Salam sejahtera & selamat datang ke blog Panduan & Tips Ubahsuai Rumah! Blog ini adalah sebagai panduan & tips ringkas undang-undang ubahsuai rumah khusus kepada anda yang ingin mengubahsuai rumah di Shah Alam. Blog ini juga boleh dijadikan maklumat umum garispanduan ubahsuai rumah untuk semua pemilik rumah di Malaysia. Blog ini akan sentiasa dikemaskini dengan tips terbaru untuk manfaat anda. Diharap blog kecil ini dapat memberi manfaat kepada semua pemilik rumah sebelum dan selepas mengubahsuai kediaman anda. Selamat mengubahsuai rumah anda!
create your own banner at mybannermaker.com!

HAD UBAHSUAI RUMAH DI SHAH ALAM

HASIL KERJA IMOS

Monday, August 31, 2009

Perubahan Borang Ubahsuai Rumah MBSA - Sila Dapatkan Borang Baru



Assalamualaikum & salam sejahtera kepada para pengunjung blog!

Tidak terlewat kiranya untuk saya mengucapkan selamat berpuasa & menyambut Ramadhan walaupun sudah lebih 10 hari kita mengharungi bulan puasa. Saya juga mengucapkan selamat menyambut bulan kemerdekaan 31 Ogos 2009 kepada anda! Walaupun sambutan kemerdekaan 2009 disambut dengan penuh kesederhanaan, yang penting ialah kita menghayati sejarah kemerdekaan dan mengamalkannya dalam kehidupan semasa supaya hidup masyarakat kita aman, damai dan sentosa.

Mohon maaf kerana sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini kerana sibuk dengan tugasan mencari rezki & menyelesaikan masalah manusia dalam konteks kerja saya.

Berita Terkini ;
Untuk makluman pemilik rumah, akitek dan para perunding, pihak MBSA telah membuat pindaan kepada borang tambahan & pindaan rumah dan borang tersebut boleh didapati di tingkat 8, jabatan Bangunan MBSA, Wisma MBSA, Shah Alam pada harga RM10.00.

Saya dimaklumkan oleh seorang sahabat saya (juga seorang perunding reka) pada minggu lepas melalui sms dan terus ke MBSA untuk membeli borang tersebut. Selepas saya membaca dan menyemak borang tersebut, didapati bahawa pindaan yang dilakukan kepada borang tersebut adalah hampir atau lebih 40% daripada borang asal dan menjadikan syarat-syarat kelulusan ubahsuai rumah agak lebih ketat.

Walaubagaimanapun, hal ini sudah tentu dilakukan oleh MBSA untuk keselamatan dan kebaikan semua pihak samada akitek, kontraktor dan lebih-lebih lagi kepada pemilik rumah. Diharap semua pihak berlapang dada dengan proses ini kerana ia bukanlah untuk menyusahkan, tetapi bagi saya proses pindaan ini sangat baik dan memberi manfaat dan perlindungan kepada pemilik rumah.

Sehingga berjumpa lagi, salam Ramadhan & salam Merdeka!




Wednesday, April 1, 2009

Memohon kebenaran bagi pembinaan pagola, shed, awning, polycarbonate roof dalam kawasan rumah

Perlukah mohon kelulusan pihak majlis bagi pembinaan pagola, shed, awning, polycarbonate roof dan sebagainya dalam kawasan rumah?

Salam sejahtera! Terimakasih kerana masih sudi berkunjung ke blog ini. Semoga anda dan keluarga dalam sihat sentiasa. Jawapan kepada soalan diatas ialah; Ya! Anda perlu membuat permohonan untuk membina struktur binaan tersebut di dalam kawasan rumah. 
Sebelum saya jelaskan syarat2 yang diperlukan, elok kita kenali dulu jenis binaan ini.

Saya bahagikan kesemua binaan di atas kepada 2 kategori iaitu;
1. Struktur binaan sementara
2. Struktur binaan kekal

1. Jenis tambahan Struktur binaan sementara ;-

Contoh tambahan binaan sementara adalah seperti awning, polycarbonate roof untuk tambahan porch, teres dan gazebo yang diperbuat daripada struktur besi atau kayu yang diletakkan di bahagian lapang kawasan rumah . Binaan ini dikategorikan sebagai binaan sementara kerana ia mudah dipasang & dibuka semula serta mudah ditukarganti apabila keadaannya menjadi lapuk atau rosak disebabkan hujan dan panas. 

