Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Sunday, February 22, 2009

Bagaimana Memilih Kontraktor Binaan Yang Boleh Dipercayai


Bagaimana Untuk Memilih Kontraktor Binaan Yang Boleh Dipercayai?
Salam sejahtera! Kepada para pengunjung setia blog ini, saya memohon maaf kerana hampir 3 minggu tidak mengemaskini blog ini disebabkan kesibukan kerja2 'offline' dan pelbagai urusan kerja yang lain. Bersambung kepada topik yang telah saya canangkan pada 1/2/2009, 'Bagaimana Untuk Memilih Kontraktor Binaan Yang Boleh Dipercayai?'.

Jawapan kepada soalan ini sebenarnya bergantung kepada pengalaman anda dan ramai lagi yang pernah berurusan dengan pelbagai jenis kontraktor binaan, samada melibatkan projek kecil seperti membaiki paip jamban atau longkang sehinggalah projek ubahsuai/pembinaan kediaman yang besar iaitu membina rumah baru dari tanah yang kosong hingga siap untuk diduduki. 

Sudah tentu macam2 kerenah kontraktor binaan yang anda pernah temui, jika belum maka saya sekadar termampu akan berkongsi pengalaman saya sebagai perunding dalam memilih kontraktor binaan yang boleh diharap dan tidak akan menge'pau' wang anda! 

Disebabkan terdapat pelbagai jenis kontraktor yang menawarkan khidmat dalam pelbagai jenis kerja binaan, maka saya hanya akan berbincang dalam niche yang kecil sahaja, iaitu bagaimana untuk memilih kontraktor ubahsuai rumah yang boleh dipercayai. Berikut adalah tips yang selalu saya gunakan untuk 'menapis' kontraktor ubahsuai rumah yang boleh dipercayai;

a. Mempunyai lesen perniagaan / lesen kontraktor
Pilih kontraktor ubahsuai yang mempunyai lesen perniagaan yang sah dan berdaftar dengan pendaftar perniagaan samada lesen ROB (enterprise) atau ROC (sdn.bhd). Ini membuktikan bahawa mereka sangat serius berniaga dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya. Pastikan juga kontraktor tersebut mempunyai lesen kontraktor sekurang-kurangnya kelas F atau E sebagai bukti bahawa mereka adalah kontraktor yang berdaftar.

b. Alamat pejabat/urusniaga yang sah
Pastikan kontraktor ubahsuai anda mempunyai alamat urusniaga samada pejabat atau rumah. Sesetengah kontraktor kecil menjadikan alamat rumah sebagai alamat perniagaan. Dalam berurusniaga dengan mereka, jika mereka mudah dihubungi melalui telefon/emel dan dikunjungi di alamat pejabat/premis, maka ini antara tanda bahawa mereka mempunyai peniagaan yang jujur.

c. Rekod kerja dan profil syarikat
Saya secara peribadi lebih suka memilih kontraktor binaan yang mempunyai rekod kerja yang baik walaupun baru menyiapkan 2 atau 3 projek binaan/ubahsuai yang kecil & sederhana, seperti tambahan/pindaan rumah. Rekod kerja ini dibuktikan dalam dokumen profil syarikat yang boleh anda minta dari mana-mana kontraktor yang jujur. Dalam dokumen profil syarikat akan disenaraikan projek2 yang telah disiapkan berserta gambar sebelum/selepas dan kos projek yang telah disiapkan. Dengan ini anda boleh menilai sendiri hasil kerja mereka.

d. Menghubungi & melawat tapak projek yang telah siap
Susulan daripada rujukan anda kepada profil syarikat kontraktor tersebut, jika boleh eloklah anda hubungi klien terdahulu kontraktor tersebut dan dapatkan pengesahan. Anda digalakkan melawati tapak binaan yang telah siap untuk melihat kualiti binaan serta bertanya sedikit sebanyak kepada pemilik rumah (yang telah siap diubahsuai) tentang kontraktor binaan yang dilantik. 

e. Sebutharga ubahsuai yang berpatutan (dengan harga bahan binaan semasa)
Dalam hal ini, mana-mana kontraktor akan memberikan sebutharga ubahsuai yang berbeza. Untuk mendapatkan sebutharga yang sesuai dengan bajet anda, minta kontraktor tersebut menyediakan secara bertulis dan terperinci;
- sampel bahan & harga bahan tersebut
- upah pasang / upah kerja bagi setiap skop kerja binaan
- jangkamasa siap kerja
- kos kerja yang ditanggung kontraktor (pembuangan sampah sisa binaan dsb)
- kos tambahan/luaran yang perlu ditanggung pemilik rumah/klien

Merujuk pada sebutharga yang terperinci ini, anda boleh berbincang dengan kontraktor & membuang atau menambah mana2 bahan yang dirasakan perlu dalam ubahsuai rumah anda sehingga anda dapat mencapai bajet ubahsuai yang sesuai dengan kemampuan anda tanpa berkompromi dengan kualiti bahan dan hasil kerja binaan. Kontraktor yang jujur akan memberi penjelasan & maklumat lengkap mengenai jenis/kualiti bahan binaan yang sesuai untuk kegunaan ruang di rumah anda serta harga pasaran bahan binaan dan upah kerja beliau secara terperinci.

