Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Showing posts with label rumah semidi. Show all posts
Showing posts with label rumah semidi. Show all posts

Monday, July 7, 2025

Tambahan Ubahsuai Rumah Melebihi Had Anjakan Bangunan di Shah Alam - Syarat & Denda Yang Dikenakan oleh MBSA

 

Contoh tambahan ubahsuai rumah lot tepi melebihi had anjakan MBSA


Assalamualaikum & salam sejahtera. Saya doakan agar semua pengunjung blog ini berada dalam keadaan sihat sejahtera  di tahun awal Muharam 1447 & pertengahan Julai 2025.

Pada tahun 2015, saya telah membina blog Had Tambahan Ubahsuai Rumah di sini http://had-ubahsuai-rumah.blogspot.my untuk memudahkan pemilik rumah di Shah Alam mendapatkan maklumat tentang had ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA. 

Dalam blog itu, saya tulis artikel & buat video tentang had anjakan yang dibenarkan jika pemilik rumah ingin membuat tambahan rumah seperti syarat MBSA.

Kali ini di tahun 2025, saya telah kemaskini blog tersebut dan tulis artikel serta video baru berkaitan dengan kebenaran ubahsuai rumah melebihi had anjakan MBSA. Saya jelaskan tentang bahagian rumah yang dibenarkan ditambah melebihi had anjakan dan jarak yang dibenarkan bina melebihi anjakan MBSA.

Ada beberapa jenis rumah yang dibenarkan membuat tambahan melebihi had anjakan depan rumah, had anjakan tepi rumah dan had anjakan belakang rumah. Tapi tambahan yang melebihi had anjakan ini masih tertakluk kepada syarat tertentu dan akan dikenakan denda oleh MBSA. 


KADAR DENDA UBAHSUAI RUMAH MELEBIHI HAD ANJAKAN MBSA

Secara ringkas, denda ubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dikenakan ialah seperti berikut ;

1. Denda tambahan rumah melebihi had anjakan tingkat bawah = RM1400

2. Denda tambahan rumah melebihi had anjakan tingkat atas = RM1200

Kadar denda no.1 & no.2 boleh bertambah bergantung kepada keluasan tambahan rumah & biasanya kiraan denda & bil proses pelan akan dihitung oleh perunding yang anda lantik.


Saya telah kemaskini blog dan senaraikan jenis rumah yang dibenarkan buat tambahan melebihi had anjakan seperti dibawah;

1. Kebenaran ubahsuai Rumah teres 2 tingkat lot tepi (cornerlot) melebihi had anjakan

2. Kebenaran ubahsuai Rumah teres 2 tingkat jenis endlot melebihi had anjakan

3. Kebenaran ubahsuai Rumah berkembar 2 tingkat lot tengah melebihi had anjakan

4. Kebenaran ubahsuai Rumah banglo 2 tingkat lot tengah melebihi had anjakan

5. Kebenaran ubahsuai Rumah teres 2 tingkat lot tengah melebihi had anjakan

6. Kebenaran ubahsuai Rumah kluster berkembar 2 tingkat melebihi had anjakan

Klik link dibawah untuk melayari blog tersebut ;

==> http://had-ubahsuai-rumah.blogspot.my


NOTA PENTING & PENAFIAN ;

1. Semua maklumat di atas saya ambil dari pdf yang diberikan oleh MBSA di lamanweb mereka.

2. Saya adalah perunding swasta dan bukan pekerja/staf MBSA & tidak pernah bekerja di MBSA atau mana2 jabatan kerajaan.

3. Maklumat yang saya kongsi disini adalah infomasi umum sahaja, untuk info lanjut yang lebih terperinci, anda perlu melayari lamanweb MBSA atau bertanya dengan staf MBSA melalui emel@telefon atau bertanya di kaunter MBSA.

Rujukan yang disyorkan, klik link dibawah;

https://www.mbsa.gov.my/ms-my/mbsa/perkhidmatan/pelanpembangunan/Documents/GP%20TP%20-%20UDDATED%2010.7.21%20(3).pdf


Diharap maklumat di atas dapat membantu pemilik rumah yang ingin ubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan di Shah Alam. Selamat mengubahsuai rumah & jumpa lagi dalam post yang akan datang!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA


Saturday, April 8, 2023

Masalah Ubahsuai Rumah Berkembar @ Rumah Semidi di Shah Alam, Selangor D.E.

Video contoh rekabentuk tambahan ubahsuai rumah semidi setingkat 


Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pengunjung blog saya. Waktu artikel ini ditulis umat Islam sedang berpuasa hari ke 17 Ramadan, jadi saya ucapkan selamat berpuasa & berbuka kepada semua umat Islam & selamat berbelanja di bazar Ramadan kepada sahabat2 non-Muslim.

