembali ke ofis & membaiki pelan2 tersebut.
- Hari ke-3 - 3rd submission hasil semakan MBSA didapati pelan2 telah lengkap diperbetulkan dan terus diproses oleh pegawai di kaunter. 

4. Bil proses pelan/denda dikeluarkan selepas pelan2 diproses & saya terus membayar semua bil2 tersebut dengan wang yang diamanahkan oleh klien. MBSA kemudian menyerahkan notis/surat pengambilan pelan lulus yang memaklumkan tarikh/masa untuk saya datang mengambil pelan lulus & permit mulakerja.


Alhamdulillah, pada 4pm bertarikh 8/2/2017, pihak MBSA telah mengeluarkan pelan lulus, surat lulus & permit mula kerja. Saya telah mengambil dokumen2 tersebut & menyerahkan kepada klien bersama resit2 proses pelan yang telah dibayar kepada MBSA. Dibawah adalah dokumen kelulusan yang telah dikeluarkan MBSA.

Pelan lulus & permit mulakerja MBSA


a. Dalam case study ini, nama klien & alamat tidak dinyatakan untuk menjaga privasi klien saya.

b. Rayuan ubahsuai rumah melebihi had anjakan jika dibenarkan MBSA akan dikenakan denda 20x ganda mengikut jumlah bil proses pelan yang dikira berdasarkan keluasan tambahan rumah yang melebihi had anjakan.

c. Jumlah wang untuk bayaran bil/denda MBSA perlu diserahkan oleh klien kepada perunding atau akitek anda pada hari submission untuk membayar fee MBSA jika pelan diproses pada hari yang sama atau esok harinya. MBSA berhak menolak submission pelan jika ada pembetulan yang perlu dibuat kepada pelan & perlu dikemukakan pada hari yang lain.
 
d. Walaupun MBSA menjamin kelulusan pelan dalam 1hari, hal ini hanya berlaku jika PELAN YANG DIKEMUKAKAN ADALAH 100% PERFECT & TIADA CACAT CELA! 
Bagi akitek@perunding yang biasa mengemukakan pelan2 ke pihak majlis, tiada jaminan bahawa pelan yang dikemukakan pada 1st submission akan terus diproses & mendapat kelulusan dihari yang sama. Semasa pelan disemak dengan teliti oleh pegawai di kaunter, biasanya akan ada perkara2 teknikel dalam pelan yang perlu dibetulkan atau dokumen2 yang tidak cukup perlu ditambah oleh klien. 

Dalam hal ini pelan2 akan dibawa pulang, dibaiki semula oleh perunding & dikemukakan ke MBSA pada lain hari sehingga pihak MBSA berpuashati dengan pelan/dokumen yang telah lengkap diperbaiki maka barulah pelan akan diproses untuk kelulusan.


Jika anda ingin mengubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan, anda perlu membuat rayuan & melantik perunding/akitek untuk menguruskan kerja2 tersebut hingga ke peringkat submission & mendapat kelulusan pihak majlis. 

Masa yang diambil untuk semua urusan di atas mungkin sekitar 2-3 bulan atau lebih, bergantung kepada macam2 hal terutama jika ada banyak hari cuti umum atau jika klien banyak membuat pindaan kepada rekabentuk pelan atau lain2 hal yang tidak dijangka. Jadi anda & perunding/akitek perlu berbincang & merancang sebaik2nya tempoh untuk mendapatkan kelulusan pelan sebelum memulakan kerja ubahsuai rumah.

Diharap tips & panduan ubahsuai rumah kali ini memberi manfaat kepada sesiapa yang ingin mengubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan. Jumpa lagi dalam post yang akan datang & selamat mengubahsuai rumah anda!


Tuesday, March 7, 2017

Case Study Rayuan Ubahsuai Rumah Teres 1 Tingkat ke 2 Tingkat di Shah Alam 2016



Contoh visual 3d tambahan rumah 1 tingkat ke 2 tingkat

Assalamualaikum & salam sejahtera! Kali ini saya nak kongsi case study salah satu rayuan ubahsuai rumah dari 1 Tingkat ke 2 Tingkat kepada rumah teres lot tengah di seksyen 18, 40200 Shah Alam pada tahun 2016. Proses rayuan & permohonan ini memakan masa agak panjang & bermula dari Januari 2016 hingga Oktober 2016 kerana klien banyak membuat pindaan kepada rekabentuk ubahsuai rumah yang saya cadangkan.

Prosedur permohonan ubahsuai Rumah Teres lot tengah dari 1 Tingkat kepada 2 Tingkat pada tahun 2016 agak mencabar dan berbeza dengan tahun2 yang terdahulu kerana banyak prosedur tambahan yang perlu ditempuhi, jadi dalam artikel kali ini saya kongsikan prosedur yang telah dilalui sepanjang saya menguruskan permohonan bagi pihak klien. Nama & alamat pemilik dipadamkan untuk menjaga privasi klien saya.