2. Jenis tambahan Struktur binaan kekal ;-

Contoh binaan ini ialah seperti gazebo atau pagola yang dibuat dari binaan kayu atau campuran batu-bata dan kedudukannya kekal dalam kawasan rumah. Kedudukannya tidak mudahalih, tetapi bahan2 binaannya seperti atap, kayu atau bumbung boleh ditukarganti.

Bagaimana untuk memohon kelulusan dari pihak majlis untuk membuat tambahan/binaan di atas?
Jawapan yang saya berikan dibawah adalah merujuk kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam.

a. Permohonan untuk tambahan Struktur binaan sementara ;
- dapatkan borang permit bangunan sementara dari pihak MBSA, tingkat 8 kaunter 1
- isi borang dan sediakan dokumen yang disenaraikan mengikut borang seperti salinan i/c, dokumen hakmilik rumah/S&P, cukai pintu, salinan CF
- sediakan surat resmi permohonan membina bangunan sementara
- sediakan anggaran bayaran proses permit bangunan sementara seperti yang dicatitkan dalam borang permohonan
- sediakan lukisan pelan bangunan sementara 
- pelan siap & dikemukakan ke MBSA bersama dokumen yang berkaitan & lulus dalam tempoh 14 hari bekerja 
- semua hal di atas boleh diuruskan oleh perunding yang dilantik oleh anda.

b. Permohonan untuk tambahan Struktur binaan kekal ;
- dapatkan borang tambahan/pindaan rumah dari pihak MBSA, tingkat 8 kaunter 1
- isi borang dan sediakan dokumen yang disenaraikan mengikut borang seperti salinan i/c, dokumen hakmilik rumah/S&P, cukai pintu, salinan CF, gambar rumah
- sediakan surat resmi permohonan membina tambahan bangunan kekal
- sediakan anggaran bayaran proses/cagaran/sewa tong roro seperti yang dicatitkan dalam borang permohonan
- sediakan lukisan pelan tambahan pindaan 
- pelan siap & dikemukakan ke MBSA bersama dokumen yang berkaitan & lulus dalam tempoh 1 hari bekerja jika tiada masalah. 
- semua hal di perlu diuruskan oleh perunding yang dilantik oleh anda dan prosedur ini sama seperti memohon tambahan ubahsuai rumah yang biasa.

NOTA PENTING
Bayaran permit untuk bangunan sementara adalah sah untuk 6 bulan atau setahun sahaja dan perlu diperbaharui setiap tahun. 

Tapi jika anda mohon untuk membuat binaan kekal, bayaran proses/permit dibayar sekali sahaja untuk selama-lamanya. Cadangan saya ialah, lebih baik anda memohon kelulusan binaan sementara sebagai struktur bangunan kekal untuk mengelak daripada kerumitan memperbaharui permit setiap tahun. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi saya di imosdesign(at)yahoo(dot)com.

Diharap anda mendapat manfaat dari artikel ini dan untuk 'post' yang akan datang, saya akan bincangkan tentang syarat dan keperluan yang perlu anda sediakan bagi pembinaan rumah baru di tanah kosong (banglo) supaya anda tidak melanggar undang2! Jumpa lagi!

Thursday, March 12, 2009

Bolehkah lantik kontraktor warga asing untuk ubahsuai rumah


Assalamualaikum & salam sejahtera! Ini adalah antara soalan yang saya selalu terima;
Bolehkah lantik kontraktor warga asing untuk kerja-kerja ubahsuai rumah?
Boleh, tapi ada syaratnya! Berikut syarat yang saya gunapakai untuk menapis kontraktor warga asing dalam bekerjasama dengan saya dalam kerja/projek ubahsuai rumah;-

a. Mempunyai permit kerja
Pastikan warga asing yang akan menjadi kontraktor binaan rumah anda mempunyai permit dan segala dokumen berkaitan yang sah. Masalah yang selalu berlaku ialah, jika mereka ditangkap pihak berkuasa kerana tiada permit dsb, rumah anda akan terbengkalai & anda akan ternganga kerugian!  

b. Mudah dihubungi & mempunyai alamat tetap
Kontraktor warga asing & para pekerjanya biasanya tiada pejabat, dan suka tinggal secara berkelompok samada di kawasan kampung, taman perumahan atau flat. Dapatkan alamat & nombor telefon mereka untuk dihubungi. Jika mereka mudah dihubungi, mudah berbicara, mesra dan menerima kunjungan anda ke kediaman mereka, maka mereka boleh dipercayai.

