Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Friday, April 3, 2020

Merancang Rekabentuk Ubahsuai Rumah Semasa PKP Covid-19

PKP punya pasal - Kerja di rumah diselangi bunyi bising anak-anak! Arggh!

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada para pengunjung blog. Saya doakan anda & keluarga sihat sejahtera di waktu PKP ini. Waktu artikel ini ditaip, sudah masuk 3hb April 2020 dan saya sedang bekerja dari rumah menyiapkan pelan & rekabentuk ubahsuai rumah yang masih berbaki dari klien yang melantik saya sebelum lockdown 18 Mac 2020.

Merancang Rekabentuk Ubahsuai Rumah

Jika anda bercadang untuk mengubahsuai rumah tapi tak sempat merancang sebelum ini kerana kesibukan bekerja, waktu lockdown inilah anda ada banyak masa lapang di rumah dan sesuai untuk membuat perancangan berkaitan ubahsuai rumah anda. Di bawah adalah 4 perkara yang saya cadangkan kepada anda ;

1. Cari idea rekabentuk ubahsuai rumah

Bergantung kepada jenis rumah anda, samada rumah teres 1 tingkat @ 2 tingkat, rumah corner-lot atau end-lot, rumah banglo atau rumah berkembar, gunakan internet dan cari idea untuk ubahsuai rumah anda dengan melihat contoh rumah yang telah diubahsuai. Berikut adalah katakunci umum yang boleh digunakan dalam carian internet ;

- rekabentuk ubahsuai rumah banglo 
- rekabentuk ubahsuai rumah semidi @ rumah berkembar
- rekabentuk ubahsuai rumah teres lot tepi
- rekabentuk ubahsuai rumah teres end-lot
- rekabentuk ubahsuai rumah 1 tingkat ke 2 tingkat

Dari hasil carian internet dengan katakunci di atas, anda akan jumpa pelbagai contoh gambar, video, artikel dan sebagainya yang boleh anda gunakan sebagai rujukan dalam merancang rekabentuk ubahsuai rumah anda. Download & simpan mana-mana gambar tambahan rumah yang anda suka sebagai rujukan.

2. Semak garis panduan had ubahsuai rumah di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) anda

Selepas langkah no.1 selesai, anda boleh semak pula had ubahsuai rumah yang dibenarkan oleh PBT di kawasan anda samada DBKL, MBSA, MBPJ, MBSJ, MPKlang dan sebagainya. Buat carian website pihak PBT kawasan rumah anda dan layari website PBT tersebut, cari maklumat tentang had anjakan yang dibenarkan kepada rumah anda. 

Ini kerana terdapat perbezaan antara had anjakan ubahsuai rumah teres, banglo, semidi & rumah lot tengah. Juga dimaklumkan bahawa had tambahan & ubahsuai rumah bagi setiap PBT yang berlainan adalah agak berbeza. 

Sebagai contoh, rumah anda dalam kawasan Shah Alam dibawah pentadbiran MBSA, maka anda boleh layari lamanweb MBSA untuk dapatkan maklumat tentang syarat & had ubahsuai rumah di Shah Alam

Untuk kemudahan pemilik rumah di Shah Alam, anda boleh rujuk artikel & video had tambahan ubahsuai rumah dalam blog saya di sini ==> http://had-ubahsuai-rumah.blogspot.my

3. Mencari akitek @ pelukis pelan (perunding)

Selepas selesai langkah no.2 dan anda telah faham tentang had ubahsuai yang berkaitan dengan rumah anda, bolehlah anda mula mencari akitek @ pelukis pelan untuk menyediakan rekabentuk pelan ubahsuai rumah & kemukakan pelan ke PBT hingga mendapat kelulusan. Sebagai contoh, jika anda tinggal di Shah Alam, anda boleh buat carian online katakunci seperti contoh dibawah ;

- pelukis pelan di shah alam
- pelukis pelan rumah di shah alam
- pelukis pelan berdaftar di shah alam
- akitek shah alam
- akitek berdaftar shah alam

Dari hasil carian katakunci di atas, anda akan jumpa pelbagai senarai akitek & pelukis pelan yang berkaitan. Semak dalam internet jika akitek & pelukis pelan tersebut mempunyai lamanweb, blog atau video hasil kerja mereka. 