Kali ini saya nak bincang sedikit tentang masalah ubahsuai rumah berkembar @ rumah semidi di Shah Alam. MBSA mempunyai syarat yang agak ketat berkaitan ubahsuai rumah berkembar. Ini meliputi rumah berkembar jenis lot tengah, rumah berkembar lot tepi & rumah berkembar jenis end-lot.


A. CONTOH MASALAH UBAHSUAI RUMAH BERKEMBAR JENIS LOT TENGAH


1. Encik X telah membeli rumah berkembar setingkat jenis intermediate di seksyen 30 Shah Alam, Selangor. Beliau berhajat untuk membuat tambahan porch, ruang tamu, bilik & dapur seperti lakaran pelan dibawah ;


Gambar lakaran pelan tambahan rumah semidi 1tkt


2. Encik X kemudian melantik saya untuk menyediakan pelan ke MBSA. Saya maklumkan beliau bahawa tambahan rumah berkembar tertakluk kepada had anjakan seperti video di bawah ;



3. Saya juga maklumkan beliau bahawa dalam pelan, tambahan yang dibenarkan MBSA ada 2 jenis;

a. Tambahan dibenarkan dalam had anjakan 10ft bahagian depan, tepi & belakang

b. Tambahan melebihi had anjakan dibenarkan adalah teres terbuka dengan anjakan 5ft tepi dan 5ft belakang

dibawah adalah lakaran had tambahan dibenarkan yang saya tunjuk kepada klien ;


Gambar lakaran pelan tambahan semidi melebihi anjakan yang dibenarkan


B.  DENDA UBAHSUAI RUMAH MELEBIHI ANJAKAN TEPI & BELAKANG

Saya maklumkan kepada Encik X bahawa tambahan teres tepi & belakang melebihi anjakan 5ft dibenarkan oleh MBSA tapi akan dikenakan denda sebanyak RM1400.

Klien kecewa kerana tidak dapat membuat tambahan rumah seperti yang dihajatkan, sebaliknya terpaksa akur peraturan pihak majlis untuk membina dalam had anjakan yang dibenarkan.

Pelan kemudian dilukis pengikut had tambahan yang dibenarkan & dikemukakan ke MBSA hingga mendapat kelulusan & permit ubahsuai rumah.


C. MASALAH YANG BERLAKU DI TAPAK BINAAN

Encik X kemudian mengarahkan kontraktor untuk membuat pembinaan melebihi had anjakan yang diluluskan MBSA selepas mendapat permit ubahsuai rumah. Jiran2 pulak membuat komplen ke MBSA kerana tambahan yang dibina terlalu hampir dengan pagar rumah mereka (rumah semidi) dan mengganggu privasi mereka.

MBSA buat rondaan dan didapati ubahsuai melebihi had kelulusan yang dibenarkan, lalu di arahkan berhenti kerja2 ubahsuai di tapak & merobohkan struktur binaan yang melebihi anjakan. Dalam masalah di atas, jika pemilik patuh arahan & merobohkan binaan yang melebihi anjakan & membina semula seperti had yang diluluskan, maka MBSA tidak akan keluarkan denda kerana telah mematuhi had yang diluluskan.


D. APA BERLAKU JIKA PEMILIK ENGKAR ARAHAN MBSA?

MBSA boleh keluarkan denda & merobohkan struktur binaan tersebut. Kos kerja2 perobohan oleh pihak majlis akan ditanggung oleh pemilik & disertakan dalam denda; jumlah denda bergantung kepada keluasan tambahan & boleh mencapai RM25k atau lebih.

MBSA juga boleh melaporkan hal ini kepada Lembaga Akitek Malaysia & akitek/drafman yang terlibat menguruskan projek ini boleh dikenakan denda atau dibatalkan lesen praktik sebagai akitek/drafman.

Jadi dalam hal ini pihak akitek/drafman juga menanggung risiko dan pemilik menanggung risiko denda/saman & rumah dirobohkan.


E. APA PERLU DILAKUKAN OLEH PEMILIK RUMAH?

Patuhilah undang2 & had ubahsuai rumah yang digariskan oleh MBSA. Dijamin kocek anda selamat & jiran2 anda pun suka dengan anda. 