c. Telah lama bermastautin di Malaysia 
Pastikan kontraktor warga asing tersebut telah lama bermastautin di Malaysia, berkeluarga di sini & lebih bagus jika mempunyai saudara mara di sini. Dalam hal ini, saya menggunakan pendekatan ziarah & berkenalan terlebih dahulu dengan mereka agar mudah untuk mengenali hati budi mereka dengan lebih dekat lagi. Saya juga akan bertanya dengan jiran2 sekitar perumahan samada mereka mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat & aktif dengan kegiatan surau dsb.

d. Mempunyai rekod kerja yang baik
Walaupun mereka (warga asing) tiada lesen kontraktor, kebanyakan kontraktor warga asing berasal dari buruh binaan dan ramai yang berpengalaman dalam bidang pertukangan atau pembinaan. Biasanya saya akan bertanya tentang hasil kerja/binaan & ubahsuai yang pernah dilakukan. Kontraktor warga asing yang jujur akan memberikan anda senarai nama/alamat/no.tel pelanggan yang telah siap ubahsuai rumahnya sebagai testimoni hasil kerja mereka. Kadang-kadang saya dibawa oleh mereka bertemu sendiri pemilik rumah yang telah siap dibina untuk melihat hasil kerja mereka.

e. Membuat perjanjian bertulis
Sebaiknya jika anda ingin melantik kontraktor warga asing yang telah anda yakini kebolehan mereka, maka eloklah duduk berbincang bersama mereka & drafkan perjanjian bertulis untuk rekod bersama. Draf yang telah dipersetujui samada surat/dokumen perlantikan kerja atau sebutharga boleh ditaip dengan butiran lengkap & ditandatangani kedua-dua pihak dengan saksi yang dipersetujui. Biasanya hal ini tidak memerlukan khidmat peguam kerana dokumen yang disediakan adalah ringkas tapi padat.

Lima tips di atas adalah hasil pengalaman saya sendiri; anda boleh cuba/try/test tengok untuk mendapatkan khidmat mereka yang murah!

NOTA PENTING!
Awas! Ada ramai juga kontraktor warga asing yang tidak jujur! Berikut saya coretkan sedikit pengalaman klien2 saya sebagai iktibar untuk anda agar tidak 100% percaya dan berhati-hati dengan kontraktor warga asing ;-

Kisah 1; Pelan rumah telah lulus & klien melantik warga asing sebagai kontraktor. Bila rumah sudah siap & klien berpindah masuk, mereka sekeluarga DIROMPAK & dicederakan oleh warga asing tersebut bersama pekerjanya. Setelah keluar hospital & pulih dari kecederaan, akhirnya klien terus berpindah & menjual rumah tersebut. (berlaku di seksyen 25 lbh krg 5-6 tahun lalu)

Kisah 2; Klien mendapat sebutharga murah dari kontraktor warga asing & melantiknya untuk kerja ubahsuai rumah. Bila rumah sudah hampir siap, kontraktor meminta bayaran tambahan yang kemudiannya ditolak oleh klien kerana lebih dari had sebutharga yang dipersetujui. Kontraktor warga asing datang semula dengan gengster bersama senjata tajam dan mengugut untuk mencederakan klien & keluarga. Klien terpaksa membayar bayaran lebih & kontraktor warga asing cabut lari tanpa menyiapkan baki kerja 20%. (berlaku di seksyen 18 lbh krg 3 tahun lalu) 

PENGAJARAN
2 kisah di atas sudah cukup untuk menggambarkan akhlak kontraktor warga asing yang menakutkan. Apapun ada ramai lagi kontraktor warga asing yang jujur yang mereka ini adalah bekas pelajar pesantren dan mampu mengajar fardhu ain/AlQuran dan sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat umum. Saya bertemu dengan ramai buruh warga asing seperti ini. Sayangnya kadang2 mereka tiada permit kerja! Jadi pilihlah kontraktor warga asing dengan berhati-hati, pilihan adalah ditangan anda!

InsyaAllah dalam post akan datang, saya akan jelaskan masalah berikut ; perlukah mohon kelulusan pihak majlis bagi pembinaan struktur bangunan sementara seperti pagola, shed, awning, polycarbonate roof dan sebagainya di kawasan rumah? Jumpa lagi!