Hubungi mereka, buat pertanyaan & minta sebutharga bagi perkhidmatan mereka dengan mengemukakan lakaran kasar pelan tambahan yang dicadangkan. Bandingkan sebutharga antara perunding, jika sebutharga sesuai dengan bajet anda, anda boleh buat pertimbangan sendiri dalam memilih dan seterusnya melantik mana-mana akitek atau pelukis pelan yang dirasakan sesuai dilantik untuk menguruskan kerja pelan ubahsuai rumah anda. 

4. Mencari kontraktor ubahsuai rumah

Selepas selesai langkah no.3 dan anda telah melantik perunding bagi menguruskan pelan ubahsuai rumah anda, anda boleh mencari kontraktor ubahsuai rumah anda. Sebagai contoh, jika anda tinggal di Shah Alam maka buatlah carian online katakunci dibawah ;

- kontraktor ubahsuai rumah shah alam
- kontraktor renovation rumah shah alam
- kontraktor ubahsuai rumah berdaftar
- kontraktor ubahsuai rumah berdaftar CIDB

Sama seperti langkah no.3, anda akan jumpa senarai kontraktor yang banyak. Semak samada mereka ada lamanweb, blog & video hasil kerja mereka. Anda boleh emelkan pelan kepada 2-3 orang kontraktor & minta sebutharga dari mereka. Jika ada sebutharga yang bersesuaian dengan bajet anda maka eloklah berjumpa & berbincang berpandukan pelan rekabentuk yang telah disiapkan oleh perunding anda samada boleh jimatkan kos atau lain2 keperluan yang berkaitan. 

NASIHAT SAYA

Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, gunakan masa lapang anda sebaiknya bagi mencari maklumat dalam merancang ubahsuai rumah anda. Marilah sama2 kita berdoa setiap hari agar Tuhan segera menghapuskan wabak Covid19 ini dan kita dapat kembali bekerja mencari rezeki, berkhidmat menyelesaikan masalah orang lain dan berbakti kepada keluarga & masyarakat. Selamat berehat di rumah bersama keluarga & jumpa lagi dalam artikel yang akan datang!


Wednesday, March 18, 2020

Penyediaan Pelan Ubahsuai Rumah - MBSA Tutup Operasi 18hb-31hb Mac 2020


Assalamualaikum & salam sejahtera kepada para pengunjung blog. Sewaktu artikel ini ditaip, hari ini adalah hari kedua lockdown berkaitan Covid19 & saya doakan anda & keluarga selamat sejahtera dalam lindungan Allah SWT. 

Suka saya maklumkan kepada para pembaca, bahawa dalam tempoh lockdown 18-31 Mac 2020 aktiviti saya adalah seperti dibawah ;

1. Saya masih bekerja menyiapkan rekabentuk & menyediakan plan ubahsuai rumah dari rumah saya 😄
2. Saya masih berurusan dengan klien melalui temujanji & perbincangan di tapak projek; perbincangan singkat & ringkas, ukurtapak & ambil gambar rumah yang nak diubahsuai
3. Semua hasil kerja yang disiapkan seperti drafplan+3d seperti biasa saya emel kepada klien untuk semakan, komen & pindaan.

Penangguhan Submission Plan & Semakan Rayuan di MBSA

MBSA telah menghentikan semua operasi dalam tempoh lockdown 18-31 Mac 2020, jadi saya mohon maaf kepada semua klien yang berkaitan kerana saya juga terpaksa menangguhkan semua urusan dibawah ;

1. Urusan semakan rayuan ubahsuai rumah & submission surat rayuan ke MBSA ditangguhkan sementara
2. Urusan submission pelan ubahsuai rumah yang telah siap ke MBSA ditangguhkan sementara

NOTIS PEMBERITAHUAN MBSA

Anda boleh membaca artikel makluman MBSA berkaitan penutupan operasi di sini;
==> http://www.mbsa.gov.my/ms-my/Berita/Halaman/penangguhan_sementara_operasi2020.aspx

PESAN SAYA 
Marilah kita sama2 membantu pihak kerajaan & pihak berkuasa tempatan dalam usaha mencegah & membasmi wabak Covid-19 dalam tempoh yang diberikan ini supaya kita dapat kembali bekerja & bertugas dalam aktiviti masing2 seperti biasa. 