Berikut adalah kronologi permohonan & rayuan ubahsuai tersebut ;-

DISEMBER 2015
Setelah berjumpa & berbincang panjang, klien telah melantik saya sebagai perunding untuk menguruskan kerja2 rayuan, rekabentuk pelan ubahsuai rumah & penyediaan pelan ke MBSA hingga mendapat kelulusan.

JANUARI 2016
1. Saya sediakan lakaran pelan ubahsuai rumah & kemukakan bersama surat rayuan ubahsuai rumah 1 Tingkat ke 2 Tingkat ke Jabatan Bangunan MBSA. Biasanya saya akan ke MBSA untuk follow-up & semak status rayuan dalam tempoh 14 hari selepas rayuan dikemukakan ke MBSA. Dibawah adalah surat rayuan yang telah dikemukakan ke MBSA;


Surat rayuan yang telah dikemukakan ke MBSA

2. Sementara menunggu jawapan MBSA, saya sediakan proposal rekabentuk ubahsuai rumah kepada klien seperti contoh gambar dibawah;



Cadangan rekabentuk ubahsuai rumah

3. Sekitar 3 minggu selepas rayuan dikemukakan, MBSA keluarkan surat jawapan dari Jabatan Bangunan & dibenarkan membina tambahan 2 tingkat dengan syarat-syarat tambahan yang tertentu. Dibawah adalah surat jawapan dari MBSA; 


Surat jawapan dari MBSA kepada rayuan tambahan 1 tingkat ke 2 tingkat

4. Antara syarat tambahan ialah saya perlu sediakan pelan ubahsuai lengkap (detail drawing) bersaiz A3 sebanyak 15 set beserta CD yang mengandungi softcopy pelan ubahsuai rumah & dikemukakan ke MBSA dimana pegawai in-charge ubahsuai rumah seksyen 18 akan bentangkan pelan tersebut dalam mesyuarat mingguan bersama ahli2 majlis MBSA untuk mendapat sokongan dari mereka. Kerja penyediaan detail drawing submission plan saiz A3 mengambil masa sekitar 14 hari. Dibawah adalah 1 set pelan bersaiz A3 yang telah siap & telah dikemukakan ke mesyuarat majlis MBSA;



Pelan saiz A3 15 set dikemukakan & dibentang dalam mesyuarat majlis MBSA

MAC 2016
Selepas beberapa minggu pembentangan pelan ubahsuai yang dicadangkan dalam mesyuarat majlis MBSA, satu surat sokongan telah dikeluarkan oleh MBSA dan klien dibenarkan membuat ubahsuai seperti proposal yang dicadangkan dalam mesyuarat. Surat sokongan ini saya perlu kemukakan sewaktu submission plan sebenar ke Jabatan Bangunan. Surat jawapan keputusan mesyuarat majlis adalah seperti dibawah;


Surat keputusan hasil mesyuarat majlis kepada rayuan ubahsuai rumah 1tkt ke 2tkt

APRIL 2016 hingga SEPTEMBER 2016
Dalam tempoh ini, pihak klien telah membuat lebih 10 kali pindaan kepada design tambahan rumah tersebut dan saya telah menyediakan 10 proposal baru bagi setiap kali pindaan dibuat. Proposal yang dipinda dibuat dalam bentuk pelan 2d & visual 3d serta video presentation.

OKTOBER 2016
1. Klien telah bersetuju dengan rekabentuk yang dicadangkan & akhirnya saya telah sediakan pelan 'submission' lengkap bersaiz A1 dalam 14 hari. Saya juga melantik jurutera berdaftar untuk penyediaan pelan struktur bagi tambahan 2 tingkat. Pelan-pelan ini kemudian dikemukakan ke MBSA bersama dokumen2 yang diperlukan.

2. Submission pelan ini berlangsung 3 kali pada 3 hari yang berbeza; 2x semakan MBSA & ada pembetulan perlu dibuat di atas pelan hingga submission kali ke-3 dimana semua pelan & pembetulan telah disemak & diterima MBSA untuk proses kelulusan pelan. Bil proses pelan dikeluarkan & dibayar dengan wang yang klien amanahkan pada saya. MBSA kemudian menyerahkan notis makluman tarikh untuk datang & ambil pelan/permit kelulusan ubahsuai rumah.