Sunday, February 22, 2009

Bagaimana Memilih Kontraktor Binaan Yang Boleh Dipercayai


Bagaimana Untuk Memilih Kontraktor Binaan Yang Boleh Dipercayai?
Salam sejahtera! Kepada para pengunjung setia blog ini, saya memohon maaf kerana hampir 3 minggu tidak mengemaskini blog ini disebabkan kesibukan kerja2 'offline' dan pelbagai urusan kerja yang lain. Bersambung kepada topik yang telah saya canangkan pada 1/2/2009, 'Bagaimana Untuk Memilih Kontraktor Binaan Yang Boleh Dipercayai?'.

Jawapan kepada soalan ini sebenarnya bergantung kepada pengalaman anda dan ramai lagi yang pernah berurusan dengan pelbagai jenis kontraktor binaan, samada melibatkan projek kecil seperti membaiki paip jamban atau longkang sehinggalah projek ubahsuai/pembinaan kediaman yang besar iaitu membina rumah baru dari tanah yang kosong hingga siap untuk diduduki. 

Sudah tentu macam2 kerenah kontraktor binaan yang anda pernah temui, jika belum maka saya sekadar termampu akan berkongsi pengalaman saya sebagai perunding dalam memilih kontraktor binaan yang boleh diharap dan tidak akan menge'pau' wang anda! 

Disebabkan terdapat pelbagai jenis kontraktor yang menawarkan khidmat dalam pelbagai jenis kerja binaan, maka saya hanya akan berbincang dalam niche yang kecil sahaja, iaitu bagaimana untuk memilih kontraktor ubahsuai rumah yang boleh dipercayai. Berikut adalah tips yang selalu saya gunakan untuk 'menapis' kontraktor ubahsuai rumah yang boleh dipercayai;

a. Mempunyai lesen perniagaan / lesen kontraktor
Pilih kontraktor ubahsuai yang mempunyai lesen perniagaan yang sah dan berdaftar dengan pendaftar perniagaan samada lesen ROB (enterprise) atau ROC (sdn.bhd). Ini membuktikan bahawa mereka sangat serius berniaga dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya. Pastikan juga kontraktor tersebut mempunyai lesen kontraktor sekurang-kurangnya kelas F atau E sebagai bukti bahawa mereka adalah kontraktor yang berdaftar.

b. Alamat pejabat/urusniaga yang sah
Pastikan kontraktor ubahsuai anda mempunyai alamat urusniaga samada pejabat atau rumah. Sesetengah kontraktor kecil menjadikan alamat rumah sebagai alamat perniagaan. Dalam berurusniaga dengan mereka, jika mereka mudah dihubungi melalui telefon/emel dan dikunjungi di alamat pejabat/premis, maka ini antara tanda bahawa mereka mempunyai peniagaan yang jujur.

c. Rekod kerja dan profil syarikat
Saya secara peribadi lebih suka memilih kontraktor binaan yang mempunyai rekod kerja yang baik walaupun baru menyiapkan 2 atau 3 projek binaan/ubahsuai yang kecil & sederhana, seperti tambahan/pindaan rumah. Rekod kerja ini dibuktikan dalam dokumen profil syarikat yang boleh anda minta dari mana-mana kontraktor yang jujur. Dalam dokumen profil syarikat akan disenaraikan projek2 yang telah disiapkan berserta gambar sebelum/selepas dan kos projek yang telah disiapkan. Dengan ini anda boleh menilai sendiri hasil kerja mereka.

d. Menghubungi & melawat tapak projek yang telah siap
Susulan daripada rujukan anda kepada profil syarikat kontraktor tersebut, jika boleh eloklah anda hubungi klien terdahulu kontraktor tersebut dan dapatkan pengesahan. Anda digalakkan melawati tapak binaan yang telah siap untuk melihat kualiti binaan serta bertanya sedikit sebanyak kepada pemilik rumah (yang telah siap diubahsuai) tentang kontraktor binaan yang dilantik. 

e. Sebutharga ubahsuai yang berpatutan (dengan harga bahan binaan semasa)
Dalam hal ini, mana-mana kontraktor akan memberikan sebutharga ubahsuai yang berbeza. Untuk mendapatkan sebutharga yang sesuai dengan bajet anda, minta kontraktor tersebut menyediakan secara bertulis dan terperinci;
- sampel bahan & harga bahan tersebut
- upah pasang / upah kerja bagi setiap skop kerja binaan
- jangkamasa siap kerja
- kos kerja yang ditanggung kontraktor (pembuangan sampah sisa binaan dsb)
- kos tambahan/luaran yang perlu ditanggung pemilik rumah/klien