Terimakasih kepada klien yang masih sudi menggunakan khidmat saya & terimakasih kepada klien yang bersabar dengan penangguhan submission plan mereka. Doa selamat untuk anda semua & jumpa lagi dalam artikel yang akan datang insyaAllah




Sunday, February 16, 2020

3 Tips Memilih Lanskap Yang Sesuai Dengan Rumah Anda




Assalamualaikum & salam sejahtera. Tips ubahsuai rumah kali adalah tentang cara memilih lanskap yang sesuai dengan rumah anda. Membina landskap rumah biasanya merupakan tugas yang cukup besar, memakan banyak masa dan tenaga. Tetapi sebelum anda mengupah seorang pereka lanskap, berikut adalah beberapa petua yang dapat anda gunakan bagi menjimatkan masa dan wang.

1. Luangkan sedikit masa memikirkan bagaimana mahu merekabentuk lanskap rumah anda 

Anda perlu mengambil kira gaya dan fungsi landskap anda. Adakah anda ingin sediakan kawasan untuk berhibur? Ada barbeque? Adakah terdapat kawasan untuk kanak-kanak bermain, kolam ikan atau kolam renang? Idea & jenis tumbuh-tumbuhan yang anda mahu tanam juga akan membantu. Fokus pada kawasan di mana anda menghabiskan  sebahagian besar masa anda. Itulah tempat yang baik untuk bermula.

2. Fikir banyak kali sebelum mengupah pereka lanskap

Pereka lanskap yang profesional mungkin akan mengenakan fee yang diluar bajet anda. Untuk jimat kos, anda boleh dapatkan idea+rekabentuk lanskap percuma di internet atau pergi ke tapak semaian & minta nasihat pekebun di situ. Tetapi jika anda mempunyai laman rumah yang ganjil seperti tanah yang sangat curam, seorang pereka lanskap boleh memberi khidmat nasihat & kepakaran beliau untuk menyelamatkan anda dari membuat kesilapan yang mahal.

3. Gaya rekabentuk rumah anda mesti diambil kira

Jika anda mempunyai rumah kampung di luar bandar, lanskap moden yang anda rancang akan kelihatan janggal dengan suasana kampung. Fikirkan juga tentang gaya hidup anda. Adakah anda ingin menghabiskan berjam-jam berkebun & menjaga tanaman atau memangkas pokok bunga? Jika ya, teruskan hobi anda itu, tetapi jika anda lebih suka menghabiskan masa lapang anda berjalan-jalan & malas berkebun, pilihlah jenis tanaman lanskap yang perlukan penjagaan mudah dan ringkas.

Berikut adalah pelbagai gaya landskap yang anda boleh pilih untuk taman anda sendiri:

a. Lanskap formal
Gaya ini menggunakan banyak garis lurus dan bentuk geometri sempurna. Susunan tanaman secara teratur dan bukan kedudukan rawak digunakan. Pengairan dan pemangkasan tertutup dilihat di taman-taman berlanskap dengan gaya ini.

b. Lanskap informal
Ini jenis kerja landskap dengan pondok yang selesa. Susunan tanaman dengan tepi melengkung bukannya garis lurus dan penempatan rawak tumbuh-tumbuhan sesuai gaya lanskap ini.

c. Taman Inggeris
Gaya ini menekankan keharmonian antara seni bina rumah dan taman.

d. Taman Formal / Tidak formal
Gaya taman ini sering datang dengan laluan bata yang memancarkan formaliti. Laluan ini membawa kepada laluan belakang dengan bulatan tanaman. Susunan tanaman menyerupai gaya taman Inggeris tetapi ia tidak mempunyai sempadan formal.

e. Taman Oriental
Ini jenis taman yang sesuai dibuat di rumah yang ada halaman depan/belakang yang kecil. Ia menggunakan batu, evergreen dan air. Pelbagai jenis tumbuhan akan menjadikan beberapa sudut yang menarik dengan gaya ini.

f. Taman Woodland
Latar belakang ini sesuai dengan rumah yang memiliki halaman belakang hutan dan tanah yang miring.

CONTOH LANSKAP RUMAH
Dibawah adalah beberapa video rekabentuk lanskap & taman di depan/belakang rumah yang boleh anda rujuk untuk mendapatkan idea untuk membina lanskap rumah anda.