Untuk bacaan lanjut tentang had ubahsuai rumah semidi anda boleh klik link dibawah ;

1. HAD UBAHSUAI RUMAH BERKEMBAR DI SHAH ALAM

2. KEBENARAN UBAHSUAI MELEBIHI HAD ANJAKAN OLEH MBSA


ADA PERTANYAAN? Emel soalan anda ke pelukispelan1@gmail.com

Saya harap perkongsian kali ini memberi manfaat kepada pemilik rumah semidi yang berhajat mengubahsuai rumah. Sila share artikel ini jika boleh memberi manfaat kepada orang lain, selamat berpuasa & jumpa lagi dalam post yang akan datang!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM


Thursday, May 10, 2018

Prosedur Baru MBSA Bagi Permohonan Rayuan Ubahsuai Rumah di Shah Alam


Assalamualaikum & salam sejahtera! Terimakasih kerana sudi berkunjung ke blog ini. Kali ini saya nak kongsikan maklumat terkini yang saya dapat sewaktu berurusan di MBSA pada hari Jumaat 4 Mei 2018 minggu lepas. Antara hal yang saya uruskan di MBSA ialah submission plan & submission surat rayuan ubahsuai rumah serta menyemak status rayuan bagi surat yang telah dikemukakan sebelum ini. 


TUJUAN RAYUAN UBAHSUAI RUMAH

Rayuan ubahsuai rumah ke MBSA biasanya adalah permohonan untuk membina tambahan rumah yang melebihi had anjakan yang dibenarkan MBSA. KLIK SINI untuk semak had tambahan ubahsuai rumah di kawasan Shah Alam.

PROSEDUR BARU RAYUAN UBAHSUAI RUMAH MBSA

Bermula bulan Mei 2018, prosedur rayuan ubahsuai rumah di MBSA telah berubah dan dokumen yang diperlukan sewaktu mengemukakan rayuan telah ditambah oleh MBSA.

Sebelum Mei 2018 - Prosedur rayuan adalah mudah iaitu pemilik rumah hanya sediakan 2 dokumen sahaja iaitu ;
a. surat rayuan ubahsuai rumah 

b. lakaran pelan kasar bersaiz A4 tambahan ubahsuai rumah yang dimohon.

Kedua2 dokumen di atas kemudian dikemukakan ke kaunter MBSA & terus diterima oleh petugas kaunter.

Selepas Mei 2018 - Prosedur rayuan kini telah ditambah dengan dokumen2 baru seperti dibawah;
a. Surat rayuan ubahsuai rumah disertakan nombor telefon pemilik
b. Lakaran pelan tambahan ubahsuai rumah saiz A4
c. Gambar rumah sediada di tapak
d. Pelan lokasi tapak rumah sediada
e. Salinan CF/CCC rumah asal

Kelima-lima dokumen di atas perlu disediakan oleh pemilik & kemudiannya dikemukakan ke kaunter 1, Jabatan Bangunan, Tingkat 8 Wisma MBSA Shah Alam. Bagi pemilik yang telah melantik perunding untuk menguruskan pelan ubahsuai rumah mereka, perunding akan kemukakan surat/dokumen di atas bagi pihak pemilik & follow-up status jawapan rayuan di MBSA dari masa ke semasa.

TIPS RINGKAS PENYEDIAAN RAYUAN UBAHSUAI RUMAH KE MBSA

Dibawah adalah tips ringkas cara menyediakan 5 dokumen berkaitan rayuan ubahsuai rumah seperti yang diminta oleh MBSA;

a. Untuk panduan lengkap cara membuat surat rayuan & contoh surat rayuan, sila KLIK SINI
b. Lakaran pelan - Pelan asal rumah & pelan lokasi rumah boleh didapati dalam dokumen perjanjian jualbeli (S&P document). Anda boleh buat lakaran tambahan rumah di atas pelan asal rumah ini.
c. Untuk panduan lengkap cara mendapatkan salinan CF/CCC, sila KLIK SINI atau KLIK SINI jika pemaju perumahan anda ialah PKNS.
d. Gambar rumah boleh di ambil pada sudut pandangan depan/tepi/belakang dan cetak di atas kertas A4.

APA PERLU BUAT JIKA DOKUMEN DAH LENGKAP?

Jika semua dokumen di atas dah lengkap, anda boleh submit sendiri ke MBSA di kaunter 1, Jabatan Bangunan, Tingkat 8, Wisma MBSA Shah Alam. Pastikan anda buat 2 salinan surat rayuan, salinan asal untuk MBSA & salinan kedua MBSA cop terima untuk simpanan anda bagi tujuan semakan semula. Biasanya MBSA akan memberi surat jawapan bertulis dalam tempoh 14 hari bekerja.

Selepas mendapat jawapan dari MBSA maka bolehlah anda lantik mana2 perunding/akitek untuk menguruskan penyediaan pelan & submission ke MBSA hingga mendapat kelulusan ubahsuai rumah.