Merujuk pada sebutharga yang terperinci ini, anda boleh berbincang dengan kontraktor & membuang atau menambah mana2 bahan yang dirasakan perlu dalam ubahsuai rumah anda sehingga anda dapat mencapai bajet ubahsuai yang sesuai dengan kemampuan anda tanpa berkompromi dengan kualiti bahan dan hasil kerja binaan. Kontraktor yang jujur akan memberi penjelasan & maklumat lengkap mengenai jenis/kualiti bahan binaan yang sesuai untuk kegunaan ruang di rumah anda serta harga pasaran bahan binaan dan upah kerja beliau secara terperinci.

Saya yakin jika 5 tips di atas anda ikuti, insyaAllah anda akan dapat memilih kontraktor binaan yang sesuai dengan projek dan bajet anda, samada untuk ubahsuai rumah atau lain2 projek yang lebih besar. Saya mohon maaf kerana tips yang digariskan ini adalah sangat umum hasil dari pengalaman saya yang kerdil, jika anda ada tips tambahan, maka silalah kongsikan bersama dalam blog ini agar semua pengunjung dapat manfaat.

AWAS! Seboleh-bolehnya anda mesti ELAKKAN kontraktor binaan yang;
- tiada lesen perniagaan
- tiada alamat perniagaan/pejabat
- susah untuk dihubungi
- tiada rekod kerja & rujukan
- memberikan sebutharga paling murah giller
- memberi sehelai kertas sebutharga 'lump sum' tanpa perincian skop kerja/bahan binaan
- banyak berjanji dan mengaku boleh buat semua (kontraktor yg jujur akan mengakui bahawa ada skop kerja tertentu yang akan di'sub-con' kepada kontraktor lain)
- mengaku gerenti siap dalam tempoh singkat
- tidak mahu menyediakan perjanjian bertulis lengkap, hanya sediakan satu surat ringkas & terus sain & ambil deposit

Sebenarnya banyak lagi yang nak saya kongsikan, tapi cukuplah sekadar ini dahulu. InsyaAllah jika diizinkan-Nya saya akan bincang pada post akan datang; bolehkah lantik kontraktor warga asing untuk ubahsuai rumah - sebab sebutharga mereka murah & hasil kerja bagus? Salam hormat & jumpa lagi!

Sunday, February 1, 2009

Ubahsuai Rumah; Panduan Memohon Kebenaran Jiran


Hallo bos! Wa mau bikin renovation rumah, tapi itu jiran tak mau kasilah, apa mau bikin?

Salam sejahtera! Memang benar, agak ramai pemilik rumah menghadapi masalah seperti ini ketika memohon kebenaran jiran untuk mengubahsuai rumah yang bersebelahan. Masalah ini biasanya berlaku kepada pemilik rumah teres, rumah kelompok dan rumah berkembar .

Memohon kebenaran jiran untuk ubahsuai rumah adalah wajib, walaupun ubahsuai tersebut sangat kecil. Hal ini perlu dilakukan sebagai tanda hormat kepada jiran anda dan sebagai tanggungjawab anda dalam kehidupan bermasyarakat. Berikut saya lampirkan jalan penyelesaian untuk mendapatkan kebenaran jiran anda mengikut pengalaman saya bersama pemilik rumah;

a. Sediakan pelan lakaran
Sebelum bertemu jiran & meminta kebenaran ubahsuai, sediakan lakaran ubahsuai rumah yang jelas & mudah difahami. Biasanya lakaran ini boleh disediakan sendiri oleh pemilik rumah atau perunding yang dilantik untuk membuat rekabentuk ubahsuai rumah tersebut.

b. Membuat surat pengesahan & akuan tanggungjawab
Sediakan surat ringkas yang menyatakan bahawa pemilik rumah akan bertanggungjawab atas kerosakan yang melibatkan bahagian rumah yang dikongsi; contohnya seperti bumbung porch yang dikongsi akan dirobohkan separuh untuk membina porch baru.

c. Dapatkan contoh risalah & borang pihak majlis
Sebagai contoh, pergi ke majlis daerah kawasan anda dan dapatkan risalah/borang ubahsuai rumah. Borang ini anda gunakan sebagai rujukan tentang peraturan & had ubahsuai rumah untuk semakan & perbincangan bersama jiran anda.