OKTOBER 2016 - KELULUSAN PELAN
Alhamdulillah, selang sehari selepas urusan di atas, pelan lulus & permit ubahsuai rumah telah dikeluarkan oleh MBSA & semua dokumen tersebut termasuk resit2 proses pelan MBSA telah saya serahkan kepada klien. Lega rasanya! Dibawah adalah salinan pelan lulus & permit kerja yang telah dikeluarkan;


Pelan telah diluluskan MBSA! Yahooo yabedabedooo!
KESIMPULAN
 

Saya dapati prosedur permohonan & rayuan ubahsuai rumah dari 1 Tingkat kepada 2 Tingkat pada tahun 2016 agak rumit kerana banyak prosedur yang perlu dilalui. Tempoh permohonan akan menjadi lama jika klien banyak membuat pindaan kepada rekabentuk ubahsuai rumah tersebut, atau jika sewaktu submission di kaunter MBSA, terdapat banyak pembetulan yang perlu dibuat pada pelan selepas pelan disemak oleh pegawai bertugas. Hampir mustahil untuk dapatkan kelulusan pada kali pertama submission, biasanya 2-3 kali submission (lepas pelan dibetulkan) atau lebih hingga MBSA berpuashati maka barulah pelan akan diproses untuk kelulusan.

BERAPAKAH FEE YANG DIKENAKAN UNTUK PERKHIDMATAN DIATAS?
 

1. Ringkas cerita, fee yang saya kenakan hanyalah senilai sekangkang kera jika dibandingkan fee akitek profesional yang sekangkang kingkong! Untuk mendapatkan sebutharga/fee bagi kerja2 di atas, sila buat lakaran pelan ubahsuai rumah yang simple & emel ke pelukispelan1@gmail.com.
2. Saya akan semak & emelkan quotation kepada anda. Anda TIDAK WAJIB & TIDAK TERIKAT untuk melantik saya sebagai perunding walaupun telah menerima sebutharga dari saya; sebaliknya saya cadangkan anda dapatkan sebutharga dari akitek/perunding2 yang lain, bandingkan dengan fee saya dan lihat rekod hasil kerja perunding2 lain & buat keputusan anda sendiri sebelum melantik mana2 perunding bagi menguruskan kerja2 pelan & submission ke MBSA.

Diharap tips & panduan ubahsuai rumah kali ini akan membantu sesiapa sahaja yang berhajat mengubahsuai rumah 1 tingkat ke 2 tingkat di Shah Alam. Jumpa lagi dalam artikel yang akan datang & selamat mengubahsuai rumah di tahun 2017!

RUJUKAN TAMBAHAN UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM
1. Had ubahsuai rumah dari 1 tingkat ke 2 tingkat
==> http://had-ubahsuai-rumah.blogspot.com/2015/06/had-tambahan-ubahsuai-rumah-teres-1_26.html
2. Cara membuat rayuan ubahsuai rumah ke MBSA
==> http://tips-ubahsuai-rumah.blogspot.my/2015/04/cara-membuat-rayuan-ubahsuai-rumah-ke.html


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH & SUBMISSION KE MBSA

Sunday, June 21, 2015

Had Anjakan Tambahan Ubahsuai Rumah di Shah Alam kawasan MBSA


Assalamualaikum & Salam sejahtera! Anda nak ubahsuai rumah tapi masih pening dengan had ubahsuai yang dibenarkan MBSA? Ramai lagi yang masih keliru tentang had tambahan ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA bagi kawasan perumahan di Shah Alam. Untuk membantu anda mendapatkan gambaran yang jelas tentang had tambahan ubahsuai rumah di Shah Alam, saya telah menyediakan 4 video visual 3d lakaran kasar had anjakan ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA.

Paparan video dibawah menunjukkan had ubahsuai rumah bagi;

1. Rumah teres jenis lot tepi @ corner lot
2. Rumah teres jenis lot tepi @ end-lot (middle-lot)
3. Rumah berkembar @ semidi jenis middle-lot
4. Rumah banglo jenis middle-lot










KLIK SINI UNTUK MENONTON VIDEO HAD TAMBAHAN UBAHSUAI BAGI 7 JENIS RUMAH


Dalam empat video di atas, walaupun saya tunjukkan semuanya mengenai had tambahan rumah jenis 1 tingkat, had anjakan bangunan bagi tambahan rumah yang ditunjukkan adalah sama dengan rumah jenis 2 tingkat.

Saya harap paparan video di atas dapat menjelaskan dengan terang tentang had ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA. Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan sediakan lagi paparan video tentang had tambahan ubahsuai rumah lain seperti had ubahsuai rumah end-lot lorong tepi, rumah semidi-kluster, rumah zero-lot, rumah banglo jenis lot-tepi dan sebagainya. 


Diharap tips ubahsuai rumah kali ini akan memberi manfaat kepada semua pembaca blog & jumpa lagi dalam post yang akan datang, insyaAllah. Selamat berpuasa & selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak!

KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK UBAHSUAI RUMAH & PENYEDIAAN PELAN KE MBSA

Monday, March 4, 2013

Panduan Ubahsuai Rumah 1 Tingkat ke 2 Tingkat di Shah Alam 2013



Assalamualaikum & Salam sejahtera! Alhamdulillah, setelah berbulan menunggu sejak penghujung 2012, minggu lepas saya telah menerima surat jawapan dari MBSA berkenaan rayuan Ubahsuai Rumah 1 Tingkat ke 2 Tingkat yang telah saya kemukakan bagi pihak 3 klien saya (yang tak selesai2 sejak 2012!) Alhamdulillah 2 surat jawapan MBSA untuk rayuan ubahsuai rumah di seksyen 27 & seksyen 30 telah keluar manakala 1 rayuan lagi untuk rumah di seksyen 2 masih dalam proses.

Ringkas cerita, MBSA telah memberi kebenaran untuk ubahsuai rumah 1 tingkat ke 2 tingkat dengan syarat tidak melebihi had anjakan bahagian tepi 10' dan semua tambahan 2 tingkat bermula dari bahagian tengah rumah hingga ke belakang rumah. Pemilik juga perlu memohon kebenaran dari jiran rumah sebelah tepi, depan & belakang secara bertulis. Dibawah adalah skrinshot surat jawapan MBSA; saya padamkan nama/alamat klien untuk menjaga hak privasi beliau.



Untuk tahun 2013 ini, saya boleh simpulkan bahawa cara membuat permohonan bagi ubahsuai rumah 1 tingkat ke 2 tingkat sangat berbeza dari prosedur tahun-tahun yang lepas kerana dokumen/surat yang perlu dikemukakan lebih banyak & perlu disediakan dengan teliti. Jika dulu saya hanya menyediakan 3 dokumen ringkas, iaitu surat rayuan 1tkt ke 2tkt bersama gambar rumah asal & lakaran pelan bersaiz A4 & dikemukakan ke MBSA, lepas itu tunggu surat jawapan dari MBSA dalam 2-4 minggu. Tapi tahun ini prosedur sudah makin rumit.

Sebagai panduan, berikut adalah dokumen yang telah saya kemukakan untuk rayuan Ubahsuai Rumah 1 Tingkat ke 2 Tingkat ke MBSA ;

1. Surat rayuan yang ditandatangani klien
2. Lukisan/lakaran/draf bersaiz A3 yang mengandungi cadangan pelan lantai, pelan bumbung, pandangan depan/belakang/tepi & keratan rentas
3. Lukisan pelan tapak & lokasi rumah serta gambar rumah asal (berwarna) depan/tepi/belakang disusun semuanya dalam 1 kertas A3
4. Kesemua lukisan A3 di atas dicetak sebanyak 42 set & diwarnakan; warna merah untuk tambahan baru & biru untuk bahagian yang dirobohkan


Semua dokumen di atas dikemukakan ke MBSA, dimana pegawai 'in-charge' bagi setiap seksyen perumahan tersebut akan membentangkan rayuan tersebut kepada semua ahli majlis dalam mesyuarat yang diadakan setiap minggu. Hasil mesyuarat tersebut akan dimaklumkan kepada saya dan keputusannya dijawab melalui surat secara pos kepada klien atau saya ambil di tingkat 8, Jabatan Bangunan, MBSA.

Lepas surat jawapan ini diterima, barulah saya sediakan pelan sebenar untuk dikemukakan ke MBSA. Sekarang saya sedang menyiapkan 2 pelan bersaiz A1 untuk ubahsuai 1tkt ke 2tkt untuk klien yang telah mendapat kebenaran. Dalam hal ini, jika anda memang bercadang untuk mengubahsuai rumah setingkat kepada dua tingkat, sebaiknya anda melantik akitek/perunding untuk menguruskan hal ini dari A-Z kerana prosedur & syarat-syarat MBSA sekarang amat ketat. Untuk pertanyaan lanjut tentang prosedur ini, bolehlah hubungi/sms saya di 019-6904405 @ emel ke pelukispelan1[at]gmail.com atau layari www.pelukispelan.co.nr


 DOWNLOAD PERCUMA - CONTOH RAYUAN & LAKARAN PELAN KE MBSA

Untuk memudahkan anda membuat permohonan tambahan rumah 1 tingkat ke 2 tingkat, saya telah menyediakan contoh surat rayuan & lakaran pelan sebagaimana yang dikehendaki MBSA. Anda boleh gunakan sampel ini sebagai rujukan untuk membuat rayuan jika anda ingin mengubahsuai rumah 1 tingkat ke 2 tingkat di Shah Alam. Gambar folder dibawah menunjukkan contoh surat rayuan dalam fail bmp & fail pdf lakaran pelan saiz A2 (boleh cetak pada saiz A3) dan saya dah zip/compress folder ini yang bersaiz 1.67 MB. 

 

Anda boleh download folder ini secara PERCUMA dan buka/decompress dengan winzip/winrar. Klik butang dibawah untuk download!

Mutiara Pengubat Jiwa