APA PERLU BUAT JIKA ANDA SIBUK & MALAS NAK KE MBSA?

BERITA BAIK! Jika anda malas & sangat sibuk giler, anda boleh terus melantik mana2 perunding/akitek yang akan menguruskan semua urusan di MBSA bagi pihak anda; anda boleh releks di rumah & sediakan duit sahaja untuk membayar fee perkhidmatan perunding/akitek yang mahal giller hahaha!

Diharap tips & panduan di atas akan membantu sesiapa saja yang ingin membuat rayuan ubahsuai rumah di Shah Alam & mendapatkan kebenaran ubahsuai rumah melebihi had anjakan MBSA. Selamat mengubahsuai & menduduki rumah anda di tahun 2018!


KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK PELAN UBAHSUAI RUMAH & SUBMISSION KE MBSA

Friday, March 24, 2017

Case Study - Rayuan Ubahsuai Rumah Berkembar 1 Tingkat di Seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam.




Assalamualaikum & Salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsikan satu case study rayuan ubahsuai rumah berkembar 1 tingkat di seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor D.E. yang telah saya uruskan dari peringkat rayuan+rekabentuk+pelan+submission hingga mendapat kelulusan dari MBSA.


Klien telah melantik saya untuk menguruskan rayuan ubahsuai rumah & penyediaan pelan tambahan rumah ke MBSA. Klien ingin mengubahsuai rumah di bahagian tepi & belakang yang melebihi had anjakan yang dibenarkan. Saya telah menyediakan surat rayuan & lakaran pelan tambahan rumah tersebut & kemukakan ke MBSA pada 22/12/2016.


Surat rayuan yang telah dikemukakan ke MBSA


Sementara menunggu MBSA menjawab rayuan kepada klien, saya telah membuat proposal rekabentuk tambahan ubahsuai rumah yang dikehendaki oleh klien seperti dibawah;

Contoh rekabentuk tambahan ubahsuai rumah semidi seksyen 30

1. Dalam masa yang sama, setiap minggu saya akan buat semakan rayuan sebanyak 2 kali di MBSA. Pada 24/1/2017, MBSA telah keluarkan surat jawapan kepada rayuan & membenarkan klien membuat tambahan melebihi had anjakan seperti yang diminta; dengan syarat melantik akitek/perunding untuk menguruskan kerja2 tersebut & membayar sejumlah denda kerana membuat tambahan melebihi had yang dibenarkan. 

Surat jawapan MBSA kepada rayuan ubahsuai rumah

2. Selepas mendapat jawapan dari MBSA, saya telah menyediakan pelan detail drawing @ submission drawing bersaiz A1. Kerja2 penyediaan pelan mengambil masa lebih kurang 2 minggu. Pelan yang siap telah dicetak dan ditandatangani oleh klien. Pelan2 yang disediakan adalah seperti dibawah;

Pelan detail drawing saiz A1 untuk dikemukakan ke MBSA

3. Pelan yang lengkap bersama dokumen2 kemudian dikemukakan ke MBSA; 
- Hari pertama ; 1st submission hasil semakan MBSA didapati ada perkara2 teknikel yang perlu dibaiki/tambah dalam pelan. Saya kembali ke ofis & membaiki pelan2 tersebut.
- Hari ke-2 - 2nd submission hasil semakan MBSA didapati ada lagi sedikit pembaikan yang perlu dibuat kepada pelan. Saya kembali ke ofis & membaiki pelan2 tersebut.
- Hari ke-3 - 3rd submission hasil semakan MBSA didapati pelan2 telah lengkap diperbetulkan dan terus diproses oleh pegawai di kaunter. 

4. Bil proses pelan/denda dikeluarkan selepas pelan2 diproses & saya terus membayar semua bil2 tersebut dengan wang yang diamanahkan oleh klien. MBSA kemudian menyerahkan notis/surat pengambilan pelan lulus yang memaklumkan tarikh/masa untuk saya datang mengambil pelan lulus & permit mulakerja.


Alhamdulillah, pada 4pm bertarikh 8/2/2017, pihak MBSA telah mengeluarkan pelan lulus, surat lulus & permit mula kerja. Saya telah mengambil dokumen2 tersebut & menyerahkan kepada klien bersama resit2 proses pelan yang telah dibayar kepada MBSA. Dibawah adalah dokumen kelulusan yang telah dikeluarkan MBSA.