d. Contoh gambar rumah yang telah diubahsuai
Jika mampu, dapatkan gambar rekabentuk rumah yang anda mahu untuk ditunjukkan kepada jiran untuk meyakinkan bahawa ubahsuai yang dibina adalah selamat.

e. Menziarahi jiran anda
Setelah semua perkara a,b,c dan d lengkap di tangan anda, bolehlah anda berjumpa jiran anda dan berikan penjelasan tentang;
- mengapa anda perlu mengubahsuai rumah anda
- jaminan keselamatan kepada jiran anda
- lampirkan dokumen a,b,c dan d untuk perbincangan bersama jiran anda

InsyaAllah jika anda mengikuti semua panduan diatas, jiran anda akan mudah memberi kebenaran kepada anda dan menurunkan tandatangan di atas surat/borang kebenaran ubahsuai rumah anda. Selamat mencuba!

Nota penting!
Sebelum menziarahi jiran anda, jangan lupa bawak buah tangan! Bawalah buah-buahan ke, masak kuih ke dan sebagainya sebagai tanda menghormati & menghargai jiran anda. Pasti urusan anda dimudahkan!

Minggu depan saya akan bincangkan masalah pemilihan kontraktor ubahsuai rumah; nak pilih yang murah atau mahal, dan bagaimana nak mengenali kontraktor yang boleh dipercayai. Jumpa lagi minggu depan!

Monday, January 19, 2009

Bolehkah ubahsuai banglo setingkat menjadi 2 tingkat?

Helo incik! Saya ada banglo 1 tkt mau kasi naik 2 tingkat bulleh ka?

Boleh! Tidak ada masalah! Rumah sesebuah atau banglo 1 tingkat dibenarkan membuat ubahsuai dan tambahan tingkat atas. Akan tetapi ubahsuai banglo tersebut hendaklah mematuhi syarat dan peraturan undang2 bangunan majlis daerah tempatan.

Apakah syarat ubahsuai rumah banglo setingkat menjadi 2 tingkat? Di sini saya senaraikan secara ringkas syarat yang perlu dipatuhi mengikut undang2 bangunan MBSA Shah Alam;

a. Melantik akitek/perunding;

Pemilik banglo melantik akitek/perunding untuk kerja rekabentuk & penyediaan pelan ubahsuai dari 1 tingkat ke 2 tingkat. Sebagai wakil kepada pimilik rumah, Akitek/perunding akan berurusan dengan pihak majlis dalam apa jua urusan berkaitan dengan ubahsuai rumah anda.

b. Melantik jurutera perunding;

Pemilik banglo juga perlu melantik jurutera perunding untuk penyediaan pelan RC bagi tambahan 2 tingkat kerana struktur asal setingkat biasanya tidak dibina untuk menanggung beban rumah 2 tingkat. Jadi lukisan struktur RC adalah penting untuk rujukan kontraktor bagi membina rangka bangunan tambahan yang baru.

c. Menyediakan dokumen sampingan;

Pemilik banglo menyediakan dokumen hakmilik tanah/geran, cukai pintu, CF terdahulu, gambar rumah sediada serta bayaran proses pelan/deposit MBSA dan Alamflora. Pelan lengkap serta semua dokumen dikemukakan oleh akitek/perunding ke MBSA dan mendapat kelulusan dalam tempoh 1 hari.

d. Memulakan kerja ubahsuai rumah;

Pemilik memulakan kerja ubahsuai setelah mendapat kelulusan dan mematuhi syarat2 tambahan/pindaan rumah yang digariskan dalam surat/permit kelulusan yang diberi.

e. Membersihkan sisa bahan binaan;

Semasa kerja pembinaan dijalankan atau selepas rumah siap dibina dan dibersihkan, pemilik banglo perlu memastikan bahawa semua sisa bahan binaan diambil dan dibuang oleh kontraktor pelupusan yang dilantik MBSA iaitu Alamflora. 

f. Tuntutan wang cagaran;

Setelah rumah banglo anda siap diubahsuai dan dibersihkan, bolehlah anda menuntut wang cagaran pelan di MBSA dan baki deposit tong roro (jika ada) di Alamflora.

Minggu depan saya akan bincangkan masalah dalam mendapatkan kebenaran jiran untuk ubahsuai rumah dan bagaimana penyelesaiannya jika jiran anda tidak mahu memberi kebenaran! Jumpa lagi!

Tuesday, January 13, 2009

Bolehkah rumah 1 tingkat ditambah menjadi 2 tingkat?

