Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Sunday, February 16, 2020

3 Tips Memilih Lanskap Yang Sesuai Dengan Rumah Anda




Assalamualaikum & salam sejahtera. Tips ubahsuai rumah kali adalah tentang cara memilih lanskap yang sesuai dengan rumah anda. Membina landskap rumah biasanya merupakan tugas yang cukup besar, memakan banyak masa dan tenaga. Tetapi sebelum anda mengupah seorang pereka lanskap, berikut adalah beberapa petua yang dapat anda gunakan bagi menjimatkan masa dan wang.

1. Luangkan sedikit masa memikirkan bagaimana mahu merekabentuk lanskap rumah anda 

Anda perlu mengambil kira gaya dan fungsi landskap anda. Adakah anda ingin sediakan kawasan untuk berhibur? Ada barbeque? Adakah terdapat kawasan untuk kanak-kanak bermain, kolam ikan atau kolam renang? Idea & jenis tumbuh-tumbuhan yang anda mahu tanam juga akan membantu. Fokus pada kawasan di mana anda menghabiskan  sebahagian besar masa anda. Itulah tempat yang baik untuk bermula.

2. Fikir banyak kali sebelum mengupah pereka lanskap

Pereka lanskap yang profesional mungkin akan mengenakan fee yang diluar bajet anda. Untuk jimat kos, anda boleh dapatkan idea+rekabentuk lanskap percuma di internet atau pergi ke tapak semaian & minta nasihat pekebun di situ. Tetapi jika anda mempunyai laman rumah yang ganjil seperti tanah yang sangat curam, seorang pereka lanskap boleh memberi khidmat nasihat & kepakaran beliau untuk menyelamatkan anda dari membuat kesilapan yang mahal.

3. Gaya rekabentuk rumah anda mesti diambil kira

Jika anda mempunyai rumah kampung di luar bandar, lanskap moden yang anda rancang akan kelihatan janggal dengan suasana kampung. Fikirkan juga tentang gaya hidup anda. Adakah anda ingin menghabiskan berjam-jam berkebun & menjaga tanaman atau memangkas pokok bunga? Jika ya, teruskan hobi anda itu, tetapi jika anda lebih suka menghabiskan masa lapang anda berjalan-jalan & malas berkebun, pilihlah jenis tanaman lanskap yang perlukan penjagaan mudah dan ringkas.

Berikut adalah pelbagai gaya landskap yang anda boleh pilih untuk taman anda sendiri:

a. Lanskap formal
Gaya ini menggunakan banyak garis lurus dan bentuk geometri sempurna. Susunan tanaman secara teratur dan bukan kedudukan rawak digunakan. Pengairan dan pemangkasan tertutup dilihat di taman-taman berlanskap dengan gaya ini.

b. Lanskap informal
Ini jenis kerja landskap dengan pondok yang selesa. Susunan tanaman dengan tepi melengkung bukannya garis lurus dan penempatan rawak tumbuh-tumbuhan sesuai gaya lanskap ini.

c. Taman Inggeris
Gaya ini menekankan keharmonian antara seni bina rumah dan taman.

d. Taman Formal / Tidak formal
Gaya taman ini sering datang dengan laluan bata yang memancarkan formaliti. Laluan ini membawa kepada laluan belakang dengan bulatan tanaman. Susunan tanaman menyerupai gaya taman Inggeris tetapi ia tidak mempunyai sempadan formal.

e. Taman Oriental
Ini jenis taman yang sesuai dibuat di rumah yang ada halaman depan/belakang yang kecil. Ia menggunakan batu, evergreen dan air. Pelbagai jenis tumbuhan akan menjadikan beberapa sudut yang menarik dengan gaya ini.

f. Taman Woodland
Latar belakang ini sesuai dengan rumah yang memiliki halaman belakang hutan dan tanah yang miring.

CONTOH LANSKAP RUMAH
Dibawah adalah beberapa video rekabentuk lanskap & taman di depan/belakang rumah yang boleh anda rujuk untuk mendapatkan idea untuk membina lanskap rumah anda.







NOTA PENTING
1. Saya bukanlah seorang pakar lanskap, jadi anda perlu mendapatkan nasihat pereka lanskap yang berpengalaman untuk memberi idea jenis tanaman yang sesuai ditanam di rumah anda.
2. Dapatkan maklumat lanjut tentang cara penjagaan lanskap anda dari pekebun & pereka lanskap yang mahir.

RUJUKAN TAMBAHAN
Jika anda mencari buku panduan tentang DIY lanskap & panduan berkebun di rumah, saya cadangkan anda dapatkan ebook dibawah;
1. Ideas4Landscaping - panduan lanskap diy tanpa mengupah designer & jimat $$$
2. DIY Aquaphonics - panduan diy cara berkebun & bela ikan dengan ruang kecil 3'x4'
3. Self Sufficient Life - panduan diy berkebun & menternak bekalan makanan segar di rumah

Diharap tips kali ini dapat membantu anda membuat keputusan yang bijak dalam pembinaan lanskap rumah anda. Selamat mengubahsuai rumah & jumpa lagi dalam post yang akan datang.