Saya yakin jika 5 tips di atas anda ikuti, insyaAllah anda akan dapat memilih kontraktor binaan yang sesuai dengan projek dan bajet anda, samada untuk ubahsuai rumah atau lain2 projek yang lebih besar. Saya mohon maaf kerana tips yang digariskan ini adalah sangat umum hasil dari pengalaman saya yang kerdil, jika anda ada tips tambahan, maka silalah kongsikan bersama dalam blog ini agar semua pengunjung dapat manfaat.

AWAS! Seboleh-bolehnya anda mesti ELAKKAN kontraktor binaan yang;
- tiada lesen perniagaan
- tiada alamat perniagaan/pejabat
- susah untuk dihubungi
- tiada rekod kerja & rujukan
- memberikan sebutharga paling murah giller
- memberi sehelai kertas sebutharga 'lump sum' tanpa perincian skop kerja/bahan binaan
- banyak berjanji dan mengaku boleh buat semua (kontraktor yg jujur akan mengakui bahawa ada skop kerja tertentu yang akan di'sub-con' kepada kontraktor lain)
- mengaku gerenti siap dalam tempoh singkat
- tidak mahu menyediakan perjanjian bertulis lengkap, hanya sediakan satu surat ringkas & terus sain & ambil deposit

Sebenarnya banyak lagi yang nak saya kongsikan, tapi cukuplah sekadar ini dahulu. InsyaAllah jika diizinkan-Nya saya akan bincang pada post akan datang; bolehkah lantik kontraktor warga asing untuk ubahsuai rumah - sebab sebutharga mereka murah & hasil kerja bagus? Salam hormat & jumpa lagi!

Sunday, February 1, 2009

Ubahsuai Rumah; Panduan Memohon Kebenaran Jiran


Hallo bos! Wa mau bikin renovation rumah, tapi itu jiran tak mau kasilah, apa mau bikin?

Salam sejahtera! Memang benar, agak ramai pemilik rumah menghadapi masalah seperti ini ketika memohon kebenaran jiran untuk mengubahsuai rumah yang bersebelahan. Masalah ini biasanya berlaku kepada pemilik rumah teres, rumah kelompok dan rumah berkembar .

Memohon kebenaran jiran untuk ubahsuai rumah adalah wajib, walaupun ubahsuai tersebut sangat kecil. Hal ini perlu dilakukan sebagai tanda hormat kepada jiran anda dan sebagai tanggungjawab anda dalam kehidupan bermasyarakat. Berikut saya lampirkan jalan penyelesaian untuk mendapatkan kebenaran jiran anda mengikut pengalaman saya bersama pemilik rumah;

a. Sediakan pelan lakaran
Sebelum bertemu jiran & meminta kebenaran ubahsuai, sediakan lakaran ubahsuai rumah yang jelas & mudah difahami. Biasanya lakaran ini boleh disediakan sendiri oleh pemilik rumah atau perunding yang dilantik untuk membuat rekabentuk ubahsuai rumah tersebut.

b. Membuat surat pengesahan & akuan tanggungjawab
Sediakan surat ringkas yang menyatakan bahawa pemilik rumah akan bertanggungjawab atas kerosakan yang melibatkan bahagian rumah yang dikongsi; contohnya seperti bumbung porch yang dikongsi akan dirobohkan separuh untuk membina porch baru.

c. Dapatkan contoh risalah & borang pihak majlis
Sebagai contoh, pergi ke majlis daerah kawasan anda dan dapatkan risalah/borang ubahsuai rumah. Borang ini anda gunakan sebagai rujukan tentang peraturan & had ubahsuai rumah untuk semakan & perbincangan bersama jiran anda.

d. Contoh gambar rumah yang telah diubahsuai
Jika mampu, dapatkan gambar rekabentuk rumah yang anda mahu untuk ditunjukkan kepada jiran untuk meyakinkan bahawa ubahsuai yang dibina adalah selamat.

e. Menziarahi jiran anda
Setelah semua perkara a,b,c dan d lengkap di tangan anda, bolehlah anda berjumpa jiran anda dan berikan penjelasan tentang;
- mengapa anda perlu mengubahsuai rumah anda
- jaminan keselamatan kepada jiran anda
- lampirkan dokumen a,b,c dan d untuk perbincangan bersama jiran anda

InsyaAllah jika anda mengikuti semua panduan diatas, jiran anda akan mudah memberi kebenaran kepada anda dan menurunkan tandatangan di atas surat/borang kebenaran ubahsuai rumah anda. Selamat mencuba!

Nota penting!
Sebelum menziarahi jiran anda, jangan lupa bawak buah tangan! Bawalah buah-buahan ke, masak kuih ke dan sebagainya sebagai tanda menghormati & menghargai jiran anda. Pasti urusan anda dimudahkan!

Minggu depan saya akan bincangkan masalah pemilihan kontraktor ubahsuai rumah; nak pilih yang murah atau mahal, dan bagaimana nak mengenali kontraktor yang boleh dipercayai. Jumpa lagi minggu depan!

Mutiara Pengubat Jiwa