Halo incik! Saya nak tambah rumah 1 tingkat jadi 2 tingkat, boleh ke haa?
Untuk menjawab soalan ini, saya berikan penjelasan mengikut pengalaman saya mengemukakan pelan dan mendapatkan kelulusan pelan dari pihak majlis terutama di Shah Alam.

Ya, anda dibenarkan mengubahsuai rumah 1 tkt kepada 2 tkt di Shah Alam, tapi kebenaran ini adalah bersyarat dan syaratnya sangat ketat. Sebelum itu anda perlu tahu jenis rumah 1 tkt. yang dibenarkan membuat tambahan tingkat atas.
Jenis rumah yang dibenarkan membuat tambahan dari 1 tkt menjadi 2 tingkat terhad kepada ;
a. Rumah teres lot tengah 1 tkt yang mempunyai 'airwell' di sebahagian rumah tersebut
b. Rumah teres 1 tkt lot tepi atau jenis endlot
c. Rumah teres 1 tkt jenis kos rendah; tertakluk kepada seksyen tertentu seperti di seksyen 17 dan 18 Shah Alam.

Untuk mudah faham, saya huraikan secara ringkas jenis rumah a,b dan c;-

a. Rumah teres lot tengah 1 tkt yang mempunyai 'airwell';-
Rumah ini mempunyai 'airwell' dibahagian tengah rumah, biasanya bahagian dapur atau ruang makan. Anda hanya dibenarkan membuat tambahan tingkat atas dengan syarat ketinggian bumbung baru adalah sama paras atau tidak melebihi bumbung asal

b. Rumah teres 1 tkt jenis lot tepi atau endlot ;-
Rumah ini juga mempunyai 'airwell' dibahagian tengah rumah, biasanya bahagian dapur atau ruang makan. Anda dibenarkan membuat tambahan tingkat atas dengan syarat ketinggian bumbung baru adalah sama paras atau tidak melebihi bumbung asal.

c. Rumah teres 1 tkt jenis kos rendah ;-
Dalam kes ini, ubahsuai rumah setingkat kepada 2 tingkat bagi rumah kos rendah hanya diberikan kepada rumah kos rendah 1 tkt. di seksyen 17 dan 18 yang mempunyai tanah lapang dibahagian belakang dapur. Bahagian yang dibenarkan dinaikkan ke 2 tingkat adalah bahagian belakang sahaja, mulai dari bahagian atas ruang makan/dapur hingga ke pagar belakang.

PERHATIAN!
Jika anda merasa agak pening dan kurang faham dengan huraian diatas, sila lihat gambarajah pelan dan keratan tambahan rumah 1tkt ke 2tkt yang telah saya sediakan di laman web saya ========> PELUKIS PELAN SHAH ALAM

Apakah syarat yang diperlukan untuk mendapat kebenaran MBSA bagi ubahsuai rumah 1 tkt. kepada 2 tkt.?
Dalam hal ini, anda perlu menyediakan perkara di bawah;

a. Membuat surat rayuan dan permohonan kepada pihak majlis
b. Mengambil gambar rumah sediada dan membuat lakaran kasar bahagian rumah yang akan dinaikkan menjadi 2 tkt.
c. Meminta kebenaran bertulis dari jiran sebelah rumah.
d. Membuat surat akuan bertanggungjawab ke atas kerosakan yang mungkin berlaku kepada bahagian struktur rumah yang dikongsi bersama jiran.
e. Mengemukakan perkara a,b,c dan d ke pihak MBSA.

Bilakah boleh saya dapat jawapan dari MBSA?
Permohonan/rayuan anda akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja dan jika diluluskan anda akan menerima surat sokongan/kebenaran oleh pihak majlis melalui pos. Setelah menerima surat ini, maka bolehlah anda mencari dan melantik mana-mana akitek/perunding untuk merekabentuk pelan rumah anda serta mengemukakannya ke MBSA.

Atau anda boleh terus hubungi saya di lamanweb pelukis pelan shah alam dan lantik saya sebagai perunding anda! hehehe! Jumpa lagi dalam post yang akan datang!

Sunday, January 4, 2009

Berapakah jumlah denda yang perlu dibayar atas kesalahan ubahsuai rumah?