Tuesday, February 4, 2020

Panduan Cara Memohon Kebenaran Ubahsuai Pagar Rumah & Membina Pagar Baru di MBSA Shah Alam

Contoh video rekabentuk ubahsuai rumah & pagar rumah baru di seksyen 4 Shah Alam

Assalamualaikum & salam sejahtera!

Kali ini saya nak kongsikan tips & panduan cara memohon kebenaran untuk membina pagar baru atau mengubahsuai pagar rumah lama. Tips yang akan saya kongsikan ini khusus untuk pemilik yang ingin membina pagar baru bagi rumah di kawasan Shah Alam dibawah pihak berkuasa tempatan MBSA. Untuk permohonan ini dokumen yang perlu disediakan ialah ;-

a. Surat permohonan ubahsuai pagar @ membina pagar baru - DOWNLOAD CONTOH SURAT DI SINI
b. Gambar rumah+pagar sediada bahagian depan/tepi/belakang
c. Borang permohonan permit letak bahan binaan MBSA - DOWNLOAD BORANG DI SINI
d. Borang permohonan sewaan tong roro MBSA - DOWNLOAD BORANG DI SINI
e. Surat kebenaran jiran sebelah rumah - DOWNLOAD BORANG DI SINI

PERMOHONAN TANPA MELANTIK PERUNDING
Jika anda hanya ingin membina pagar baru atau mengubahsuai pagar rumah anda, anda boleh jimatkan kos & tak perlu melantik perunding (akitek @ pelukis pelan) untuk menguruskan permohonan permit kebenaran & kelulusan membina pagar baru rumah anda. Urusan ini anda boleh buat sendiri dengan panduan yang saya gariskan dibawah.

CARA MEMOHON KEBENARAN MEMBINA PAGAR RUMAH @ PERMOHONAN MENGUBAHSUAI PAGAR RUMAH

1. Sediakan surat permohonan membina pagar baru ke MBSA
Untuk kemudahan anda, saya telah sediakan contoh surat permohonan membina pagar baru dalam bentuk fail pdf, anda boleh download contoh surat DISINI. Semak contoh surat tersebut & taip semula mengikut kesesuaian anda. Cetak 2 salinan surat ini & tandatangan kedua2nya.

2. Sediakan gambar rumah sedia ada
Ambil gambar rumah anda & fokuskan kepada pagar rumah yang ingin anda bina semula. Sebaik2nya ambil gambar depan/tepi/belakang jika rumah jenis lot tepi. Bagi rumah lot tengah anda hanya perlu ambil gambar depan+belakang rumah sahaja. Cetak gambar ini dalam kertas A4.


CONTOH BORANG PERMIT LETAK BAHAN BINAAN

3. Isi borang permohonan permit letak bahan binaan MBSA
Sila download borang permohonan permit letak bahan binaan yang telah saya upload DISINI. Borang ini asalnya warna kuning cair, jadi anda perlu cetak borang ini atas kertas kuning @ fotostat atas kertas warna kuning cair. Borang ini boleh juga diambil di kaunter 1, Jabatan Bangunan tingkat 8 MBSA. Isi semua maklumat yang diminta dalam borang tersebut seperti;
- alamat rumah & nama pemilik rumah/pemohon serta nombor telefon anda
- tulis nama kontraktor yang akan membina pagar anda serta alamat syarikat kontraktor; jika anda sendiri yang membeli bahan binaan & mengupah pekerja serta mengawasi kerja pembinaan, tulis sahaja nama anda sebagai kontraktor & tandatangan borang tersebut


CONTOH BORANG SEWA TONG RORO

4. Isi borang permohonan sewaan tong roro

Sila download borang permohonan sewaan tong roro yang telah saya upload DISINI. Borang ini asalnya warna hijau cair, jadi anda perlu cetak borang ini atas kertas hijau @ fotostat atas kertas warna hijau cair. Borang ini boleh diambil di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam di tingkat 4 MBSA. Isi semua maklumat yang diminta dalam borang tersebut seperti;
- nama pemilik rumah & nombor telefon
- tarikh memulakan kerja pembinaan pagar
- alamat lokasi pembinaan & alamat surat menyurat
- pilih jenis tong roro yang ingin disewa, biasanya pilih 1 unit tong roro bersaiz 3 tan

5. Surat kebenaran jiran 
- Jika ubahsuai pagar baru melibatkan pagar sebelah yang dikongsi dengan jiran, anda perlu mendapatkan kebenaran ubahsuai pagar dari jiran sebelah kiri atau kanan.
- DOWNLOAD SURAT DI SINI & minta jiran sebelah anda mengisi & tandatangan borang tersebut.