NOTA PENTING
1. Saya bukanlah seorang pakar lanskap, jadi anda perlu mendapatkan nasihat pereka lanskap yang berpengalaman untuk memberi idea jenis tanaman yang sesuai ditanam di rumah anda.
2. Dapatkan maklumat lanjut tentang cara penjagaan lanskap anda dari pekebun & pereka lanskap yang mahir.

RUJUKAN TAMBAHAN
Jika anda mencari buku panduan tentang DIY lanskap & panduan berkebun di rumah, saya cadangkan anda dapatkan ebook dibawah;
1. Ideas4Landscaping - panduan lanskap diy tanpa mengupah designer & jimat $$$
2. DIY Aquaphonics - panduan diy cara berkebun & bela ikan dengan ruang kecil 3'x4'
3. Self Sufficient Life - panduan diy berkebun & menternak bekalan makanan segar di rumah

Diharap tips kali ini dapat membantu anda membuat keputusan yang bijak dalam pembinaan lanskap rumah anda. Selamat mengubahsuai rumah & jumpa lagi dalam post yang akan datang.




Tuesday, February 4, 2020

Panduan Cara Memohon Kebenaran Ubahsuai Pagar Rumah & Membina Pagar Baru di MBSA Shah Alam

Contoh video rekabentuk ubahsuai rumah & pagar rumah baru di seksyen 4 Shah Alam

Assalamualaikum & salam sejahtera!

Kali ini saya nak kongsikan tips & panduan cara memohon kebenaran untuk membina pagar baru atau mengubahsuai pagar rumah lama. Tips yang akan saya kongsikan ini khusus untuk pemilik yang ingin membina pagar baru bagi rumah di kawasan Shah Alam dibawah pihak berkuasa tempatan MBSA. Untuk permohonan ini dokumen yang perlu disediakan ialah ;-

a. Surat permohonan ubahsuai pagar @ membina pagar baru - DOWNLOAD CONTOH SURAT DI SINI
b. Gambar rumah+pagar sediada bahagian depan/tepi/belakang
c. Borang permohonan permit letak bahan binaan MBSA - DOWNLOAD BORANG DI SINI
d. Borang permohonan sewaan tong roro MBSA - DOWNLOAD BORANG DI SINI
e. Surat kebenaran jiran sebelah rumah - DOWNLOAD BORANG DI SINI

PERMOHONAN TANPA MELANTIK PERUNDING
Jika anda hanya ingin membina pagar baru atau mengubahsuai pagar rumah anda, anda boleh jimatkan kos & tak perlu melantik perunding (akitek @ pelukis pelan) untuk menguruskan permohonan permit kebenaran & kelulusan membina pagar baru rumah anda. Urusan ini anda boleh buat sendiri dengan panduan yang saya gariskan dibawah.

CARA MEMOHON KEBENARAN MEMBINA PAGAR RUMAH @ PERMOHONAN MENGUBAHSUAI PAGAR RUMAH

1. Sediakan surat permohonan membina pagar baru ke MBSA
Untuk kemudahan anda, saya telah sediakan contoh surat permohonan membina pagar baru dalam bentuk fail pdf, anda boleh download contoh surat DISINI. Semak contoh surat tersebut & taip semula mengikut kesesuaian anda. Cetak 2 salinan surat ini & tandatangan kedua2nya.

2. Sediakan gambar rumah sedia ada
Ambil gambar rumah anda & fokuskan kepada pagar rumah yang ingin anda bina semula. Sebaik2nya ambil gambar depan/tepi/belakang jika rumah jenis lot tepi. Bagi rumah lot tengah anda hanya perlu ambil gambar depan+belakang rumah sahaja. Cetak gambar ini dalam kertas A4.


CONTOH BORANG PERMIT LETAK BAHAN BINAAN

3. Isi borang permohonan permit letak bahan binaan MBSA
Sila download borang permohonan permit letak bahan binaan yang telah saya upload DISINI. Borang ini asalnya warna kuning cair, jadi anda perlu cetak borang ini atas kertas kuning @ fotostat atas kertas warna kuning cair. Borang ini boleh juga diambil di kaunter 1, Jabatan Bangunan tingkat 8 MBSA. Isi semua maklumat yang diminta dalam borang tersebut seperti;
- alamat rumah & nama pemilik rumah/pemohon serta nombor telefon anda
- tulis nama kontraktor yang akan membina pagar anda serta alamat syarikat kontraktor; jika anda sendiri yang membeli bahan binaan & mengupah pekerja serta mengawasi kerja pembinaan, tulis sahaja nama anda sebagai kontraktor & tandatangan borang tersebut