Berapakah jumlah denda saya kena bayar atas kesalahan ubahsuai rumah?
Jumlah denda adalah tertakluk kepada undang2 bangunan yang dikuatkuasakan oleh MBSA. Secara ringkas, jumlah denda yang dikenakan ialah;

1. 10 kali ganda dari bayaran yuran proses pelan
Denda ini dikenakan kepada rumah yang diubahsuai sebelum mendapat kelulusan dari pihak majlis. Sebagai contoh, jika yuran proses pelan ialah RM150, maka denda yang perlu dibayar ialah RM1500.

2. 20 kali ganda dari bayaran yuran proses pelan
Denda ini dikenakan kepada rumah yang diubahsuai selepas mendapat kelulusan dari pihak majlis, tetapi ubahsuai dibina melencung dari pelan lulus serta melebihi had anjakan yang dibenarkan. Sebagai contoh, jika yuran proses pelan ialah RM150, maka denda yang perlu dibayar ialah RM3000.

3. 20 kali ganda dan 10 kali ganda dari bayaran yuran proses pelan
Denda ini boleh dikenakan kepada rumah yang diubahsuai sebelum mendapat kelulusan dari pihak majlis dan ubahsuai dibina melebihi had anjakan yang dibenarkan. Sebagai contoh, jika yuran proses pelan ialah RM150, maka denda yang perlu dibayar ialah RM4500.

Bolehkah saya membuat rayuan untuk kurangkan denda?

Mengikut pengalaman saya, anda boleh membuat rayuan tetapi peluang untuk mendapat diskaun denda amat tipis. Ini adalah kerana pihak majlis telah memberi kelonggaran yang 'tersangatlah longgarnya' kepada anda untuk mengekalkan binaan yang telah dibuat tanpa perlu merobohkan binaan tersebut! Jadi bayarlah saja denda dan bersyukurlah rumah anda tidak dirobohkan! 

Nota penting! Kadar denda mungkin tidak sama antara pihak majlis di daerah anda, jadi sila semak dengan mereka dahulu jika anda ingin langgar undang2 ubahsuai dan bersedia untuk membayar denda! He!he!he!

Jumpa lagi di post yang akan datang!

Apakah jenis kesalahan ubahsuai rumah dan tindakan yang dikenakan oleh pihak majlis?


Apa tindakan majlis jika saya langgar undang2 ubahsuai? Untuk menjawab persoalan ini, saya akan jelaskan secara ringkas mengikut garispanduan ubahsuai rumah di Shah Alam. Saya bahagikan jenis kesalahan ubahsuai seperti dibawah;

1. Mengubahsuai rumah tanpa memohon kebenaran dan mendapat kelulusan pihak majlis.

2. Mengubahsuai rumah setelah mendapat kelulusan pelan, tetapi ubahsuai yang dibina melebihi had anjakan yang dibenarkan.

3. Mengubahsuai rumah tanpa kelulusan pihak majlis dan ubahsuai yang dibina melebihi had anjakan yang dibenarkan.

Apakah tindakan pihak majlis ke atas 3 kesalahan di atas?
Secara umum, para petugas MBSA sentiasa mebuat pemantauan berjadual di setiap seksyen/kawasan perumahan darihal kebersihan, ubahsuai rumah dsb. Tindakan yang akan di ambil oleh petugas/pegawai/juruteknik ini ialah;

a. Mengeluarkan notis pertama; arahan kepada pemilik kediaman untuk menghentikan kerja pembinaan dan membuat rayuan ke pihak majlis bagi melantik akitek/perinding untuk mengemukakan pelan 'as-build drawing' seperti yang telah dibina di tapak serta membayar denda di atas kesalahan tersebut. Biasanya majlis memberi tempoh 2 minggu kepada pemilik untuk membuat rayuan.

b. Mengeluarkan notis kedua susulan kepada notis pertama; jika pemilik rumah masih tidak mengemukakan sebarang rayuan ke pihak majlis, 

c. Mengeluarkan notis ketiga susulan kepada notis kedua; jika pemilik rumah masih berdegil tidak mahu membuat rayuan dan mengemukakan pelan ke pihak majlis, 

d. Notis terakhir yang ke-empat, iaitu notis operasi merobohkan tambahan yang dibina oleh pemilik yang degil dan ingkar terhadap peluang pemutihan yang telah diberikan melalui notis 1,2 dan 3.

Pesanan saya kepada para pemilik rumah yang ingin mengubahsuai rumah, patuhilah undang2 ubahsuai untuk kebahagiaan anda sekeluarga dan masyarakat setempat. Masyarakat bahagia, hidup pasti aman dan sentosa!

Mutiara Pengubat Jiwa