Pelan lulus & permit mulakerja MBSA


a. Dalam case study ini, nama klien & alamat tidak dinyatakan untuk menjaga privasi klien saya.

b. Rayuan ubahsuai rumah melebihi had anjakan jika dibenarkan MBSA akan dikenakan denda 20x ganda mengikut jumlah bil proses pelan yang dikira berdasarkan keluasan tambahan rumah yang melebihi had anjakan.

c. Jumlah wang untuk bayaran bil/denda MBSA perlu diserahkan oleh klien kepada perunding atau akitek anda pada hari submission untuk membayar fee MBSA jika pelan diproses pada hari yang sama atau esok harinya. MBSA berhak menolak submission pelan jika ada pembetulan yang perlu dibuat kepada pelan & perlu dikemukakan pada hari yang lain.
 
d. Walaupun MBSA menjamin kelulusan pelan dalam 1hari, hal ini hanya berlaku jika PELAN YANG DIKEMUKAKAN ADALAH 100% PERFECT & TIADA CACAT CELA! 
Bagi akitek@perunding yang biasa mengemukakan pelan2 ke pihak majlis, tiada jaminan bahawa pelan yang dikemukakan pada 1st submission akan terus diproses & mendapat kelulusan dihari yang sama. Semasa pelan disemak dengan teliti oleh pegawai di kaunter, biasanya akan ada perkara2 teknikel dalam pelan yang perlu dibetulkan atau dokumen2 yang tidak cukup perlu ditambah oleh klien. 

Dalam hal ini pelan2 akan dibawa pulang, dibaiki semula oleh perunding & dikemukakan ke MBSA pada lain hari sehingga pihak MBSA berpuashati dengan pelan/dokumen yang telah lengkap diperbaiki maka barulah pelan akan diproses untuk kelulusan.


Jika anda ingin mengubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan, anda perlu membuat rayuan & melantik perunding/akitek untuk menguruskan kerja2 tersebut hingga ke peringkat submission & mendapat kelulusan pihak majlis. 

Masa yang diambil untuk semua urusan di atas mungkin sekitar 2-3 bulan atau lebih, bergantung kepada macam2 hal terutama jika ada banyak hari cuti umum atau jika klien banyak membuat pindaan kepada rekabentuk pelan atau lain2 hal yang tidak dijangka. Jadi anda & perunding/akitek perlu berbincang & merancang sebaik2nya tempoh untuk mendapatkan kelulusan pelan sebelum memulakan kerja ubahsuai rumah.

Diharap tips & panduan ubahsuai rumah kali ini memberi manfaat kepada sesiapa yang ingin mengubahsuai rumah melebihi had anjakan yang dibenarkan. Jumpa lagi dalam post yang akan datang & selamat mengubahsuai rumah anda!


Sunday, June 21, 2015

Had Anjakan Tambahan Ubahsuai Rumah di Shah Alam kawasan MBSA


Assalamualaikum & Salam sejahtera! Anda nak ubahsuai rumah tapi masih pening dengan had ubahsuai yang dibenarkan MBSA? Ramai lagi yang masih keliru tentang had tambahan ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA bagi kawasan perumahan di Shah Alam. Untuk membantu anda mendapatkan gambaran yang jelas tentang had tambahan ubahsuai rumah di Shah Alam, saya telah menyediakan 4 video visual 3d lakaran kasar had anjakan ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA.

Paparan video dibawah menunjukkan had ubahsuai rumah bagi;

1. Rumah teres jenis lot tepi @ corner lot
2. Rumah teres jenis lot tepi @ end-lot (middle-lot)
3. Rumah berkembar @ semidi jenis middle-lot
4. Rumah banglo jenis middle-lot










KLIK SINI UNTUK MENONTON VIDEO HAD TAMBAHAN UBAHSUAI BAGI 7 JENIS RUMAH


Dalam empat video di atas, walaupun saya tunjukkan semuanya mengenai had tambahan rumah jenis 1 tingkat, had anjakan bangunan bagi tambahan rumah yang ditunjukkan adalah sama dengan rumah jenis 2 tingkat.

Saya harap paparan video di atas dapat menjelaskan dengan terang tentang had ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh MBSA. Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan sediakan lagi paparan video tentang had tambahan ubahsuai rumah lain seperti had ubahsuai rumah end-lot lorong tepi, rumah semidi-kluster, rumah zero-lot, rumah banglo jenis lot-tepi dan sebagainya. 


Diharap tips ubahsuai rumah kali ini akan memberi manfaat kepada semua pembaca blog & jumpa lagi dalam post yang akan datang, insyaAllah. Selamat berpuasa & selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak!

KLIK SINI UNTUK KHIDMAT REKABENTUK UBAHSUAI RUMAH & PENYEDIAAN PELAN KE MBSA

Mutiara Pengubat Jiwa