CONTOH BORANG SEWA TONG RORO

4. Isi borang permohonan sewaan tong roro

Sila download borang permohonan sewaan tong roro yang telah saya upload DISINI. Borang ini asalnya warna hijau cair, jadi anda perlu cetak borang ini atas kertas hijau @ fotostat atas kertas warna hijau cair. Borang ini boleh diambil di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam di tingkat 4 MBSA. Isi semua maklumat yang diminta dalam borang tersebut seperti;
- nama pemilik rumah & nombor telefon
- tarikh memulakan kerja pembinaan pagar
- alamat lokasi pembinaan & alamat surat menyurat
- pilih jenis tong roro yang ingin disewa, biasanya pilih 1 unit tong roro bersaiz 3 tan

5. Surat kebenaran jiran 
- Jika ubahsuai pagar baru melibatkan pagar sebelah yang dikongsi dengan jiran, anda perlu mendapatkan kebenaran ubahsuai pagar dari jiran sebelah kiri atau kanan.
- DOWNLOAD SURAT DI SINI & minta jiran sebelah anda mengisi & tandatangan borang tersebut.



SUBMIT DOKUMEN KE JABATAN BANGUNAN MBSA

6. Submit surat permohonan & borang ke MBSA 

Buat 2 salinan surat permohonan & sediakan kesemua borang serta gambar rumah dan kemukakan dokumen tersebut ke kaunter 1, tingkat 8 Jabatan Bangunan MBSA, Shah Alam. Simpan satu salinan surat permohonan yang telah di cop oleh mbsa untuk rujukan anda. Biasanya pegawai kaunter akan terima permohonan anda jika semuanya lengkap. Salinan surat ini anda perlu tunjukkan di kaunter sewaktu anda follow-up status permohonan di MBSA.

BILAKAH PERMOHONAN AKAN MENDAPAT JAWAPAN MBSA?
Selepas submit surat permohonan, MBSA akan beri tempoh 14 hari bekerja untuk memberi jawapan bersurat. Anda perlu follow-up dengan di MBSA seminggu sekali, jika bernasib baik MBSA akan keluarkan surat jawapan dalam tempoh kurang dari 14 hari. Dalam surat tersebut secara ringkasnya MBSA akan beri kebenaran untuk anda membina pagar dengan syarat membayar fee permit letak bahan binaan & fee sewa tong roro

BERAPAKAH HARGA PERMIT LETAK BAHAN BINAAN & SEWA TONG RORO MBSA?
Fee permit letak bahan binaan MBSA ialah RM648 & fee sewa tong roro MBSA ialah RM220 untuk 1 unit tong roro. Selepas mendapat surat jawapan MBSA, anda boleh mohon pegawai kaunter untuk mencetak bil permit letak bahan binaan & bil sewaan tong roro.


BAYAR BIL ANDA DI TINGKAT-G MBSA

APA PERLU BUAT SELEPAS DAPAT BIL INI?

a. Pergi ke kaunter bayaran tingkat G MBSA, ambil nombor giliran & bayar semua bil di kaunter bayaran.
b. Naik semula ke tingkat 8 Jabatan Bangunan & serahkan salinan resit permit letak bahan binaan kepada pegawai kaunter 1. Pegawai akan proses permohonan anda dan permit kebenaran meletak bahan binaan akan diserahkan kepada anda pada hari yang sama atau esok hari.
c. Kemudian pergi ke tingkat 4 Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam & serahkan salinan resit serta borang sewaan tong roro di kaunter. Pegawai kaunter akan proses permohonan sewa tong roro dan berikan salinan surat yang berisi maklumat kontraktor MBSA yang akan hantar/ambil tong roro anda.

NOTA PENTING - Jika semua urusan di atas dah selesai maka bolehlah anda mulakan kerja pembinaan pagar rumah anda.

SEBELUM MEMULAKAN KERJA MEMBINA PAGAR RUMAH
Saya cadangkan anda fotostat salinan permit letak bahan binaan & laminate & gantung salinan permit tersebut depan rumah anda supaya mudah dilihat dari luar rumah. Simpan salinan permit yang asal. Ini kerana penguatkuasa MBSA bertugas akan melakukan rondaan berjadual memeriksa rumah yang sedang diubahsuai & menyemak rumah yang ada/tiada permit. 