SUBMIT DOKUMEN KE JABATAN BANGUNAN MBSA

6. Submit surat permohonan & borang ke MBSA 

Buat 2 salinan surat permohonan & sediakan kesemua borang serta gambar rumah dan kemukakan dokumen tersebut ke kaunter 1, tingkat 8 Jabatan Bangunan MBSA, Shah Alam. Simpan satu salinan surat permohonan yang telah di cop oleh mbsa untuk rujukan anda. Biasanya pegawai kaunter akan terima permohonan anda jika semuanya lengkap. Salinan surat ini anda perlu tunjukkan di kaunter sewaktu anda follow-up status permohonan di MBSA.

BILAKAH PERMOHONAN AKAN MENDAPAT JAWAPAN MBSA?
Selepas submit surat permohonan, MBSA akan beri tempoh 14 hari bekerja untuk memberi jawapan bersurat. Anda perlu follow-up dengan di MBSA seminggu sekali, jika bernasib baik MBSA akan keluarkan surat jawapan dalam tempoh kurang dari 14 hari. Dalam surat tersebut secara ringkasnya MBSA akan beri kebenaran untuk anda membina pagar dengan syarat membayar fee permit letak bahan binaan & fee sewa tong roro

BERAPAKAH HARGA PERMIT LETAK BAHAN BINAAN & SEWA TONG RORO MBSA?
Fee permit letak bahan binaan MBSA ialah RM648 & fee sewa tong roro MBSA ialah RM220 untuk 1 unit tong roro. Selepas mendapat surat jawapan MBSA, anda boleh mohon pegawai kaunter untuk mencetak bil permit letak bahan binaan & bil sewaan tong roro.


BAYAR BIL ANDA DI TINGKAT-G MBSA

APA PERLU BUAT SELEPAS DAPAT BIL INI?

a. Pergi ke kaunter bayaran tingkat G MBSA, ambil nombor giliran & bayar semua bil di kaunter bayaran.
b. Naik semula ke tingkat 8 Jabatan Bangunan & serahkan salinan resit permit letak bahan binaan kepada pegawai kaunter 1. Pegawai akan proses permohonan anda dan permit kebenaran meletak bahan binaan akan diserahkan kepada anda pada hari yang sama atau esok hari.
c. Kemudian pergi ke tingkat 4 Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam & serahkan salinan resit serta borang sewaan tong roro di kaunter. Pegawai kaunter akan proses permohonan sewa tong roro dan berikan salinan surat yang berisi maklumat kontraktor MBSA yang akan hantar/ambil tong roro anda.

NOTA PENTING - Jika semua urusan di atas dah selesai maka bolehlah anda mulakan kerja pembinaan pagar rumah anda.

SEBELUM MEMULAKAN KERJA MEMBINA PAGAR RUMAH
Saya cadangkan anda fotostat salinan permit letak bahan binaan & laminate & gantung salinan permit tersebut depan rumah anda supaya mudah dilihat dari luar rumah. Simpan salinan permit yang asal. Ini kerana penguatkuasa MBSA bertugas akan melakukan rondaan berjadual memeriksa rumah yang sedang diubahsuai & menyemak rumah yang ada/tiada permit. 

MENEMPAH TONG RORO DARI KONTRAKTOR
Dalam masa yang sama, merujuk kepada surat sewaan tong roro, anda boleh hubungi kontraktor yang dilantik MBSA untuk menghantar tong roro ke rumah anda. Jika tong sudah penuh, hubungi semula kontraktor tersebut & beliau akan datang ambil tong tersebut. Anda boleh sewa lebih dari 1 unit tong roro jika perlu. 

UPDATE ARTIKEL & RUJUKAN TAMBAHAN MBSA
a. Artikel ini ditulis selepas saya berurusan di MBSA & membuat pertanyaan kepada beberapa orang staf di kaunter Jabatan Bangunan MBSA. 
b. Selepas artikel ini ditulis, hasil carian online saya mendapati bahawa MBSA juga ada menyediakan borang resmi permohonan ubahsuai pagar rumah & surat kebenaran jiran. Anda boleh rujuk & baca artikel MBSA DI SINI.
c. Anda boleh gunakan borang resmi MBSA & gabungkan dengan contoh surat yang saya sediakan di atas untuk dikemukakan ke MBSA.

d. Download borang resmi permohonan bina pagar DI SINI & download surat kebenaran jiran DI SINI

Saya harap tips & panduan ringkas cara memohon kebenaran untuk membina pagar rumah ini dapat membantu pemilik rumah di Shah Alam dalam berurusan dengan MBSA bagi mendapatkan permit letak bahan binaan & sewaan tong roro. Saya ucapkan selamat mengubahsuai rumah anda di tahun 2020 ini & silakan share artikel ini dengan sahabat2 anda jika ianya bermanfaat. Jumpa lagi dalam post yang akan datang!



Mutiara Pengubat Jiwa