MENEMPAH TONG RORO DARI KONTRAKTOR
Dalam masa yang sama, merujuk kepada surat sewaan tong roro, anda boleh hubungi kontraktor yang dilantik MBSA untuk menghantar tong roro ke rumah anda. Jika tong sudah penuh, hubungi semula kontraktor tersebut & beliau akan datang ambil tong tersebut. Anda boleh sewa lebih dari 1 unit tong roro jika perlu. 

UPDATE ARTIKEL & RUJUKAN TAMBAHAN MBSA
a. Artikel ini ditulis selepas saya berurusan di MBSA & membuat pertanyaan kepada beberapa orang staf di kaunter Jabatan Bangunan MBSA. 
b. Selepas artikel ini ditulis, hasil carian online saya mendapati bahawa MBSA juga ada menyediakan borang resmi permohonan ubahsuai pagar rumah & surat kebenaran jiran. Anda boleh rujuk & baca artikel MBSA DI SINI.
c. Anda boleh gunakan borang resmi MBSA & gabungkan dengan contoh surat yang saya sediakan di atas untuk dikemukakan ke MBSA.

d. Download borang resmi permohonan bina pagar DI SINI & download surat kebenaran jiran DI SINI

Saya harap tips & panduan ringkas cara memohon kebenaran untuk membina pagar rumah ini dapat membantu pemilik rumah di Shah Alam dalam berurusan dengan MBSA bagi mendapatkan permit letak bahan binaan & sewaan tong roro. Saya ucapkan selamat mengubahsuai rumah anda di tahun 2020 ini & silakan share artikel ini dengan sahabat2 anda jika ianya bermanfaat. Jumpa lagi dalam post yang akan datang!



Thursday, January 16, 2020

Case Study Kelulusan Pelan Ubahsuai Banglo 2 Tingkat di Seksyen U9, Shah Alam, Selangor D.E.


Kerja-kerja penyediaan perspektif 3d rekabentuk ubahsuai banglo seksyen U9

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada pengunjung blog. Selamat tahun baru 2020 saya ucapkan & saya doakan agar tahun ini membawa kebaikan dalam segala usaha yang kita lakukan, amin. 

Kali ini saya nak kongsikan satu projek yang saya uruskan dari kerja lawatan tapak, rekabentuk pelan & visual 3d tambahan ubahsuai rumah, penyediaan detail drawing pelan submission serta submission plan ke MBSA hingga mendapat kelulusan ubahsuai rumah. Kali ini saya merekabentuk pelan ubahsuai banglo 2 tingkat yang dibina mengikut had anjakan yang dibenarkan kerana rumah tersebut mempunyai tanah yang besar.

JUN 2019
- Klien saya kali ini adalah kontraktor yang mewakili pemilik rumah banglo 2 tingkat di Kelab Golf Subang Monterez, seksyen U9, Shah Alam Selangor.
- Kontraktor melantik saya untuk menguruskan submission plan banglo hingga mendapat kelulusan.
- Saya & kontraktor berjumpa di lokasi untuk kerja2 ukurtapak & berbincang tentang rekabentuk tambahan & ubahsuai banglo tersebut
- Klien mahukan design rumah yang moden dan simple serta praktikal dan memberikan contoh2 design rumah yang dimahukan
- Dibawah ini adalah video proposal rekabentuk tambahan ubahsuai banglo seksyen U9 yang saya cadangkan




JULAI 2019
- Klien akhirnya telah bersetuju dengan proposal setelah beberapa pindaan dibuat kepada design tambahan banglo tersebut
- Selepas design disahkan klien, saya memulakan kerja penyediaan detail drawing pelan submission banglo ke MBSA
- Pelan yang siap saya emel ke jurutera untuk penyediaan pelan struktur tambahan 2 tingkat 
- Pelan yang siap dicetak dan diserahkan ke kontraktor untuk mendapat tandatangan klien.
- dibawah ini adalah pelan submission yang telah saya siapkan sebelum dicetak


Pelan submission banglo yang disiapkan sebelum dicetak

OGOS 2019
- Kontraktor telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan serta pelan-pelan yang telah ditandatangani pemilik
- saya telah kemukakan pelan tersebut ke MBSA untuk semakan awal
- Hasil semakan MBSA didapati ada beberapa pembetulan yang perlu dibuat dalam pelan
- Saya telah membuat pembetulan ke atas pelan & mengemukakan semula ke MBSA


Komen MBSA ke atas pelan yang telah disemak

SEPTEMBER 2019
- Sementara menunggu proses kelulusan pelan dari MBSA, klien mengarahkan kontraktor memulakan kerja ubahsuai rumah
- Ini adalah satu kesalahan kerana saya telah maklumkan dari awal bahawa kerja pembinaan tidak boleh dimulakan sebelum mendapat permit & kelulusan MBSA
- Kerja2 pecah rumah tanpa kelulusan tersebut mengganggu jiran & jiran telah membuat aduan ke MBSA
- Pihak mbsa datang ke tapak pembinaan dan memberi notis henti kerja kepada kontraktor
- Saya telah dimaklumkan oleh kontraktor tentang notis tersebut & saya mengarahkan beliau supaya patuh kepada arahan MBSA & hentikan kerja di tapak pembinaan.

OKTOBER 2019
- Selepas pelan dipinda & dikemukakan semula ke mbsa, MBSA mendapati bahawa pemilik mempunyai saman letak kereta & cukai pintu tertunggak
- Saya mengarahkan pemilik rumah membayar saman parking & cukai pintu kerana pelan tidak akan diproses jika pemilik ada tunggakan bayaran dengan MBSA
- Klien telah membayar cukai pintu & saman letak kereta & salinan resit bayaran tersebut saya kemukakan ke MBSA
- MBSA telah mengeluarkan bil proses pelan & denda kepada klien kerana memulakan kerja sebelum kelulusan pelan
- Dibawah adalah notis saman parking & resit bil proses pelan+denda yang dikeluarkan oleh MBSA


Notis tunggakan saman letak kereta & tunggakan cukai pintu

Resit bil proses pelan, bil tong roro & bil denda memulakan kerja ubahsuai tanpa permit

- Klien telah bank-in wang bayaran bil proses pelan & denda kepada saya & saya membuat bayaran di MBSA
- Salinan resit saya serahkan kepada MBSA untuk proses kelulusan pelan & sesalinan lagi resit diserahkan kepada klien

NOVEMBER 2019
- Alhamdulillah pelan telah diluluskan oleh MBSA dan saya serahkan semua dokumen & salinan pelan lulus serta permit mula kerja kepada klien
- dibawah adalah salinan pelan lulus & permit ubahsuai rumah banglo seksyen U9 Shah Alam.


Pelan yang telah diluluskan oleh MBSA


NOTA PENTING
- Nama klien, alamat rumah & nombor file dokumen2 contoh di atas saya kaburkan untuk menjaga privasi klien
- Elakkan kerja ubahsuai rumah sebelum mendapat kelulusan walaupun perunding anda telah kemukakan pelan ke MBSA. Jika ada aduan dari jiran maka MBSA akan datang ambil tindakan
- Jangan anggap pelan telah dikemukakan ke MBSA akan terus mendapat kelulusan; kebiasaannya pelan-pelan yang disemak MBSA pasti mempunyai kesilapan & pindaan kecil@besar yang perlu dibetulkan oleh perunding dan perlu dikemukakan 2-3 kali ke MBSA hingga mendapat kelulusan. Proses ini mungkin memakan masa berhari-hari atau berminggu-minggu bergantung kepada hari kerja, musim cuti umum dan sebagainya
- Jika anda ada saman parking & cukai pintu yang belum dijelaskan, sila bayar segera sebelum pelan dikemukakan ke MBSA oleh perunding. Mbsa takkan proses mana2 permohonan pelan ubahsuai rumah jika anda ada tunggakan bayaran. 

Sempena tahun baru 2020 ini, saya harap ramai pemilik rumah akan lebih berhati-hati sebelum mengubahsuai rumah. Dapatkan maklumat tentang ubahsuai rumah di PBT kawasan anda & lantik perunding samada pelukis pelan @ akitek untuk kemukakan pelan ke PBT hingga pelan diluluskan. 

Patuhi undang2 bangunan PBT kawasan anda semasa mengubahsuai rumah dan saya jamin semuanya akan selamat insyaAllah. Jumpa lagi dalam artikel yang akan datang & selamat mengubahsuai rumah anda.



Mutiara Pengubat Jiwa